Sunteți pe pagina 1din 19

TESTING AND EVALUATION IN SCIENCE & MATHEMATICS EDUCATION (MPS 1053)

A Comparison of School Based Assessment that are / will be practiced in Malaysia in a science or mathematics subject with TWO other countries

NURUN NADIA BINTI MASROM FAKULTI PENDIDIKAN MP121356

UTM 2013

Abstrak : Penulisan ini bertujuan untuk membandingkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia dengan 3 buah negara iaitu Singapura, Hong Kong dan Australia. Aspek yang dikaji adalah berkaitan dengan sistem pelaksanaan PBS di negara-negara tersebut dalam mata pelajaran Sains. Implikasi penulisan ini adalah untuk melihat sejauh mana pelaksanaan PBS dapat memberi manfaat kepada sistem pendidikan dan menghurai masalah dan kekangan pelaksanaan PBS. Beberapa cadangan penambahbaikan pelaksanaan PBS di Malaysia telah diberi melalui sorotan daripada pelaksanaan PBS di Singapura, Hong Kong dan Australia. 1.0 Pengenalan

Pemantauan hasil pembelajaran murid dan prestasi sekolah mempunyai perbezaan yang ketara merentasi pelbagai negara di seluruh dunia. Banyak negara telah menubuhkan sistem pemantauan nasional untuk mengumpul maklumat ke atas hasil pembelajaran murid. Sistem pemantauan ini ditubuhkan untuk melihat suatu petunjuk di peringkat nasional tentang prestasi sekolah dan sebagai satu penanda aras dalam meningkatan mutu perkhidmatan pendidikan. Antara pemantauan peringkat global yang dijalankan ialah PISA (Programme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study). PISA dan TIMSS merupakan komponen yang penting dalam menghasilkan maklumat tentang input, proses dan output tentang pendidikan bagi menambah baik dasar pengajaran dan pembelajaran dalam Matematik dan Sains (BPK, 2012). Kecekapan dan kemahiran baru yang diperlukan dalam masyarakat global menjangkau sistem pembelajaran tradisional. Untuk mencapai matlamat dan objektif yang sama di peringkat antarabangsa, kurikulum, pedagogi dan pentaksiran perlu diselaraskan. Semakin banyak negara menjalankan pelbagai bentuk pentaksiran dalam bidang akademik dan bukan akademik untuk mengukur semula kurikulum dan pedagogi serta mengukuhkan profesionalisme guru dalam meningkatkan prestasi murid dan sekolah (Esther Sui, 2012). Di peringkat sekolah, pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) telah menarik perhatian banyak pihak. PBS telah menjadi sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang digunakan sebagai alat untuk mengumpul bukti terhadap hasil pembelajaran murid. Pelbagai negara telah menubuhkan, memperbaharui dan meningkatkan sistem PBS yang lebih berstruktur

untuk memantau secara berterusan dan menjamin kualiti kebolehpercayaan dan kesahan penilaian sumatif (Esther Sui, 2012). Menurut Abdul Rahim dan Saliza (2008), program Pentaksiran Berasaskan Sekolah telah dilaksanakan lebih awal di luar negara. Kenyataan ini disokong oleh Mawar (2012) yang memberi contoh pentaksiran di Amerika Syarikat telah dilaksanakan bagi mentaksir pelajarpelajar K-12 di kebanyakan sekolah. Di Kanada, pentaksiran berasaskan sekolah yang dilaksanakan memberi fokus kepada kurikulum tersembunyi dan bukannya kurikulum bertulis (Mawar, 2012). Manakala di England, pentaksiran kerja amali di peringkat sekolah lebih diutamakan berbanding dengan peperiksaan amali yang berpusatkan ujian pensil dan kertas (Mawar 2012). Di peringkat Asia, negara-negara seperti Hong Kong (China), Jepun, Korea, New Zealand, Shanghai (China) dan Singapura mempunyai sistem pentaksiran yang lebih stabil jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Malaysia, Kemboja, Mongolia, Pakistan dan Filipina yang masih di peringkat awal pelaksanaan sistem pentaksiran tersendiri (Esther Sui, 2012). Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui pemantauan global seperti PISA dan TIMSS yang menunjukkan kedudukan dan perbandingan di antara negara-negara tersebut (BPK, 2012). Di Malaysia, PBS telah mula diperkenalkan pada tahun 1999 dengan pelaksanaan Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) Sains bagi murid-murid tingkatan 1 hingga 5. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Lembaga Peperiksaan, 2012). PBS mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif. PBS di Malaysia terdiri daripada dua komponen iaitu akademik dan bukan akademik. PBS bukanlah suatu yang baharu di Malaysia kerana selain pelaksanaan PEKA, PBS telah diperkenalkan di sekolah menerusi Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS), Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS), Kerja Projek Matematik Tambahan, dan Perkara Asas Fardu Ain (PAFA). Melalui PBS sedia ada, sistem pelaksanaan PBS telah melalui proses penambahbaikan mulai tahun 2011 bagi murid Tahun 1 dan tahun 2012 bagi murid Tingkatan 1.

