Sunteți pe pagina 1din 6

AMANAH DAN TANGGUNG JAWAB PENJAWAT AWAM

Muqaddimah: Amanah adalah salah satu dari sejumlah besar sifat-sifat "Mahmudah" atau sifat yang terpuji, terpuji di sisi Allah SWT dan RasulNya dan terpuji di sisi manusia sejagat. Amanah juga adalah salah satu dari empat sifat yang wajib bagi para Rasul Allah 'Alaihimus Solatu was Salam.Amanah adalah tunjang kepada keempat-empat sifat para Rasul itu. Tanpa sifat amanah menyebabkan tiga sifat yang lain iaitu Soyiddiq, tabligh dan fathonah tidak akan dapat terlaksana dengan sempurna. Bahkan segala sifat mahmudah yang lain juga tertakluk kepada sejauh mana sifat amanah itu dapat direalisasikan sebaik mungkin. Definisi Amanah adalah perkataan yang berasal dari perkatan Bahasa Arab "Al-amanah" dari kata dasar "alif di atasnya hamzah, mim, nun" disebut "amina", dari perkataan ini terbitlah perkataan "amaanun" yang juga diserap ke Bahasa Melayu membawa erti aman, dari perkataan ini juga terbit perkataan "Al-amiin" satu perkataan yang bermaksud "orang yang sangat jujur dan amanah", satu gelaran yang pernah diberikan oleh masyarakat Arab Jahiliyah Quraish kepada Junjungan Besar Nabi kita Muhammad SAW sebelum baginda diutus menjadi Rasul. Perkataan yang manjadi lawan kepada perkatan amanah ini ialah "Khianat" yang juga berasal dari perkataan "Al-khianah" yang sering kita dengar dimaknakan sebagai "pecah amanah" atau "tidak jujur" atau "curang" dalam bahasa Melayu. Adapun perkataan "Tanggung jawab" membawa maksud suatu beban atau tugas yang dipikul, atau bebanan tugas yang dipikulkan kepada seseorang untuk dilaksanakan dengan penuh perhatian, prihatin serta ketelitian sehingga ia dapat disempurnakan tanpa cacat cela dengan berdasarkan prinsip "minima masa maksima usaha". Manakala "Penjawat Awam" pula adalah gelaran yang diberikan kepada mereka yang bekerja dan makan gaji dengan kerajaan. Mereka ini diamanahkan dengan senarai tugas yang telah ditetapkan mengikut sasaran kerja dan waktu yang telah digariskan. Amanah dan Tanggung Jawab dari Prespektif Islam Terdapat banyak "Nas" dari ayat-ayat Al-Quraan dan Al-Hadith yang memperkatakan tentang sifat amanah yang membuktikan betapa sifat amanah adalah satu sifat yang mulia yang wajib dimiliki oleh manusia sejagat, khasnya mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT, RasulNya SAW dan Hari Pembalasan. Firman Allah SWT dalam Surah :An Nisa' (ayat 58) Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar dan sentiasa Melihat.

Rasulullah SAW pernah bersabda: Yang Bermaksud: "Sesungguhnya bagi Allah SWT ke atas diri engkau ada hak, dan bagi diri engkau ke atas diri engkau ada hak, dan bagi ahli keluargamu ke atas diri engkau ada hak, maka tunaikanlah segala hak ke atas diri engkau kepada yang ampunya. Berpandukan dari mafhun ayat 58 dari Surah An-Nisa' (di atas) tadi, Allah mewajibkan ke atas kita (individu muslim) supaya menunaikan segala amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, tidak kira siapa, di mana atau bila. Manakala mafhum dari Hadith Rasulullah SAW yang disebutkan (di atas) tadi pula memperincikan senarai mereka yang berhak untuk kita tunaikan amanah itu. Hadith ini menyokong kuat betapa amanah itu adalah suatu yang wajib ditunaikan. Dengan kata lain mereka yang berhak akan menuntut hak mereka supaya ditunaikan yang kalau kita gagal menunaikannya akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia bahkan hingga ke akhirat nanti. Maknanya kegagalan menunaikan hak-hak tersebut akan dikira sebagai bersalah yang boleh membawa berbagai hukuman di dunia ini, atau dikira sebagai berdosa yang boleh mengundang azab dan seksa di akhirat nanti. Amanah dan Tanggung Jawab Penjawat Awam Apabila kita bercakap tentang Penjawat Awam sudah tentu kita akan terbayang kepelbagaian jenis tugas yang tentunya berbeza di antara satu jawatan dengan jawatan yang lain. Tinggi taraf jawatan yang disandang maka tinggi pula imbuhan atau gaji