Sunteți pe pagina 1din 13

http://www.kesturi.

net/archives/1203
PEMBINAAN SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU
By Wan Ramli Wan Daud • Nov 12th, 2010 • Category: Makalah

PEMBINAAN SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU

Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud

Presiden

Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)

Pengarah Institut Sel Fuel & Profesor Kejuruteraan Kimia

Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Pembinaan sains dan teknologi Melayu mengikut acuan semdiri adalah program utama
pemeribumian ilmu (sebelum abad ke-21, pengIslaman ilmu) tajaan ASASI. Sains dan teknologi
Melayu-Islam bukanlah sains dan teknologi Barat yang diamalkan oleh ahli sains dan teknologi
Melayu kini tetapi sains dan teknologi yang berasaskan pada kerangka pemikiran Melayu-Islam
itu sendiri mengikut pengertian teori paradigma Kuhn. Sains dan teknologi Melayu-Islam itu
sudah wujud sejak kedatangan Islam ke alam Melayu lagi tetapi terencat dan terpupus oleh
penjajahan Inggeris. Sebuah program pemeribumian sains dan teknologi telah dijalankan oleh
ASASI pada abad ke-21 ini bagi membina semula sains dan teknologi Melayu-Islam
menggunakan strategi serampang tiga mata melalui kritikan sains dan teknologi Barat,
penggalian etnosains dan etnoteknologi Melayu-Islam dan pra-Islam dan pencungkilan prinsip
asas sains dan teknologi dari sains dan teknologi zaman klasik Islam. Hasil kejayaan awal yang
dilaporkan dalam makalah ini diharapkan akan disambut oleh lebih ramai ahli sains dan
teknologi Melayu-Islam untuk menyertai program yang amat penting itu.

PENGENALAN

Mengikut Kuhn, sains yang dibina oleh sesuatu umat diwarnai oleh kerangka pemikiran umat
tetang alam semesta itu atau kosmologi umat itu yang masyhor digelar Kuhn paradigma umat itu
(Kuhn 1996). Jika teori pembinaan sains Kuhn itu benar, maka sains yang dibina oleh umat
Melayu-Islam di Pascabima (istilah bagi alam Melayu yang dicipta oleh kumpulan etnosains
Melayu ASASI, Shaharir 2010) pastilah terasas pada kerangka pemikiran Melayu-Islam itu
sendiri. Teknologi sesuatu umat itu juga berubah mengikut perubahan paradigma ala Kuhn juga
tetapi bukan kerana perubahan paradigma itu sahaja tetapi dari keperluan praktik umat dan kini
dari pacuan kepenggunaan bersifat komersial yang sangat pantas (Wan Ramli 2010).
Sains dan teknologi Melayu-Islam bukanlah sesuatu yang belum ada atau yang baru saja muncul
tetapi sains itu sudah berkembang sejak zaman pra-Islam lagi hingalah ke zaman klasik Melayu-
Islam sebelum zaman penjajahan Eropah itu. Kewujudan ahli nujum (ahli astronomi/fizik) dan
orang seri (ahli kimia) di istana Raja Melayu dalam Hikayat Raja Pasai menunjukkan sekurang-
kurangnya pada awal abad ke 13M itu lagi sudah ada ahli sains Melayu mengamal sains Melayu
yang diwarisi daripada sains pribumi dan Hindu/Budha pra-Islam dan sains zaman klasik Islam
dari Tanah Besar Islam di Asia Barat. Sudah tentulah ahli nujum dan orang seri diraja itu dididik
di sekolah pondok dan pesantren di negeri Melayu yang tidak hanya mengajar ilmu agama tetapi
juga ilmu lain seperti matematik, sebelum mendalami ilmu nujum dan kimia di situ atau di tanah
Besar Islam Asia Barat. Teknologi Melayu pula pastilah sudah lama berkembang dari zaman
purba lagi. Pandai keris dan besi dan tukang timbal jong yang turut bekerja di Istana membuat
senjata dan jong bagi kegunaan Raja dan Pembesar-Pembesar negeri menunjukkan teknologi
besi (logam) dan teknologi kapal atau jong sudah masyhur dikuasai orang Melayu sejak purba
kala lagi.

Pada zaman penjajahan Inggeris, ahli nujum dan orang seri istana digantikan dengan Penasihat-
Penasihat Inggeris yang secara licik memulakan proses pensekularan pendidikan rakyat dengan
pembinaan sekolah-sekolah Inggeris dan pendakwah Krisitian pada abad ke-19, mulanya untuk
anak-anak kakitangan penjajah dan bangsa asing dan setelah dibantah pemuka Melayu juga bagi
anak Melayu (Kolej Melayu bagi anak bangsawan sahaja ketika itu dan kini untuk anak rakyat
jelata). Setelah Merdeka proses pensekularan itu diterajui pula bangsa sendiri (tanpa sedar
mungkin) dengan pembinaan sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan bagi setiap
kaum yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan beracuan Inggeris yang disampaikan dalam
bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

