Sunteți pe pagina 1din 1

PPPM: ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem
pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.
Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta
semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan
berprestasi tinggi yang lain.

Tindakan bagi merealisasikan lima aspirasi berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif dalam
mana-mana aspek berkenaan yang boleh menjejaskan atau menghalang kemajuan yang lainnya.
Akses: Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan
bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar
akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas
(Tingkatan 5) menjelang 2020.
Kualiti: Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan
sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa. Aspirasi sistem
pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam
pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan
datang (TIMSS dan PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang
menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi
itu dibangunkan dan diterima di peringkat antarabangsa.
Ekuiti: Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanakkanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian
berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap
sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50% menjelang 2020.
Perpaduan: Murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada
masa mereka di sekolah. Melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang
sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan.
Keadaan ini mewujudkan suatu perkongsian pengalaman dan aspirasi bagi membina masa hadapan
Malaysia. Kementerian berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada
murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan
rakyat Malaysia.
Kecekapan: Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan
keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem.
Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, Kementerian berhasrat untuk
memaksimumkanke berhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

S-ar putea să vă placă și