Sunteți pe pagina 1din 1

1.

'Ambil iktibar kejadian pemanasan global'

KUALA LUMPUR: Pemanasan global yang dialami bumi ketika ini seharusnya meningkatkan
kesedaran dan tanggungjawab penggubal dasar dan anggota masyarakat untuk mengawal
sumber bekalan air dan sistem pengudaraan bagi mengelak kesan negatif terhadap amalan
kehidupan harian.

Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman
Salleh, berkata kedua-dua keperluan hidup itu sewajarnya dijaga terutama ketika bumi sedang
mengalami pemanasan berikutan pembebasan gas dari rumah hijau.

"Dalam menghadapi situasi ini, kanak-kanak dan warga tua terutama yang mengalami masalah
kesihatan perlu berhati-hati dan meminum air yang dimasak atau air yang ditapis secukupnya,
manakala pemilik kenderaan pula tidak seharusnya terlalu kerap mencuci kereta kerana ia boleh
menyebabkan pembaziran sumber.

"Bagi kerajaan pula, perancangan pembangunan kawasan yang lebih sistematik penting seperti
kegiatan penebangan hutan dan projek perumahan," katanya.

Kelmarin, cuaca panas melampau dikatakan punca rel kereta api mengembang dan membengkok
hingga menyebabkan 28 gerabak barang tergelincir di Kilometer 58.75 berhampiran Kampung
Guar Stesen Dalam, Guar Chempedak, dekat Yan di Kedah. Cuaca panas juga menyebabkan
kawasan tadahan air di beberapa negeri mencatatkan paras air yang berkurangan.

Dr Khairulmaini berkata, kejadian pada 21 Mac apabila matahari berada pada kedudukan
menegak dengan Khatulistiwa akan menyebabkan bahagian tertentu bumi mengalami cuaca
panas termasuk Malaysia.

Katanya, pemanasan bumi ketika ini juga akan menyebabkan kitaran atmosfera, daratan dan
lautan dipengaruhi dan menjejaskan konsep imbangan.

Berikutan itu, beliau berkata, kawasan kitaran hidrologi penting untuk menentukan bekalan dan
penggunaan air yang seimbang bagi memastikan sumber kekal untuk jangka panjang.

"Penggunaan melebihi pembekalan boleh menimbulkan banyak masalah dan ini tidak seharusnya
berlaku kerana ia adalah asas dalam kehidupan," katanya.

Selain itu, beliau berpendapat panas yang dialami negara ketika ini wajar digunakan sebaiknya di
kalangan pakar kaji cuaca untuk membangunkan teknologi mesra alam bagi menangani kesan
perubahan cuaca di rantau ini.

"Malaysia boleh menjadi peneraju kepada pelbagai masalah cuaca yang dialami, bersesuaian
dengan adanya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air," katanya.

S-ar putea să vă placă și