yang bakal diperolehi, sesuai dengan beban tugas serta beratnya amanah yang dipikul. Buruh yang kita lihat begitu perit dan sengsara dalam mencari sesuap nasi hanya mendapat gaji yang kecil berbanding seorang Pengarah Urusan atau Pegawai Tinggi yang kelihatan senang lenang duduk di atas sebuah kerusi empuk yang boleh berpusing serta dinyamani oleh penghawa dingin, adalah antara contoh terbaik untuk kita ukur berat beban amanah yang mereka masing-masing tanggung. Apabila diukur dengan beban tugas dan amanah serta tanggung jawab seseorang penjawat awam maka barulah kita merasa bahawa gaji yang kecil untuk tenaga buruh adalah adil, manakala gaji yang besar dengan segala keselesaan yang dinikmati oleh Ketua Majikan dan Pegawai Tinggi adalah lambang bahawa keadilan itu ditegakkan. Tuntutan Amanah Ada tiga kategori besar tuntutan amanah yang perlu ditunaikan oleh Penjawat Awam dalam memastikan mereka benar-benar bekerja dan beribadah kerana Allah demi memajukan Jabatan masing-masing seterusnya memajukan dan memakmurkan Negara. Pertama: Senarai Tugas(sasaran) Setiap Penjawat Awam ada mempunyai senarai tugas yang diamanahkan kepadanya untuk ditunaikan, dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dalam menjaga amanah yang dipertanggung jawabkan, Penjawat Awam mestilah mengutamakan tugas yang disenaraikan melebihi kepentingan peribadi. Bukti bahawa seseorang Penjawat Awam itu benar-benar amanah dalam menjalankan tugasnya yang tersenarai ialah, kerja tertunggak sifar hingga kepada aduan sifar. Seandainya masih ada kerja-kerja tertangguh dan masih terdapat aduan atau komplen orang ramai, ini bermakna amanah masih belum ditunaikan sepenuhnya. Ini lebih berbahaya, bersalah dan berdosa seandainya tugas yang disenaraikan itu sengaja ditangguh-tangguh dengan mempermainkan masa, atau dilakukan dengan sambilewa yang mengurangkan kualiti dan menurunkan prestasi. Amanah itu sebenarnya hanya akan tertunai jika setiap Penjawat Awam mengamalkan budaya saing yang tinggi dalam memastikan kualiti dan prestasi kerjanya dari masa kesemasa. Dalam hal ini berbagai slogan

dan thema telah silih berganti disarankan kepada Penjawat Awam untuk mengamalkannya, seperti slogan "Bersih, Cekap dan Amanah" ,"Amal Jamaie Teras Kecemerlangan", "Berkhidmat kerana Allah demi Agama, Bangsa dan Negara" dan lain-lain lagi. Kalau slogan hanya tinggal slogan tentulah kesan yang ingin dilihat gagal muncul sebagai bukti kejayaan dalam menunaikan amanah itu. Selain dari slogan dan thema silih berganti, majikan satu-satu Jabatan pula berlumba-lumba dalam menambat hati pelangan dangan mengujudkan "Piagam Pelangan" selain dari memaparkan misi dan visi di pintu masuk atau di ruang legar pejabat masing-masing. Piagam Pelanggan yang memaparkan kecekapan kaki tangan menangani urusan setiap pelanggan antara lain menunjukkan bahawa mereka mengamalkan prinsip "minima masa maksima usaha" bilamana kerjakerja memproses sesuatu permohonan yang dulunya memakan masa lama dari berminggu-minggu hingga kepada berbulan-bulan bahkan makan tahun, kini hanya mengambil masa beberapa minit atau beberapa hari sahaja. Perkara seumpama ini tidaklah menjadi rumit atau menjadi sesuatu yang mengherankan lagi bilamana hampir setiap jabatan dibekalkan dengan kecangihan "IT" yang serba serbi boleh disiapsiagakan dalam komputer. Pendek kata semua kerja boleh disiapkan dengan cepat dan tepat, jika sekiranya setiap Penjawat Awam tersebut mahu disebut dengan gelaran orang ber"IT". Bekerja dengan kemahiran "IT" sudah tentu jadi lebih berprestasi dan berkualiti tinggi berbanding dengan cara "manual" sebelum ini. Ditambah pula dengan borang penilaian Sistem Saraan Baru (SSB) (terkini SSM) yang bertujuan menilai prestasi Penjawat Awam samada mereka layak atau tidak untuk dinaikkan gaji. Yang terkini menjadi satu budaya kerja ialah "Program Bertemu Pelanggan" di mana pelanggan akan diberi layanan secara khusus. Sebarang masalah akan cuba