Penambahbaikan ini telah diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan membuat Pentaksiran Rujukan Standard, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan perekodan penguasaan murid dalam aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) (Lembaga Peperiksaan, 2012). Penulisan ini seterusnya akan memfokuskan tentang pelaksanaan PBS di Malaysia dan 3 buah negara bandingan iaitu Singapura, Hong Kong, dan Australia dalam matapelajaran Sains. 2.0 PBS DI MALAYSIA

Menurut Abdul Rahim dan Saliza (2008), mata pelajaran Sains merupakan mata pelajaran yang awal telah dipilih untuk melaksanakan PBS melalui program Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) yang melibatkan semua murid dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di peringkat sekolah menengah. Selama hampir 1 dekad, PBS dalam mata pelajaran Sains telah melalui pembaharuan. PBS telah melalui pembaharuan untuk persediaan murid kepada UPSR 2016 dan PMR 2014. Dalam usaha penambahbaikan kepada PBS sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan. Dalam pentaksiran ini, standard prestasi digunakan untuk melihat kemajuan murid dan tidak membandingkan seseorang murid dengan murid yang lain tetapi melaporkan prestasi murid dalam pembelajaran. Pentaksiran hasil pembelajaran murid dalam matapelajaran Sains tidak sekadar diukur menerusi kerja amali, malah kini ia telah diselaraskan untuk mentaksir hasil pembelajaran murid secara berterusan. Pentaksiran dalam mata pelajaran Sains dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru mata pelajaran. Pentaksiran ini terbahagi kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (Lembaga Peperiksaan, 2012). Instrumen yang digunakan sepanjang penilaian formatif ialah lembaran kerja, pemerhatian, senarai semak, laporan tugasan dan ujian. Pentaksiran sumatif dijalankan pada akhir setiap unit pembelajaran, penggal, bulan dan tahun (Lembaga Peperiksaan, 2012). PBS dalam Sains dilaksanakan dengan mengikut satu piawaian yang dinamakan penjaminan kualiti. Penjaminan kualiti dalam PBS dilakukan melalui pementoran, penyelarasan,