Pemingiran madrasah, sekolah pondok dan persantren oleh orang-orang Melayu sendiri terutama
para pemuka yang kagum dengan Sains Barat yang diajar di sekolah-sekolah ‘moden’ itu
menggugat kesinambungan sekolah -sekolah tradisi itu sehingga satu persatu sekolah pondok
dan persantren tutup kedai sehinga hanya sekumpulan kecil sahaja yang masih hidup tetapi
dengan kurikulum yang terhad kepada pengajian agama semata-mata kerana sekolah-sekolah
‘moden’ telah mengambil alih pengajaran matematik dan sains Barat pada mulanya dalam
bahasa Inggeris tetapi semangat kebangsaan yang tebal selepas itu memaksa proses
pembudayaan Sains Barat dalam sistem pendidikan kebangsaan hingga ke Universiti itu
dilakulan dalam bahasa Melayu. Cubaan untuk kembali pada zaman penjajah menggunakan
bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik jelas gagal. Teknologi Melayu juga
menjadi malap setelah pemasaran barangan murah dari Barat dan penguasaan pengangkutan laut
oleh penjajah memaksa kebanyakan bengkel logam dan jong dan perahu Melayu tutup kedai dan
pengetahuan dan kemahiran pandai keris dan besi dan juru timbal turut terpupus. Beberapa
jenerasi ahli Sains dan jurutera Melayu, hasil sistem pendidikan sekular itu, menelaah ilmu sains
dan kejuruteran di England dan Amerika dalam bahasa Inggeris tanpa kriitikan dan balik
meneruskan kesinambungan sains dan kejuruteraan Barat itu di Universiti-Universiti tempatan.

TAKRIF SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU-ISLAM

Adakan sains Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini itu sains yang ditelaah oleh ahli-ahli sains
Melayu moden itu? Sains yang dimaksudkan dengan sains Melayu-Islam itu ialah sains yang
dibina daripada, pandangan alam atau kosmologi orang Melayu-Islam berasaskan pegangan
agama Islam (Sharir 2011). Teknologi Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini ialah teknologi
nyang dibina berasaskan konsep penundukan alam taskhir dan tazlil sebagai khalifah Allah di
bumi yang tidak merosak alam (fasad fil ard) dan daya cipta/kreativiti Islam yang meniru
penciptaan makhluk (Wan Ramli 2010a). Sains yang dibina oleh ahli sains Melayu kini tidak
layak digelar sains Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini kerana sains ‘moden’ itu berasaskan
pandangan alam atau kosmologi orang Barat dan pegangan sekular atau agama Barat yang
ditelaah oleh sarjana Melayu tanpa dikritik dari kaca mata pandangan alam Melayu-Islam dan
dibetulklan atau ditukar sama sekali dengan sains baru yang serasi dengan pandangan alam
Melayu-Islam dan pegangan agama. Begitu jugalah dengan teknologi yang telah dibina oleh ahli
teknologi/jurutera Melayu tidak layak digelar teknolog Melayu-islam seperti yang dimaksudkan
di sini kerana teklnologi dan kejruteraan ‘moden’ itu berasaskan pandangan alam atau kosmologi
orang Barat, pegangan sekular atau agama Barat dan budaya kepergunaan Barat yang
dieksploitasi oleh kaum kapitalis bagi menghasilkan berbagai produk berteknologi yang berubah
dengan pesat bagi mengaut keuntungan yang berlebihan itu, yang ditelaah oleh sarjana Melayu
tanpa dikritik dari kaca mata pandangan alam Melayu-Islam dan dibetulklan atau ditukar sama
sekali dengan tenologi baru yang serasi dengan pandangan alam Melayu-Islam dan pegangan
agama. Pembinaan sains dan teknologi Melayu-Islam yang dimaksudkan di sini juga sesuai
dengan pengIslaman ilmu yang digagaskan pada tahun 1980-an dan 90-an dahulu itu yang
tenggelam dengan penaja politiknya dan pemeribumian ilmu tajaan ASASI yang lebih produktif
tanpa tajaan politik yang menggantikannya menjelang abad ke-20 hingga kini. Pemeribumian
ilmu itu tidaklah banyak berbeza dengan pengislaman ilmu itu kerana orang Melayu peribumi
kini sepenuhnya beragama Islam sekian lama, malah lebih luas lagi, unsur-unsur sains pra-islam
yang tidak melanggar pegangan akidah dan kehendak agama islam yang mubah boleh digunakan
dalam pembinaan sains dan teknologi Melayu-Islam itu (Shaharir 2010).

PROGRAM PEMBINAAN SAINS DAN TEKNOLOGI MELAYU-ISLAM

Pemeribumian sains dan teknologi anjuran ASASI abad ke-21 bagi membina sains dan teknologi
Melayu-Islam tidak lagi bersifat falsafah atau sejarah semata-mata yang hanya menimbulkan
sindrom syok sendiri seperti yang berlaku pada abad ke-20 dahulu itu, tetapi bersifat lebih
konkrit mengkritik matan sains dan teknologi Barat itu dan membina sains dan teknologi
Melayu-Islam yang kuat bnerasaskan etnosains dan etnoteknologi Melayu-Islam dan fahaman
ahli sains dan teknologi Islam zaman klasik Islam dahuliu itu. Strategi serampang tiga mata
dilaksanakan bagi program pemeribumian sains dan teknologi itu (Shaharir 2011):

1. Mengkritik sains dan teknologi Barat bagi menyembul kelemahan teori dan ketidakserasian
dengan kosmologi Melayu-Islam dan pegangan akidah

2. Menggali etnosains Melayu-Islam dan Melayu-praIslam bagi mendapatkan fahaman asas sains dan
teknologi Melayu-Islam seperti masa, ruang, gerakan dan jisim bagi membina sains dan
tekjnologi Melayu-Islam baru

3. Mencungkil sumbangan ahli sains dan teknologi Muslim klasik tentang konsep asas sains dan
teknologi seperti masa, ruang, gerakan dan jisim, dan prinsip reka bentuk bagi membina sains
dan tekjnologi Melayu-Islam baru
KRITIKAN SAINS DAN TEKNOLOGI BARAT

Pendekatan pertama ialah mengkritik sains dan teknologi Barat yang telah ditelaah selama ini
terutama bahagian teori asasnya menggunakan kaedah yang telah digunakan oleh ahli sains pada
zaman Islam klasik bagi menentukan sama ada sains itu sesuai dengan akidah dan kosmologi
Islam.