diselesaikan dalam masa yang paling minima disertai usaha pekerja yang paling maksima. Hasilnya ialah kepuasan hati pelanggan dan meningkatnya kualiti dan prestasi jabatan dimata umum. Kesemua ini digubal dan dibentuk bertujuan untuk mencapai target/sasaran prestasi tertinggi yang disebut sebagai "ISO-9020" yang bertaraf dunia dan WAWASAN 2020 untuk taraf kebangsaan. Kedua: Menepati (Menghargai) Masa Tidak kira apapun jawatan sudah tentu terikat dengan masa yang telah ditentukan. Ditentukan masa mula bekerja, masa rehat, masa balik/pulang kerja dan masa cuti. Dalam mempastikan masa-masa tersebut dipatuhi, berbagai kaedah telah dicipta. Bermula dengan menanda tangani buku kehadiran hingga kepada penggunaan "Punch Card" atau "Kad Perakam Waktu". Kalau kaedah menanda tangani buku kehadiran dicipta kerana mengelak dari gejala ponteng kerja atau datang lewat, Kad Perakam Waktu (KPW) dicipta demi mengelak penipuan dari segi masa. Walaupun begitu KPW masih boleh ditipu oleh pekerja yang memang penipu dan khianat dengan berbagai cara. Hinggakan kalau sekiranya kedatangan seseorang direkodkan dengan "cop lima jari berkomputer" sekalipun, mereka yang tidak amanah dan bersifat penipu tiada masalah untuk menggagalkan kaedah tersebut. Kesemua ini sebenarnya bertitik-tolak dari sejauh mana atau setebal mana "Iman" seseorang. Orang yang kuat Imannya tinggi taqwanya, manakala orang yang tipis Imannya maka tipis pula perasaan takutnya akan hukuman dunia dan juga azab seksa akhirat. Orang yang tipis Imannya, sanggup menipu dengan berbagai cara. Orang yang kuat Imannya dan tinggi ketaqwaannya tidak sekali-kali cuba menipu, biarpun KPWnya merakamkan waktu berwarna merah (lewat datang atau cepat balik) dia redha dan senang hati "menunjuk sebab" dengan penuh amanah kepada Ketua Jabatannya atau Majikannya. Bahkan dia rela menerima hukuman dunia dari menanggung azab seksa di akhirat nanti. Dia juga sedia bekerja lebih masa (samada awal datang atau lambat balik) demi menyiapkan kerjanya, dengan niat boleh membayar waktu terhutang kerana kelewatannya datang atau kecepatannya balik dimasa-masa yang lalu kerana kecuaiannya. Bahkan kadang-kadang dia sanggup datang bekerja

dimasa cuti tanpa menuntut elaun tambahan bekerja lebih masa dengan niat membayar hutang atau niat sedekah. Tugas dan tanggung jawab kerjanya diniatkan sebagai "Ibadah" kerana Allah SWT. Ini sesuai dengan Firman Allah SWT dalam Surah : At-Taubah (Ayat 105) Yang bermaksud: "Dan katakanlah (Wahai Muhammad SAW): Beramallah (bekerjalah) kamu (akan segala yang diperintahkan) maka Allah SWT dan RasulNya SAW serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah SWT) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia akan menerangkan (mengkhabarkan) apa yang telah kamu kerjakan". (Surah At-Taubah Ayat 105). Rasulullah SAW pula pernah bersabda: Yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Bekerjalah (beramallah) kamu untuk (kehidupan) dunia seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari" Orang yang beriman bekerja merasa diri dan kerja mereka sentiasa diawasi dan dinilai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW dan juga oleh orang-orang yang beriman. Mereka sedar bahawa "kiraman katibin" atau Malaikat pencatat segala amalan sedang merakamkan kerja-kerja mereka. Mereka juga bekerja berdasarkan mafhum Hadith yang disebutkan (di atas) dengan melakukan semua kerja dengan penuh kometmen dan "istiqamah" sambil menjauhi sifat-sifat "Mazmumah" seperti hasad, ria', ujub dan takabbur yang sering dibisikkan oleh syaitan ke dalam hatinya. Ini sesuai dengan mafhum sebuah Hadith : Yang bermaksud: "Telah bersabda Rasulullah SAW: "Bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak memandang rupa paras dan harta benda kamu, akan tetapi Allah SWT memandang kepada hati dan perbuatan (amal/kerja) kamu." Oleh kerana yang dipandang oleh Allah SWT adalah hati dan perbuatan atau amal atau kerja