Sunteți pe pagina 1din 6

Masalah Pendengaran

Pendengaran adalah satu saluran penting bagi manusia menerima bahan-bahan ilmu. Masalah pendengaran adalah masalah-masalah yang menjejaskan komunikasi iaitu masalah bercakap atau memahami perkara yang diperkatakan oleh orang lain. Kehilangan pendengaran merupakan ancaman utama bukan sahaja terhadap komunikasi tetapi juga kepada kehidupan peribadi dan sosial individu. Ketidakupayaan mendengar pertuturan, bahasa, muzik dan bunyi-bunyi alam sekeliling berkaitan dengan masalah psiko-sosial yang memberi kesan terhadap fungsi dan kualiti kehidupan seharian. Terdapat beberapa prasarana, kemudahan dan alat-alat yang telah dicipta dan disediakan untuk membantu individu-individu atau murid-murid yang menghadapi masalah pendengaran. Pertama adalah alat bantu pendengaran. Alat bantu dengar ini ialah alat elektronik yang menggunakan kuasa bateri yang berfungsi untuk menguatkan bunyi bagi membantu pendengaran dan komunikasi menjadi lebih baik. Alat ini berfungsi dengan cara menerima bunyi melalui mikrofon yang kemudiannya menukarkan tenaga bunyi kepada tenaga elektrik. Seterusnya amplifier akan menambahkan signal tersebut dan menghantar ke telinga melalui fon telinga atau pembesar suara. Jenis-jenis alat bantu dengar yang selalu digunakan adalah alat bantu dengar belakang telinga (Behind-The-Ear/BTE), alat bantu dengar dalam telinga (InThe-Ear/ITE) dan alat bantu dengar dalam saluran telinga (Completely-In-Canal/CIC).

Alat bantu dengar belakang telinga

Alat bantu dengar dalam telinga

Alat bantu dengar dalam saluran telinga

Kemudahan yang kedua adalah penyediaan bilik atau kelas yang kedap bunyi untuk murid-murid bermasalah pendengaran. Keadaan persekitaran kelas murid-murid ini perlulah dalam keadaan yang kondusif dan kalis bunyi supaya murid bermasalah pendengaran yang memakai alat bantu dengar tidak menghadapi tekanan atau terkeliru dengan bunyi yang didengar. Sebagai contoh, kelas masalah pendengaran yang ideal perlulah dipasang karpet untuk menyerap bunyi dan dinding-dinding kelas tersebut perlulah kalis bunyi. Selain itu, penggunaan perabot di dalam kelas tersebut perlulah menggunakan perabot kayu atau plastik yang tidak menghasilkan bunyi yang kuat serta tingkap dan pintu hendaklah ditutup supaya dapat mengurangkan kemasukan bunyi daripada luar kelas.

Contoh kelas murid bermasalah pendengaran di luar negara

Contoh kelas murid bermasalah pendengaran di Malaysia

Pihak kerajaan turut menyediakan peruntukan yang banyak untuk pendidikan murid-murid berkeperluan khas seperti murid-murid yang mempunyai masalah pendengaran dengan memberikan kemudahan teknologi yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Kemudahan yang diberikan untuk kegunaan guru-guru khas bagi murid-murid masalah pendengaran ini juga dikategorikan sebagai teknologi dalam pendidikan contohnya modal tangan bahasa isyarat, CD pendidikan dalam bentuk bahasa isyarat dan komputer bagi membantu proses pembelajaran murid dengan lebih berkesan. Antara kelebihan-kelebihan alat teknologi yang diberikan kepada mereka adalah boleh membantu dan memudahkan mereka dalam melakukan aktiviti harian

mereka. Sebagai contoh, teknologi komputer dapat membantu mereka untuk menghantar maklumat atau dokumen melalui email dan berkomunikasi dengan orang lain. Dari segi pendidikan pula, mereka boleh menggunakan teknologi tersebut untuk mencari maklumat dan menimba ilmu pengetahuan dengan melayari internet melalui google, serta memuat turun buku-buku elektronik, video-video berunsur pendidikan dan lain-lain lagi.