Contoh utama ialah perdebatan di antara para ulama mutakallimun dan ahli falsafah
masyaaiyyun yang mewarisi sains dan falsafah Yunani tentang sama ada masa dan ruang atau
jirim itu diskret (mutakallimun) atau selanjar (masyaaiyyun). Perdebatan yang sama berulang di
antara al-Biruni (masa dan ruang diskret mengikut ahlu sunnah wal-jama’ah) dan Ibnu Sina
(masa dan ruang selanjar mengikut masyaaiyyun).

Setakat ini amat sedikit kritikan ahli sains Melayu terhadap sains moden terutama teori besar
utama sains moden kecuali dua kritikan terhadap teori evolusi (Osman Bakar 2003) dan teori
kenisbian dan quantum (Shaharir 2010). Kritikan ahli sains Muslim lain juga terbatas kecuali
kritikan Iqbal terhadap teori kenisbian Einstein terutama di segi kefahaman ruang-masa (Iqbal
1934). Kritikan teori evolusi oleh Osman 2003 jelas menunjukkan teori itu tidak disenangi oleh
ramai ahli sains biologi Barat yang terbilang di segi sains, falsafah dan agama. Penolakan teori
evolusi penciptaan ex-nihilo dan konsep alam semesta yang terus berevolusi tanpa henti
bertentang dengan pandangan agama Islam tentang penciptaan alam ex-nihilo dan kehancuran
alam pada hari kiamat. Kritikan teori kenisbian dan teori quantum oleh Shaharir 2011
menunjukkan betapa kedua-dua teori ini mempunyai banyak kelemahan yang disanggah hebat
oleh ahli sains Barat sendiri sehingga berbagai versi kedua-dua teori itu dibina. Kritikan terhadap
karya atau teori besar sains Barat moden bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan pengkritik perlu
menguasai sains Barat itu supaya kritikan itu berwibawa. Tugas ini seharusnyalah dilakukan oleh
ahli sains yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan. Perubahan besar dalam teori fizik
moden berlaku pada konsep asas fizik: ruang, masa dan jirim. Konsep masa mutlak Newton
diubah kepada konsep masa nisbi Einstein yang berhubung rapat dengan ruang/kontinuum
ruang-masa yang bergantung kepada gerakan nisbi pencerap. Meskipun konsep kenisbian masa
dan ruang mirip konsep kenisbian masa dan ruang dalam sains Islam Klasik itu, namun teori
alam statik yang stabil dalam kosmologi terbitan teori Eisntein itu bercanggah dengan hari
kiamat (Shaharir 2011). Teori quantum pula yang penuh dengan paradoks kepelbagaian
paradoks, ketakber-kenyataan, ketakberpenyebaban, belakaisme, keinsafan dan metafizik
berpecah kepada sekitar 30 mazhab. Teori banyak alam dan dualisme gelombang zarah dalam
teori quantum itu yang dianggap serasi dengan Islam oleh sesetengah sarjana Muslim itu perlu
kajian yang lebih dalam lagi kerana kasus pengalaman ahli sufi yang dipetik terlalu ghalib dan
tidak setara dengan teori quantum banyak alam yang berlaku sepanjang masa pada semua benda
dalam alam (Shaharir 2011).

Kritikan teknologi Barat dari perspektif Melayu-Islam juga amat sedikit (Wan Ramli 2010a,b).
Teknologi Barat difahami secara umum sebagai penyusunan ilmu untuk mencapai tujuan praktik,
sebagai artifak atau teknik dan cara membuat atau mengendali artifak itu (Singer et al. 1954,
Mesthene 1970). Walaupun fahaman teknologi itu menggambarkan seolah-olah teknologi itu
bebas daripada nilai atau kesan pengaruh luar akan tetapi sifat praktik teknologi itulah yang
menghubungkan teknologi dengan kehendak manusia yang bergantung kepada kepercayaan dan
pandangan hidup manusia itu yang jelas berbeza-beza. Teknologi yang praktik itu juga
difahamkan sebagai alat bagi mengawal alam sekitar (Mesthene 1970) atau menguasai politik
(Spengler 1932). Kedua-dua fahaman teknologi itu adalah fahaman melampau-lampau (ekstrim)
dan hanya timbul pada abad kedua puluh dahulu apabila teknologi Eropah menguasai dunia.
Fahaman\ teknologi yang lebih melampau lagi ialah teknologi sebagai penentu kegiatan harian
manusia (Ellul 1964) kerana manusia terpaksa mengubah cara hidupnya mengikut kehendak
teknologi yang menguasai kehidupan manusia sepenuhnya.