kita, maka setiap kerja kita mestilah berkualiti, terbaik dan berprestasi tinggi disamping mementingkan sifat keikhlasan bekerja kerana beribadah kepada Allah SWT serta bertujuan mencari keridhaanNya. Selain dari itu kita dituntut untuk menunaikan amanah dalam niat hati, azam, perkataan dan perbuatan. Niat yang ikhlas, azam yang kuat, perkataan yang baik, manis dan jujur serta perbuatan atau amal atau kerja yang benar, berkualiti dan cemerlang. Cemerlang dimata manusia dan cemerlang di sisi Allah SWT. Ketiga: Sifat Kepimpinan Dengan keadilan Allah SWT setiap insan dikurniakan dengan kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri, disamping kehebatan yang diperolehi melalui pengalaman serta kemuliaan yang dimiliki dengan ketinggian ilmu. Ini jelas apabila setiap individu mampu memimpin sekurang-kurangnya untuk dirinya sendiri. Pernyataan ini disokong oleh sebuah Hadith Nabi SAW: Yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap diri kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya". Menyedari hakikat ini, Ketua Jabatan atau "Boss" tidak sewajarnya memandang rendah terhadap keupayaan kepimpinan orang-orang bawahannya. Segala cetusan idea, pandangan, cadangan yang lahir, tidak kira siapa pencetusnya, mestilah ditimbang dengan neraca keadilan. Sifat keterbukaan dalam menilai satu-satu pendapat sebenarnya sering bergelut dengan sifat keegoan seorang yang bergelar "Boss". Kalau keegoannya memenangi pertarungan itu, dia akan awal-awal lagi menghukum orang bawahannya sebagai orang yang tidak mempunyai hak bersuara, bahkan kalau mereka bersuara sekalipun, suara mereka tidak patut dilayan. Akan tetapi jika sekiranya keterbukaan fikiran memenangi pertempuran itu maka segala pendapat yang dikemukakan akan ditimbang dan dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Dalam hal ini sebuah pepatah Arab ada menyarankan: Yang bermaksud: "Pandanglah (nilai) apa yang dikatakan (oleh seseorang), jangan pandang siapa yang berkata". Kalau acara mesyuarat, perbincangan atau dialog memang budaya yang kita iktiraf sebagai acara untuk mencambahkan buah fikiran, kenapa pula kita nafikan suara sebahagian besar anggota jabatan kita, hanya kerana ketinggian sifat ego kita sebagai "Boss". Yakinlah bahawa kerana terlalu tinggi taraf pemikiran seseorang, tidak mustahil dia terlepas pandang atau jahil tentang perkara yang sedang bergelumang dengan orang bawahannya yang mempunyai taraf pemikiran yang rendah, tapi sudah memadai baginya untuk menyampaikan hujjah berkaitan masalah yang dihadapinya. Seorang yang bergelar "Boss" bukan sahaja perlu adil dalam menimbang segala pandangan orang bawahannya dalam mesyuarat, perbincangan atau dialog, bahkan dia semestinya berupaya menyelami hati dan sanubari mereka. Menghormati dan menghargai perasaan orang bawahan adalah satu lagi amanah yang perlu ditunaikan, jika kita berstatus sebagai Ketua Jabatan. Sebagai Ketua Jabatan kita tidak usah mabuk kuasa atau tunjuk kuasa setiap masa. Adakalanya kita perlu mengamalkan prinsip berkongsi kuasa demi memajukan jabatan kita. Sikap ramah mesera sesama anggota adalah anak kunci utama dalam rangka menjayakan misi dan visi serta piagam pelanggan kita, sekali gus memudahkan segala amanah ditunaikan dan diserahkan kepada yang ampunya. Walaupun ketegasan tidak boleh diremehkan namun ketegasan tidak semestinya dengan memek muka yang serius, apatah lagi berwajah bengis. Sebenarnya seorang ketua tiada sebab untuk memaksa orang bawahannya melaksanakan sesuatu tugas mengikut cara yang difikirkannya sesuai. Kerana cara yang difikirkannya mungkin hanya sesuai bagi dirinya sendiri, sedangkan orang bawahannya mempunyai cara tersendiri yang lebih sesuai dilakukan untuk mempastikan tugasnya dapat disempurnakan. Dalam membuat arahan harus diingat bahawa kita bukan memerintah (secara kasar) tetapi mohon khidmat mereka supaya memberikan bantuan dan pertolongan (dengan lembut) sehingga mereka