Sunteți pe pagina 1din 3

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI NOH HAJI OMAR


MENTERI PERTANIAN & INDUSTRI ASAS TANI
SEMPENA
SEMINAR PENGURUSAN KEWANGAN PEMBORONG DAN
PENGILANG BERAS BUMIPUTERA BERNAS

25 JANUARI 2011
SACC CONVENTION CENTRE, SHAH ALAM

Yang Berusaha Encik Muhammad Ramdan Ramdan Yusof


Ketua Pegawai Operasi, BERNAS

Yang Berusaha Encik Ahmad Tarmizi Mohamed Hariri


Ketua Pegawai Kewangan, BERNAS

Yang Berusaha Encik Mohd Roslan Bani Amin


Penolong Pengurus Besar, Jabatan Pembangunan Usahawan

Yang Berusaha Encik Ismail bin Awang


Pengerusi Persatuan Pemborong Beras Bumiputera Selangor dan
Wilayah Persekutuan merangkap Presiden Penaja Bumiputera
Association Rice of Malaysia (BARIM)

Para Peserta Seminar Pengurusan Kewangan Pemborong dan


Pengilang Beras Bumiputera BERNAS

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pertama sekali saya ingin mengucapkan rasa syukur ke hadrat


Allah S.W.T kerana dengan kurnia dan izinNya kita dapat berkumpul di
Majlis Pelancaran Seminar Pengurusan Kewangan Pemborong dan
Pengilang Beras Bumiputera BERNAS pada hari ini.

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada BERNAS di atas


inisiatif menganjurkan Seminar ini dan mengucapkan ribuan terima
kasih kerana telah sudi mengundang saya merasmikan Seminar ini.

1
Industri padi dan beras adalah salah sebuah industri terpenting
bagi negara kita. Industri ini perlu dipantau dan dimajukan demi
memastikan keselamatan bekalan makanan rakyat terjamin lebih-lebih
lagi apabila sempadan perdagangan antarabangsa Malaysia dibuka
kepada syarikat-syarikat gergasi asing berikutan pelaksanaan agenda
Kawasan Perdagangan Bebas Asia (AFTA).

Persaingan yang bakal diberikan oleh syarikat-syarikat beras


dari Thailand, Vietnam, Myanmar dan lain-lain negara pengeluar beras
utama dunia adalah amat mencabar dan syarikat-syarikat tempatan
perlu membuat persediaan dan merangka strategi perniagaan yang
lebih efisyen dan dinamik bagi memastikan mereka mampu bersaing
di pasaran antarabangsa.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Ketika ini terdapat 1611 pemborong beras yang berdaftar di


seluruh negara dan daripada jumlah ini sebanyak 778 adalah
pemborong-pemborong beras Bumiputera. Bagaimanapun,
kebanyakan pemborong-pemborong beras Bumiputera ini beroperasi
secara kecil-kecilan dan adalah sukar untuk memastikan mereka dapat
bersaing dengan syarikat-syarikat pemborong beras asing yang akan
memasuki pasaran negara ini kelak.

Justeru, program-program pembangunan perniagaan seperti


Program Pengurusan Kewangan Pemborong dan Pengilang Beras
Bumiputera BERNAS ini adalah sangat penting kerana ia dapat
memberi peluang kepada pemborong beras Bumiputera untuk
meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka di dalam
pengurusan akaun kewangan syarikat, aliran tunai, pentadbiran kredit
serta pendedahan mengenai cukai perniagaan serta zakat perniagaan.
Dengan adanya pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan
yang baik, usahawan-usahawan Bumiputera ini akan dapat merancang
dan memperkukuhkan perniagaan mereka untuk bersaing dengan
syarikat-syarikat luar.

Kerajaan amat mengalu-alukan sebarang inisiatif oleh BERNAS


dan menyeru lebih banyak syarikat swasta untuk mencontohi usaha
BERNAS di dalam membantu meningkatkan tahap kecekapan
usahawan-usahawan Bumiputera seterusnya menyatukan semua
pemain di setiap lapisan atau peringkat di dalam industri padi dan
beras negara. Sebarang usaha ke arah konsolidasi dan integrasi
industri ini adalah amat perlu demi menjamin keselamatan bekalan
makanan negara. Pihak Kerajaan akan sentiasa memberikan sokongan
bagi menjayakan usaha ini.
2
Pihak Kementerian dengan kerjasama beberapa agensi di
bawahnya termasuk BERNAS telah dan sedang giat melaksanakan
usaha ke arah konsolidasi dan integrasi industri padi dan beras
negara. Usaha bagi mengukuhkan setiap komponen di dalam rantaian
bekalan makanan negara daripada petani, pengilang, pemborong,
peruncit hinggalah kepada pengguna dilaksanakan secara
berperingkat-peringkat.
Dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang sistematik,
saya percaya usaha ini akan berjaya dan masa depan industri padi dan
beras negara akan lebih terjamin.

Saya ingin menyeru semua pihak yang terlibat di dalam industri


padi dan beras negara khususnya para pemborong dan pengilang
beras Bumiputera supaya sentiasa berusaha untuk meningkatkan
tahap kecekapan dan memajukan perniagaan masing-masing serta
bekerjasama dan bergabung demi untuk membentuk satu sinergi ke
arah satu matlamat bersama iaitu meningkatkan pengeluaran padi dan
beras negara seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya
golongan Bumiputera di dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Semoga segala usaha kita untuk berbakti di bumi Malaysia yang


bertuah ini membuahkan hasil yang baik bukan sahaja untuk kita
malahan juga untuk diwarisi generasi akan datang. Dengan ucapan
Bismillahirahmanirahim, saya merasmikan Seminar Pengurusan
Kewangan Pemborong dan Pengilan Beras Bumiputera BERNAS 2011.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum


warahmatullah wabarakatuh.

S-ar putea să vă placă și