pemantauan dan pengesanan (Lembaga Peperiksaan, 2012). Melalui pementoran, guru mata pelajaran Sains akan dibimbing, diberi khidmat bantu dan nasihat oleh mentor dalaman dan mentor luaran. Tujuan pementoran ini adalah untuk memastikan guru melaksanakan pentaksiran berpandukan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP), meningkatkan kemahiran pelaksanaan pentaksiran, meningkatkan kompentensi dan keyakinan, serta membantu guru menyelesaikan masalah pelaksanaan PBS dalam mata pelajaran Sains. Sepanjang tempoh pelaksanaan PBS, aktiviti penyelarasan kerap dilakukan. Tujuan penyelarasan adalah untuk menyeragamkan skor pentaksiran sekolah berdasarkan pernyataan standard, deskriptor dan evidens dalam DSP (Lembaga Peperiksaan, 2012). Selain itu, penyelarasan juga adaah bertujuan untuk memastikan kesahan dan kebolehpercayaan skor dalam pelaksanaan PBS oleh guru. Guru pentaksir haruslah memastikan skor yang diberikan menepati keupayaan dan prestasi murid serta adil bagi semua murid yang dinilai. Pemantauan adalah satu proses penjaminan kualiti bagi memastikan pelaksanaan PBS mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Objektif utama pemantauan adalah untuk memastikan laporan pelaksanaan PBS disediakan bagi tujuan penambahbaikan. Pemantauan dilakukan oleh pemantau dalaman yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dan pemantau luaran yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Lembaga Peperiksaan (LP), dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (Lembaga Peperiksaan, 2012). Instrumen pentaksiran yng digunakan bagi mata pelajaran Sains akan dinilai melalui proses pengesanan bagi memastikan instrumen yang digunakan mampu menghasilkan skor yang sah dan boleh dipercayai. Pengesanan akan dilakukan secara dalaman dan luaran. Instrumen bagi mata pelajaran Sains mestilah disediakan mengikut prinsip pembinaan yang telah ditetapkan oleh LP. Pelaksanaan PBS dalam pengajaran dan pembelajaran Sains lebih bersifat penilaian alternatif di mana pentaksiran prestasi dilakukan ke atas setiap murid. Kaedah penilaian alternatif dilihat sebagai jalan penyelesaian dan amat sesuai digunakan untuk pentaksiran pencapaian

dalam kerja amali Sains memandangkan kaedah ini lebih banyak melibatkan kecekapan dalam kemahiran inkuiri dan kemahiran proses sains (Abdul Rahim dan Saliza, 2008). Di antara bentuk penilaian alternatif yang dijalankan secara berterusan ialah projek, karangan, ujian penulisan, ujian lisan, ujian amali, portfolio, tugasan, temu bual, soal selidik dan pemerhatian oleh guru. Dalam pelaksanaan PBS, guru yang mengajar mata pelajaran Sains akan

dipertanggungjawabkan untuk membina instrumen pentaksiran dan mentaksir murid secara formatif. Instrumen yang dibina perlulah mengikuti prosedur yang ditetapkan iaitu dirujuk kepada dokumen kurikulum, evidens dirujuk dalam DSP, instrumen dibina mengikut evidens dan dinilai dari aspek sistem 9-poin (Lembaga Peperiksaan, 2012). Setelah proses pentaksiran, evidens murid akan diperiksa. Guru memastikan sama ada murid mencapai tahap penguasaan minimum atau pun tidak. Sekiranya murid tidak mencapai tahap penguasaan yang ditetapkan, murid akan mengulangi semula pentaksiran bagi instrumen tersebut. Penguasaan murid akan direkodkan dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan Rekod Perkembangan Murid. Selain penilaian formatif dalam PBS, penilaian sumatif akan dilaksanakan melalui pentaksiran pusat (PP). PP merupakan suatu pentaksiran yang dilaksanakan oleh sekolah dengan tugasan pentaksiran diberikan oleh LP. Pelaksanaan PP dijalankan secara one-off dimana tiada pentaksiran semula dilakukan (Lembaga Peperiksaan, 2012). Objektif utama PP adalah untuk menentuksahkan pencapaian akademik murid, mengukur penguasaan pengetahuan dan kemahiran murid secara autentik serta kemahiran berfikir aras tinggi dan sahsiah dengan kepelbagaian instrumen (Lembaga Peperiksaan, 2012). 2.1 PBS DI SINGAPURA Pentaksiran Praktikal Sains atau Science Practical Assesment (SPA) seringkali menjadi komponen utama yang diperlukan dalam Singapore-Cambridge General Certificate of Education (GCE) A-Level Examination di Singapura. Namun begitu, pentaksiran ini seringkali menerima kritikan apabila penilaiannya hanyalah menekankan kepada ujian pensil dan kertas berbanding proses penyiasatan dan berfikir secara kritis dan kreatif (Tan & Towndrow, 2006). Pentaksiran