PENGGALIAN ETNOSAINS DAN ETNOTEKNOLOGI MELAYU

Pendekatan kedua ialah mengkaji etnosains Melayu bagi mendapatkan fahaman asas sains
seperti nombor, masa, ruang dan jirim mengikut kosmologi Melayu-Islam. Sumber bahan ialah
prasasti (batu bersurat) Melayu termasuk rumpun Melayu, manuskrip rumpun Melayu, sastera
lisan, pantun dan peribahasa, perumpamaan dan bidalan dan artifak (Mohammad Alinor 2010)..

Prasasti atau batu bersurat adalah sumber sastera Melayu bertulis terawal pada zaman pra-Islam
lagi. Kajian prasasti setakat ini telah membuktikan orang Melayu sudah mempunyai sistem
nombor yang kompleks sejak abad ke-5 M. Kemungkinan sistem nombor Melayu itu sistem
perpuluhan ditunjukkan pada banyak prasasti ini (abad ke-5M) dan yang lain lagi (abad ke-7)
dengan nombor seribu (sarivu), dua ratus (dwa rtus) tetapi hipotesis ini perlu dibuktikan dengan
kewujudan nombor lengkap dari sifar ke sembilan. Jika sistem perpuluhan nombor Melayu yang
lengkap dengan angka sifar lebih awal lagi dari karya al-Khwarizmi , sejarah nombor perlu
diubah sama sekali.

Dalam manuskrip tulisan jawi Melayu yang membincang kosmologi Melayu-Islam, Bustan al-
salatin karya ‘ulama Melayu-Aceh, ar-Raniri (al-Raniri 1637,) penciptaan alam bermula ex-
nihilo dengan penciptaan Nur Muhammad oleh Allah, diikuti dengan penciptaan roh semua
makhluq bernyawa dan penciptaan seluruh alam jasmani yang terdiri daripada 7 petala langit dan
7 petala bumi dari kempas segala nyawa dalam Nur Muhammad itu dalam masa 6 hari (Shaharir
2010). Ahli fizik Melayu moden menggunakan kosmologi Melayu-Islam bagi memodelkan
penciptaan alam yang berbeza daripada teori permulaan alam Barat seperti teori deguman besar
dan teori alam mengembang Barat yang mengembalikan peranan Allah dalam penciptaan, masa
yang terpemanai dan kehancuran alam pada hari kiamat.

Artifak teknologi asli Melayu seperti jong dan perahu dibina menggunakan teknik ikatan telinga,
jahitan papan dan pasakan kayu (Wan Ramli 2010a). Ahli teknologi Melayu tradisional digel;ar
tukang dengan bidang kemahiran khusus ditambah padanya seperti tukang timbal yang membina
perahu dan tukang kayu sedangkan pandai pula hanya bagi tukang besi dan keris sahaja (Wan
Ramli 1993). Kebolehgunaan artifak teknologi yang dibuat/dicipta oleh tukang Melayu dinilai
olehnya dengan anyaman artifak seperti bubu dan bakul yang mempunyai corak yang berulang-
ulang yang berganda 4 atau pengukuran kesesuaian keris dengan pemilik menggunakan kedua-
dua ibu jari pemilik berselang-seli bermula dengan ibu jari kanan dan berakhir dengan ibu jari
kiri yang berganda 2 (Wan Ramli 1993). Tukang timbal menimbal jong/kapal/perahu supaya
jong/kapal/perahu timbul seimbang dalam air (Pisol 2003). Penertiban genap artifak teknologi
Melayu dengan bahagian tubuh manusia mungkin boleh digunakan sebagai asas ilmu ergonomi
Melayu dalam teori reka bentuk Melayu baru. Penertiban genap corak anyaman dan penimbalan
jong/kapal/perahu oleh tukang timbal boleh digunakan sebagai kaedah mendapatkan simetri dan
imbangan dalam artifak teknologi.

PENCUNGKILAN SUMBANGAN AHLI SAINS MUSLIM KLASIK TENTANG


KONSEP ASAS SAINS

Pendekatan ketiga ialah mengkaji sumbangan ahli sains Muslim klasik tentang konsep asas sains
yang boleh dikembangkan dalam teori baru.