Penggunaan komputer

Penggunaan CD bahasa isyarat

Di samping itu, keadaan pada waktu rehat atau waktu-waktu kecemasan memerlukan murid-murid bermasalah pendengaran mengambil perhatian sewajarnya untuk pergi ke kantin atau menyelamatkan diri. Oleh itu, penggunaan kelipan lampu merah dalam kelas umpamanya menandakan telah tiba waktu rehat atau sesuatu kecemasan telah berlaku. Pemasangan alat seperti ini amat penting kerana murid bermasalah pendengaran hanya akan berpandukan kepada kelipan lampu tersebut bagi dua tujuan tersebut. Penyediaan media dan alat bantu mengajar(ABM) yang sesuai untuk muridmurid masalah pendengaran juga amat penting kerana mereka kekurangan satu deria yang penting dalam kehidupan. Oleh itu, guru-guru perlulah memilih dan menyediakan media dan alat bantu mengajar yang sesuai dengan menekankan kepada deria penglihatan sentuh melalui penyediaan bahan-bahan maujud supaya dapat dilihat dan dirasai oleh murid-murid tersebut. Antara bahan sokongan yang digunakan khusus untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh disediakan oleh guru ialah carta, foto, OHP (ABM bagi deria penglihatan), model dan spesimen biologi (ABM bagi

deria sentuh). Perkara ini dapat membantu murid-murid bermasalah pendengaran menerima pengetahuan dan pembelajaran dengan lebih berkesan lagi dengan menggunakan derianya yang lain dalam sesi P&P.

Contoh ABM bagi deria penglihatan

Contoh ABM bagi deria sentuh

Selain itu, hak menggunakan kemudahan pusat sumber sekolah turut diberikan kepada murid-murid bermasalah pendengaran di sekolah. Berdasarkan prinsip hak guna sama, murid-murid bermasalah pendengaran yang belajar dalam program integrasi atau inklusif diberi peluang menggunakan kemudahan yang disediakan seperti pusat sumber dan pusat akses kendiri yang terdapat dalam satu-satu pusat sumber sekolah. Oleh kerana murid-murid ini boleh melihat, menulis dan membaca seperti murid normal, maka mereka bebas menggunakan bahan-bahan rujukan dan kemudahan IT sebagai membantu mereka memperolehi ilmu sebanyak yang mungkin.

Pusat sumber sekolah

Pusat akses kendiri

Akhir sekali, pihak kerajaan juga menyediakan perkhidmatan audiologi kepada individu dan murid-murid yang bermasalah pendengaran. Perkhidmatan ini amat penting bagi individu-individu ini yang memerlukan pengesanan, tindakan awal, penjagaan dan perlindungan yang sesuai. Melalui perkhidmatan ini dapat menentukan sama ada seseorang individu dapat mendengar dengan baik atau tidak. Audiologi ini juga akan memastikan dan mengesahkan sama ada seseorang individu itu mempunyai masalah pendengaran serta menjelaskan masalah pendengaran yang dihadapi. Masalah pendengaran yang dihadapi akan dianalisis serta diberikan bimbingan dan pilihan kepada individu yang terlibat untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Perkhidmatan ini boleh diperolehi di hospital dan agensi swasta yang berkaitan.

Perkhidmatan audiologi

Penyediaan kemudahan, prasarana dan alat-alat untuk murid-murid bermasalah pendengaran dalam P&P dan kehidupan mereka akan dapat meningkatkan

kepercayaan dan keyakinan bahawa mereka juga mempunyai potensi dan bakat yang setaraf dengan murid normal seterusnya memberi sumbangan dalam meningkatkan prestasi sekolah khususnya dalam bidang akademik. Pengiktirafan kejayaan dan kemudahan yang diperolehi membolehkan mereka rasa dihargai , diterima dan rasa selesa hidup bersama masyarakat normal.

Rujukan Jamila K.A. Mohamed (2009). Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa. Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Jenis Alat Bantu Pendengaran http://www.bayaudio.com.my/in/hearing-health/jenis-alatbantu-pendengaran diakses pada 9 Oktober 2013

Alat

Bantu

Dengar

http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php?option=com_

content&view=article&id=810&Itemid=5 diakses pada 9 Oktober 2013

Keadaan

Kelas

Murid

Bermasalah

Pendengaran

http://meeze89.blogspot.com/2012/09/baiklah-sebagai-permulaan-dalam.html diakses pada 9 Oktober 2013

Penggunaan

Teknologi

untuk

Golongan

Bermasalah

Pendengaran

http://www.slideshare.net/hidayahazhar/penggunaan-teknologi-untuk-golonganbermasalah-pendengaran diakses pada 10 Oktober 2013

Sumber dan Faktor Persekitaran di Sekolah yang Boleh Dimanipulasi untuk Membantu Proses Normalisasi bagi Pelajar Cacat Pendengaran

http://kulanzsalleh.blogspot.com/2010/02/sumber-dan-faktor-persekitaran-di.html diakses pada 10 Oktober 2013

Audiologi (Ujian-ujian Pendengaran) http://farzielahzakaria.blogspot.com/2011/04/1.html diakses pada 10 Oktober 2013

S-ar putea să vă placă și