ini juga menghadkan peluang seseorang pelajar untuk menjalankan tugasan penyiasatan secara amali. Maka pada tahun 1999, satu keputusan telah diambil oleh kementerian pelajaran untuk menggantikan SPA yang lebih bersifat one-off kepada mod berasaskan sekolah yang berterusan dan lebih menekankan kepada proses pemikiran secara saintifik dan penyiasatan. Langkah awal yang dilakukan adalah dengan menyediakan latihan kepada guru-guru pada awal tahun 2000 bagi persediaan pelaksanaan SPA yang berasaskan sekolah. Latihan yang diberikan menyediakan guru-guru tentang kemahiran penggunaan peralatan makmal Sains. Oleh itu, guru-guru dapat menilai dan mengajar dengan lebih berkesan. Satu kajian rintis telah dijalankan dikalangan pelajar kolej junior atau Junior College (JCs) dari tahun 2002 hingga 2003 untuk membiasakan guru-guru dengan proses pengajaran dan pentaksiran SPA. SPA secara rasminya telah menggantikan peperiksaan amali pada tahun 2004 dikalangan JCs Kohort 1(MOE, 2006). Sistem pelaksanaan SPA terbahagi kepada 4 kategori kemahiran iaitu kemahiran merancang, memanipulasi, menganalisis, dan menilai. Setiap kemahiran perlu ditaksir sebanyak 2 kali untuk topik yang berbeza sepanjang 2 tahun pembelajaran di peringkat A-level. Dalam kemahiran merancang, pelajar perlu menggunakan pendekatan kemahiran berfikir secara saintifik, melaksanakan apa yang dirancang dan melakukan pengubahsuaian pada perancangan yang telah dilakukan. Walau bagaimanapun, pentaksiran untuk kemahiran merancang eksperimen telah diubah suai kepada ujian bertulis. Idea utama dalam pelaksanaan SPA adalah untuk menyediakan skop pembelajaran yang dapat mengembangkan kemahiran berfikir secara saintifik dalam konteks yang pelbagai serta membantu pelajar dalam menyelesaikan masalah. Sistem ini sentiasa menjalani proses penambahbaikan sepanjang pelaksanaannya untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan keputusan pelajar. Pelaksanaan SPA untuk pelajar-pelajar A-level dikaji semula pada tahun 2006. Impak positif dan negatif ke atas proses pengajaran dan pembelajaran secara pentaksiran diuji dan cabaran terhadap kejayaan pelaksanaan SPA dikenal pasti (Keiler & Woulnough, 2002). Sistem

pemarkahan juga telah diringkaskan dari 6 tahap kepada 3 tahap. Kementerian Pelajaran juga telah memastikan setiap kelas amali yang besar mempunyai dua guru yang mengendalikan amali sains pada waktu yang sama. Pentaksiran kemahiran merancang digabungkan ke dalam peperiksaan akhir tahun bermula pada tahun 2010. Pentaksiran untuk 3 kemahiran digabungkan dalam 2 tugasan kemahiran yang ditaksir dalam masa 1 jam 15 minit untuk sekali pentaksiran bagi tempoh 2 tahun pengajian di peringkat A-level. Maklumat tentang tugasan pentaksiran akan diedarkan sebelum tempoh pengajian berakhir. Guru-guru dikehendaki mengajar kesemua kemahiran amali supaya pelajar bersedia untuk menjalani ujian pentaksiran amali. 2.2 PBS DI HONG KONG Paa tahun 1978, PBS yang disebut sebagai Skema Pentaksiran Guru atau Teacher Assessment Scheme (TAS) telah diperkenalkan dalam Hong Kong Advanced Level untuk peperiksaan Kimia bagi mengurangkan kekangan dan kesan yang tidak diingini dalam peperiksaan amali. Idea asal TAS telah diambil daripada kurikulum United Kingdom (Cheung & Yip, 2004) Subjek Kimia merupakan subjek yang pertama menjalani pentaksiran berasaskan sekolah di Hong Kong. Dalam pentaksiran tersebut, guru Kimia bertanggungjawab untuk mentaksir kemahiran amali pelajar sepanjang pembelajaran. Pentaksiran ini akan dikira sebagai 20 peratus daripada keseluruhan pemarkahan pelajar. Pelaksanaan TAS menilai kemahiran yang dikategorikan dalam kebolehan tahap A (40%), tahap B (40%) dan tahap C (20%). Berikut adalah tahap-tahap kemahiran yang ditaksir: Kebolehan tahap A (40%) kemahiran manipulatif, kemahiran pemerhatian dan prestasi umum. Kebolehan tahap B (40%) persembahan data, analisis keputusan, merancang eksperimen dan kerja projek. Kebolehan tahap C (20%) sikap terhadap amali kimia.