Konsep asas fizik, masa dan ruang telah dikaji oleh ahli sains Muslim klasik. Bagi al-Kindi
(kurun ke-9M) dan Ibn Sina (kurun ke-10 - awal kurun ke-11M), masa bersifat selanjar
(kontiuum), berkait rapat dengan gerakan dan dikenakan kepada sebarang jasad melalui gerakan
jasad itu (al-Kindi 873, Ibnu Sina 1027). Jelaslah masa bagi kedua-dua ahli sains Muslim itu
besifat nisbi (tidak mutlak) dan bergantung kepada gerakan. Bagi Mulla Sadr (abad ke-17M)
pula masa bersifat selanjar (kontinuum), bukan sahaja bersifat nisbi dengan ruang kerana
gerakan, tetapi terikat dengan objek atau bahan yang mengalaminya jua kerana gerakan trans-
bahan yang merupakan idea asli Mulla Sadra (Mulla Sadra 1628). Masa tidak wujud bebas
daripada dan di luar objek/bahan, malah masa adalah sifat bahan/objek itu dan sebaliknya juga
kewujudan objek/bahan dibatasi masa. Bagi para Mutakallimun yang diwakili oleh al-Asy’ari
(abad ke-9M) masa bersifat diskret, terpisah langsung dari ruang dan dari masa sebelum dan
selepas kerana kewujudan sentiasa dihancur dan dicipta semula oleh Allah. Bagi Fakhr al-Din al-
Razi pula masa bersifat diskret dan berkait rapat dengan ruang (Fakhr al-Din aI-Razi 1208).
Hampir semua ahli sains Muslim itu menganggap masa itu terpermanai (terhingga) yang bermula
ex-nihilo ketika penciptaan alam oleh Allah dan berhenti pada hari kiamat, kecuali Ibnu Sina
yang berpendapat masa (dan seterusnya alam itu) tidak terpemanai (tidak terhingga) dan sudah
ada sebelum penciptaan alam oleh Allah. Hasil kajian berbagai sumber Melayu-Islam dan
Melayu-pra-Islam, masa bagi orang Melayu bergantung pada gerakan dan ruang yang dikaitkan
dengan peristiwa, durasi, tempo, tempoh, dan ingatan atau kenangan (Asmah, 2001, Shaharir
2010). Konsep masa selanjar (kontinuum) nisbi terhadap gerakan Al-Kindi-Ibn Sina, masa
selanjar (kontinuum) nisbi terhadap gerakan dan objek/bahan Mulla Sadr, masa diskret
Mutakallimun dan Fakhr al-Din Al-Razi adalah 4 konsep masa oleh ahli sains Mulim klasik yang
seharusnya dikembangkan oleh ahli fizik Melayu moden bagi menghasilkan sains fizik baru.

Konsep asas kimia moden ialah struktur dan sifat bahan, dan perubahan yang dialami bahan
tanpa sebarang unsur kerohanian. Bagi Jabir, seorang ahli kimia Muslim zaman Islam klasik,
ilmu al-kimiya mempunyai dua dimensi: al-kimiya zahir dan al-kimiya batin (Jabir 800) atau
lebih tegas lagi pemurnian, penulenan dan pembersihan bahan dan jiwa. Penghasilan emas,
logam murni, tulen dan bersih dari timah hitam, logam busuk, kasar, dan kotor dengan
perantaraan batu failasuf (al-iksr)merupakan mithal utama pemurnian, penulenan dan
pembersihan dalam al-kimiya (Jabir 800). Mithal kedua yang turut penting ialah pemurnian,
penulenan dan pembersihan jiwa atau roh. Imam al-Ghazali menulis buku kecil tentang
pemurnian, penulenan dan pembersihan roh berjodol kimiya-i-sa’adat dalam bahasa Parsi yang
bermaksud kimia kebahagian (Al-Ghazali 1105). Kerosakan alam oleh bahan kimia toksik dan
berbahaya daripada industri kimia yang pada asalnya dibuat di makmal ahli kimia jua ialah
kelemahan utama teori kimia moden tanpa unsur rohani walaupun konsep kimia alternatif, kimia
hijau yang sifar sisa toksik dan berbahaya telah berkembang lama. Gabungan di antara fahaman
Islam tentang ekologi yang terdiri daripada umat-umat makhluk yang sentiasa menyembah
Allah, kerosakan alam oleh cemaran kimia sebagai fasad fil ard dan pengharaman pembaziran,
dengan prinsip pembersihan jiwa dan bahan al-kimiya, satu cabang kimia baru boleh diwujudkan
yang setanding atau lebih hebat lagi daripada kimia hijau di Barat itu (Wan Ramli 2010b).

Pada zaman Islam klasik, teknologi difahamkan sebagai satu cabang ilmu praktik (sinā‘ah) untuk
mencapai tujuan praktik yang bertunjangkan tawhīd, berimbang dan berseimbang dengan alam
(wazana dan tawāzana), terkekang dalam lingkungan had syariah (syar‘iyy), terlaksana mengikut
sistem etika Islam yang mengutamakan keadilan (‘adl) dan dipertanggungjawabkan kepada
manusia sebagai khalifah dan hamba Allah di dunia ini. (Wan Ramli 2010a). Penggunaan
sumber alam oleh teknologi Islam itu ialah taskhīr dan tazlīl iaitu penundukan sumber alam bagi
manfaat manusia dengan syarat manusia sebagai khalifah atau pengganti Allah mengguna
sumber alam itu dalam lingkungan batasan syariʻah dan etika Islam (Wan Ramli 1990, 1993).

Sumber penting teknologi Islam pada zaman Islam klasik, buku Banū Mūsā bin Shākir (Banu
Musa 860) dan buku al-Jazarī (al-Jazarī 1206a,b) mengungkapkan teori mesin yang bergerak
sendiri (automaton), jam air yang menggunakan kawalan suap balik dan pam air piston dua
omboh berlawanan yang pertama kali menggunakan engkol untuk menukar gerakan putaran
kepada gerakan salingan (al-Hassan & Hill 1986).

Konsep kesatuan di dalam ilmu Tawhid itu boleh digunakan sebagai panduan reka bentuk artifak
teknologi Islam seperti kesatuan ruang masjid ciptaan Mi’mar Sinan (Besnier-Kilicoglu 1988;
Necipoglu 1993). Kesatuan juga boleh bermaksud kesepaduan atau kelengkapan iaitu artifak
teknologi Islam haruslah bersifat sepadu dan lengkap. Konsep mirip kesatuan, kesetaraan tegak
mikrokosmos dengan makrokosmos al-kimiya Islam (Jabbir 800) iaitu benda yang di atas sama
seperti benda yang di bawah digunakan dalam kaedah reka bentuk artifak yang berhirarki dari
luar ke dalam oleh petua, aturan, heuristik dan ilham (Wan Ramli 2010).