merasa diri mereka dihargai dan diperlukan. Sebagi "Boss" tiada salahnya merendahkan diri melakukan kerja-kerja yang biasa dilakukan oleh orang bawahan supaya dapat dijadikan contoh sebagai "rule model", sekali gus mendidik jiwa kita supaya "tawadhuk" dan ikhlas agar dapat menyingkirkan sifat ego yang bersarang di dalam hati kita. Itulah antara amanah yang harus dipikul oleh mereka yang bergelar pemimpin. Kesimpulan Amanah adalah teras kecemerlangan, kebahagiaan dan kemakmuran hidup di dunia dan di akhirat. Mereka yang mengabaikan sifat amanah adalah mereka yang menempah kegagalan, penderitaan dan kecelakaan bukan sahaja di dunia bahkan di Hari Pembalasan nanti. Amanah yang dikaitkan dengan pekerjaan, penjagaan masa dan sifat kepimpinan adalah berkait rapat dengan beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan (melakukan) kebenaran dan kesabaran. Kegagalan menunaikan amanah dan menjaga kepentingan masa dikategorikan sebagai kerugian, seperti yang dijelaskan oleh Firman Allah SWT dalam Suratul- 'Asr: Yang bermaksud: "Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu (semuanya) berada di dalam kerugian (2) Melainkan mereka yang beriman, dan beramal soleh(baik), dan mereka yang berpesan-pesan (supaya) melakukan (menegakkan) kebenaran, dan berpesan-pesan (supaya) mengutamakan kesabaran (3). Suratul-'Asr (1-3). Kalau dilihat perkataan "Aamanuu" (beriman) adalah dari kata dasar "Alif di atasnya hamzah, mim, nun" iaitu kata dasar yang sama dengan perkataan "Amanah" cuma kata dasar "Aamanuu" iaitu "Alif di atasnya hamzah, mim, nun" disebut "amana" huruf mim berbaris fathah (atas) manakala kata dasar bagi amanah disebut "amina" huruf mim berbaris kasrah (bawah). Ini membawa makna iman adalah teratas bagi segalagalanya, yang utama dan pertama pada penilaian Allah SWT. Manakala amanah adalah satu perkara yang wajib dijunjung dan dijulang dari bawah diangkat ke atas, umpama mengangkat martabat mereka yang menunaikan amanah itu sendiri.

Orang yang meminimakan masa (menghargai masa dan mengelakkan dari bertangguh) dengan memaksimakan usaha adalah mereka yang berusaha sedaya upaya menunaikan amanah sesuai dengan tahap keimanan yang dimilikinya. Kalau "A" tahap keimanan seseorang maka "A"lah gred amanah seseorang itu lalu "A"lah pula pencapaian prestasi dan kualiti kerjayanya dunia dan akhirat. Demikian seterusnya mengikut ukuran. Walau macamanapun Allah SWT tidak membebankan sesuatu kepada kita melainkan sesuai dengan keupayaan yang kita miliki dari berbagai aspek. Maka kita layak menikmati sesuatu dari apa yang kita usahakan dan sebaliknya kita akan terima kegagalan dari hasil kecuaian kita dalam meningkatkan daya usaha kita sehingga bersesuaian dengan keupayaan sebenar yang kita miliki. Seperti Firman Allah SWT dari Surah : Al-Baqarah (Ayat 286) Yang mafhumnya: "Allah (sekali-kali) tidak membebankan (sesuatu) kepada seseorang melainkan sesuai dengan keupayaan (yang dimiliki)nya, maka bagi seseorang itu pahala (kejayaan) atas apa yang telah diusahakannya dan sebaliknya ke atas merekalah dosa (kegagalan) dari apa yang mereka usahakan (secara cuai)". Penutup Akhir kata marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kehadrat Allah SWT semoga dengan meningkatnya iman dan tawqa kita akan mempertingkatkan sifat dan sikap amanah dan tanggung jawab kita terhadap kerjaya kita sebagai Penjawat Awam. Seorang Penjawat Awam Muslim dan Mukmin mestilah bersiap untuk menjadi cermin kepada yang lain dalam segala aspek. Justeru itu dalam mencari keridhaan Allah SWT adalah menjadi amanah dan tanggung jawab kita untuk meraih anugerah "Pekerja Cemerlang". Bukan sahaja di peringkat jabatan, peringkat negeri dan peringkat kebangsaan bahkan menjadi "Pekerja Cemerlang" di sisi Allah SWT dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda di akhirat nanti. Sekian Terima(lah) Kasih! Oleh : Azhari(s) Dihasilkan pada - Ahad 14 Julai 2002.

S-ar putea să vă placă și