Reka bentuk makhluk juga boleh menjadi panduan kepada reka bentuk artifak teknologi Islam
kerana reka bentuk makhluk paling baik, praktikal dan indah. Mi’mar Sinan meniru struktur
buih-buih yang saling sokong menyokong di antara satu sama lain dalam reka bentuk kubah
utama Masjid (Besnier-Kilicoglu 1988; Necipoglu 1993). Kadar Tuhan seperti kadar unggul,
keratan emas, kadar harmoni musik, kadar antara anggota tubuh dan simetri tubuh makhluk juga
boleh digunakan bagi reka bentuk artifak yang kuat dan indah (Wan Ramli 2010).

PENUTUP

Pembinaan sains dan teknologi Melayu-Islam baru yang serious memanglah suatu program yang
sukar dan memerlukan persiapan ilmu yang luas, iltizam yang tinggi dan keyakinan yang penuh
kepada keampuhan program pemeribumian ilmu dalam mengarya sains dan teknologi Melayu-
Islam yang pastilah memakan masa yang panjang. Hasil awal program pemeribumian ilmu itu
yang dilaporkan dalam makalah ini diharapkan dapatlah mengilhamkan lebih ramai lagi ahli
sains dan teknologi Melayu berkechimpung dalam program ini demi membina sains dan
teknologi yang benar-benar mengikut acuan sendiri.
RUJUKAN

Abu Hamid Al-Ghazali. 1105. Kimiya-e-Sa’adat (dalam bahasa Parsi).

Banu Musa bin Shakir. 860. Kitab al-Hiyal.

Besnier-Kilicoglu, S. 1988. Sinan and Palladio: the parallel development of two master builders -
Mimar Sinan, Andrea Palladio. UNESCO Courier. March 1988.

Ellul, J. 1964. The Technolocical Society. New York: Alfred A. Knopf.

Fakhr al-Din aI-Razi. 1208. al-Matalib al-’Aliyah min al-’Ilm al-llahi.

al-Hassan, A.Y. & Hill, D.R. 1986. Islamic Technology : An Illustrated History. Paris &
Cambridge: UNESCO & Cambridge University Press.

Ibnu Sina 1027. Al-Shifa’

Iqbal A.M. 1934. The Reconstruction of Religious Thought in Islam. London: Adam Publishers
& Distributors.

Jabir bin Hayyan 800. Kitāb sirr al-asrar

al-Jazzari, Ibn Razzaz. 1206a. Kitab fi al-ma’rifat al-hiyal al-handasiyya

al-Jazzari, Ibn Razzaz. 1206b. Al-jami’ bayn al-‘ilm wa al-‘amal al-nafi’ fi sina’at al-hiyal.

al-Kindi 873. Fi al-falsafa al-ula

Kuhn, T. 1996. The Structure of Scientific Revolutions, Snt. Ketiga, Chicago: Chicago
University Press.

Mesthene, E. G. 1970. Technological Change. New York: Mentor.

Mulla Sadra. 1628 al-Hikma al-muta’aliya fi-’l-asfar al-’aqliyya al-arba’a

Mohammad Ali Nor Abdul Kadir 2010. Kepustkaan sains. Dalam Che Husan Azhari (Pnyt.)
2010. Sains dan Teknologi Alam Melayu. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia, ms. 31-70.

Necipoglu, G. 1993. Challenging the Past: Sinan and the Competitive Discourse of Early-modern
Islamic Architecture. In Muqarnas X: An Annual on Islamic Art and Architecture. Margaret B.
Sevcenko (ed.). Leiden: E.J. Brill.

Nuruddin al-Raniri. 1637. Bustan al-Salatin


Osman Bakar 2003. The nature and extent of criticism of evolutionary theory, in Zarandi, M.M.
(Ed.) Science and the Myth of Progress, Bloomington, Indiana, USA: World Wisdom, Inc.

Pisol Maidin 2003. Tukang timbal membina perahu: tradisi dan inovasi. SARI 21:39-56.

Shaharir Mohamad Zain 2010. Tiga dasawarsa pengalaman menyembul unsur etnosains
matematik rumpun Melayu. Seminar Etnomatematik Rumpun Melayu, 11-12 November 2010,
Riau, Indonesia.

Shaharir Mohamad Zain 2011. Kritikan Terhadap Teori Kenisbian Einstein dan Teori Quantum,
Kuala Lumpur: Akademi Sains Islam Malaysia (sedang diterbitkan).

Singer, C., Holmyard, E. J. & Hall, A. R. (pnyt.) 1954. A History of Technology Oxford: Oxford
University Press.

Spengler, O. 1932. Man and Technics. New York: Alfred Knopf.

Wan Ramli Wan Daud. 2010a. Kejuruteraan: Seni atau Sains. Siri Syarahan Perdana UKM,
Bangi: Penerbit UKM.

Wan Ramli Wan Daud. 2010b. Kimia hijau dalam kerangka teknologi Islam. Kesturi 20(2)
(sedang diterbitkan)

Wan Ramli Wan Daud 1993. Sejarah teknologi Melayu pada Zaman Islam SARI 11: 127-168.

Wan Ramli Wan Daud. 1990. Islamic technology : A preliminary study. MAAS J. Islamic Sci.
6(1): 79-85.
Pendahuluan

Pendidikan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan
inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan
amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah swt. Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan
oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah.
Dengan asas pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad
saw telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental dalam
mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin Rabah tidak berganjak
imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu besar di tengah padang pasir yang panas
terik. Demikian juga keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan
dengan ancaman maut. Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa pendidikan akidah amat
penting dalam jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam
lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru
terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekali.

2.0 Definisi Akidah

Perkataan akidah berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu "aqada yang bererti ikatan atau
simpulan. Perkataan ini juga digunakan pada sesuatu yang maknawi seperti akad nikah dan akad
jual beli. Dari ikatan atau simpulan yang maknawi ini maka lahirlah akidah iaitu ikatan atau
simpulan khusus dalam kepercayaan. Sementara dari segi istilah, akidah bermaksud kepercayaan
yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa seseorang sehingga tidak mungkin tercerai atau
terurai. Akidah menurut istilah syara" pula bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada
hakikat-hakikat atau nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki, yang
kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh syara" iaitu beriman kepada Allah swt, rukun-rukun
Iman, rukun-rukun Islam dan perkara-perkara ghaibiyyat.
Pelbagai bidang dalam sains dan teknologi, termasuk bioteknologi dan teknologi komunikasi maklumat
(ICT), merupakan satu wahana pemudah cara dalam menjalani semua ruang lingkup kehidupan manusia.
Diakui sejak dahulu, lebih-lebih lagi dalam sudut pandangan Islam, bahawa sains dan teknologi (S & T)
telah dan akan terus membawa natijah kebaikan dan keburukan. Namun sebagai manusia bertamadun,
setiap seorang dari kita dikurniakan akal fikiran untuk memilih. Justru, S & T amat ditekankan oleh Islam
dan mesti diterokai dan digunakan selagi umat Islam sedar akan batas sempadan yang telah digariskan
oleh Islam.

S & T mewakilkan pengetahuan dan pembelajaran. Usaha mendapatkan pengetahuan adalah


sebahagian dari seruan Islam, dengan dibuktikan oleh penemuan dan kemajuan ilmu yang telah
dirakamkan sejarah oleh para ahli sains Islam pada zaman awal Islam.

Melahirkan sebuah masyarakat madani atau masyarakat bertamadun bukanlah tugas yang mudah dan
singkat, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai teknologi yang enak-enak dan mulus. Masyarakat
bertamadun, terutamanya gagasan yang diutarakan oleh Malaysia, yang ingin dibentuk adalah
berasaskan sebuah komuniti harmonis yang menghasilkan dan menggunakan S & T bagi kebaikan dan
kesejahteraan sejagat.

Apa yang sangat penting dilihat sekarang ini ialah langkah dan usaha agresif kerajaan, kumpulan
tertentu, dan yang terpentingnya ialah ahli masyarakat dalam merapatkan jurang perbezaan celik S & T,
juga jurang digital yang dihasilkan oleh ICT. Usaha ini mesti diberi penumpuan kepada sasaran terhadap
semua peringkat masyarakat. Perkara ini penting bagi memastikan bahawa rakyat memenuhi kriteria
menjadikan diri dan persekitaran berilmu dan berpengetahuan, selari dengan perkembangan S & T dan
ICT.

Dalam era moden ini, telah banyak diperkatakan orang bahawa umat Islam ketinggalan dalam banyak
bidang S & T. Namun sedarkan kita bahawa para saintis barat yang menemui banyak penemuan yang
merubah pandangan dan cara kita menjalani kehidupan, sebenarnya menggunakan dan mengasaskan
kajian mereka dari penemuan para ilmuan Islam. Apa yang mereka buat ialah belajar, mengkaji,
meminjam dan seterusnya melengkapkan pengetahuan S & T yang telah ditemui oleh saintis Islam tadi.
Harus diingat, teknologi adalah milik semua dan teknologi tanpa isi, kosong.

Menyelusuri sejarah Islam dan barat, telah terbukti bahawa kemajuan ekonomi sesebuah masyarakat
dan negara berkait secara terus dengan tahap pengetahuan serta kebolehan menyerap ilmu. Dari era
pra-sejarah lagi manusia telah menggunakan pelbagai kaedah dan peralatan dalam memperolehi ilmu
dan kemudian menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain dalam suatu komuniti.

Sebagai misalan, bila orang-orang zaman lampau buat pertama kalinya mengikat batu tajam ke batang
kayu bagi menghasilkan tombak atau lembing untuk berburu, mereka tidak mencari sasaran dan
kemudian menggunakan formula matematik untuk tenaga atau trajektori. Tetapi mereka mendapat
kemahiran itu dengan kaedah cubaan dan kesilapan, seterusnya menjadi titik tolak kepada kemajuan
tamadun dengan berkembangnya otak atau minda merentasi zaman. Inilah asas bidang pembangunan
dan penyelidikan, hasil melalui cubaan dan kesilapan. Dan asas inilah yang dikaji oleh saintis barat,
melalui penemuan yang ditinggalkan oleh saintis Islam, dalam mengkaji suatu penemuan baru. Namun
harus selalu diingat, setiap proses cubaan itu seharusnya dilaksanakan dalam tatacara yang tidak
memudaratkan, terutama sekali dalam proses perubatan dan bioteknologi yang berkait langsung dengan
tubuh badan dan kehidupan.

Banyak rujukan boleh kita dapati dalam kitab suci Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W dari sudut betapa
pentingnya Islam menempatkan usaha mencari pengetahuan, dan dalam memahami alam semula jadi
dan cakerawala. Islam menggalakkan kaedah pertanyaan secara saintifik atau lebih tepat lagi kaedah
kajian dan penelitian. Sesungguhnya kemajuan sains Islam telah diketahui umum. Dari tahun 750 Masihi
hingga 1050 Masihi telah menyaksikan penemuan sains Islam dalam bidang geografi, kosmologi, fizik,
matematik, astronomi dan perubatan. Kebanyakan pengetahuan tersebut adalah dalam kategori sains
gunaan. Justru itu perkembangan sains pada era tersebut berkait langsung dengan teknologi, dan ianya
benar sehingga kini.

S & T Islam telah membangkitkan era Pembaharuan Eropah yang mana sebelum itu kalangan Kristian
melalui pegangan golongan agama gereja menganggap bahawa sains adalah suatu aliran sihir yang
berunsur syaitan. Sejarah merakamkan bahawa ada ahli sains pada waktu itu dibunuh kerana
mempunyai pendapat berbeza dengan pegangan gereja, walaupun itu adalah penemuan sains oleh
cerdik pandai mereka.

Malangnya, bemulanya era Pembaharuan Eropah juga bermulanya zaman kemunduran sains Islam. Ini
kerana wujud konflik antara ahli-ahli agama dengan saintis, sama seperti pertentangan yang ada di
kalangan Kristian sebelum era pembaharuan. Dan lebih malang lagi wujudnya pendapat bahawa
pengkajian saintifik adalah unsur-unsur barat yang harus ditentang. Pegangan ini masih lagi melingkari
segelintir masyarakai Islam sehingga kini.

Kegagalan melihat S & T sebagai unsur pemangkin untuk kemajuan ekonomi dan kesejahteraan ummah
melembabkan negara-negara umat Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan penemuan sains.
Satu isu lagi yang sering diperkatakan ialah banyak penemuan S & T yang termasuk bidang ICT sekian
lama dipelopori oleh negara barat, justru negara Islam hanya sebagai pengguna. Walaupun mutakhir ini
sudah ada aplikasi ICT dan elektronik yang dihasilkan oleh negara umat Islam, namun ianya masih belum
mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Satu usaha harus digembling segera terutamanya di kalangan negara OIC supaya dapat disediakan dana
dan kepakaran manusia bagi merancakkan aktiviti R & D dalam bidang S & T dan ICT supaya ummah
tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi dan sistem yang dihasilkan oleh pengusaha barat.

Negara umat Islam tidak kekurangan pakar-pakar dalam bidang fizik, kimia, nuklear, ICT dan seumpanya,
cumanya ia tidak dikumpul dan diguna pakai bagi tujuan memajukan S & T seperti pada era
kegemilangan Islam dahulu. Apa yang sering dipaparkan di dada akhbar ialah orang Islam pakar dalam
bidang tertentu, tetapi dengan tujuan lain, kegiatan keganasan misalnya (walaupun ini mungkin kita
boleh pertikaikan kerana itu adalah dilabel oleh pihak barat yang diterajui Amerika Syarikat).

Satu pendekatan yang saya kira elok dimulakan ialah melahirkan saintis Islam yang berjiwa Islam, bukan
sekadar pakar dalam suatu bidang sains, malah juga sedikit sebanyak berpengetahuan dalam soal
syariat. Dengan dada yang dipenuhi ilmu agama, atau dengan kata lain dada yang ada Quran, maka
saintis yang dilahirkan dengan cara ini akan mengembalikan kajian dan penemuan mereka kepada Allah,
Tuhan Pencipta Alam. Dengan itu tidak timbul soal saintis Islam yang berjiwa barat. Inilah saintis yang
dihasilkan oleh Islam pada era kegemilangan Islam dahulu, iaitu saintis yang berjiwa ulamak.

Bila perkara ini dapat direalisasikan, maka ummah di seluruh dunia dapat manfaat dari penemuan ilmu
tersebut. Baharulah pihak barat tidak akan menuding jari bahawa saintis Islam hanya pandai mereka
bom atau senjata merbahaya hanya untuk tujuan keganasan. Pandangan ini harus segera diubah supaya
era kegemilangan S & T Islam dapat dikembalikan dan akan menjadi tunjang bukan sahaja kepada
tamadun umat Islam, malah tunjang kepada tamadun dunia keseluruhannya. Janganlah umat Islam yang
berjumlah lebih satu bilion nyawa sekarang ini hanyalah umpama buih di lautan; ramai tetapi tidak
membawa manfaat kepada umat dan dunia.

Kita pernah gemilang, dan insyaAllah, Islam boleh kembali gemilang dan cemerlang dengan syarat kita
berusaha dan sama-sama mengembling tenaga ke arah satu matlamat murni; melahirkan generasi
saintis Islam yang berjiwa Quran.

*Rencana ini pernah diterbitkan dalam Dewan Agama & Falsafah, Dewan Bahasa & Pustaka.

http://hazims.blogspot.com/2010/02/kepentingan-sains-teknologi-dalam.html

S-ar putea să vă placă și