Setiap pelajar akan ditaksir sekurang-kurangnya 5 kemahiran dari aras A, 5 kemahiran dari aras B dan 2 kemahiran dari aras C. Tidaklah menjadi sesuatu yang wajib bagi setiap pelajar untuk dinilai bagi setiap kemahiran atau setiap amali. Kemahiran aras A dan B boleh ditaksir bersama tetapi tidak semua eksperimen dapat mentaksir kedua-duanya. Pelaksanaan TAS memberi kelebihan kepada guru-guru. TAS menjadikan guru-guru lebih fleksibel. Guru bebas memilih sebarang kaedah pentaksiran dan memilih jumlah pelajar yang akan ditaksir dalam setiap sesi amali serta jenis kemahiran amali yang akan ditaksir. Guru akan melakukan pemerhatian sepanjang sesi amali dijalankan untuk menilai kemahiran tahap A. Hasil pembelajaran untuk tahap B akan dinilai menerusi laporan amali, soal jawab, ujian lisan atau kuiz. Bagi tahap C, pelajar akan dinilai pada akhir sesi pengajian menerusi tanggapan guru terhadap sikap pelajar. Namun begitu, pelaksanaan TAS tidak diselarikan dengan kurikulum sedia ada Hong Kong yang menekankan kepada kerja projek dan ICT. TAS telah dikritik oleh Perbadanan IBM kerana pelaksanaannya tidak mengikut kesesuaian semasa dan transformasi pendidikan di Hong Kong (IBM Corporation, 2003). Kerana kritikan itu, pada tahun 1998, Pihak Berkuasa Peperiksaan Hong Kong atau dikenali sebagai Hong Kong Examinations Authority (HKEAA) telah mengendalikan kajian semula ke atas pentaksiran TAS dengan menjemput ahli panel dari Australia, Britain dan Hong Kong sendiri. Kajian semula itu telah mencadangkan agar TAS dilaksanakan bukan sahaja unuk subjek Kimia tapi keseluruhan subjek yang diambil oleh pelajar. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Hong Kong tidak mengambil endah cadangan itu. Sehinggalah Perbadanan IBM mencadangkan pelaksanaan PBS di Hong Kong. Mereka mencadangkan pelaksanaan PBS secara keseluruhan untuk 3 tahun pembelajaran dan pemberatan markah akan dinilai sebanyak 50%. Skor individu pelajar tidak akan didedahkan secara umum kerana memikirkan tentang kesan pendedahan prestasi individu akan menyebabkan wujudnya persaingan yang tidak bermakna dan secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar dari terlalu menumpukan kepada ujian pentaksiran.

2.3 PBS DI AUSTRALIA Bahagian Penguasa Kurikulum, Pentaksiran dan Pelaporan atau disebut sebagai The Australian Curriculum, Assessment and Reporting Authority (ACARA) telah mewujudkan Program Pentaksiran Kebangsaan atau dikenali sebagai National Assessment Program (NAP) dalam mengendalikan pentaksiran pembacaan, penomboran, literasi Sains, Sivik dan ICT (Linda, 2010). Pentaksiran ini diwujudkan adalah sebagai persediaan kepada penilaian antarabangsa seperti TIMSS dan PISA. Ujian literasi Sains dilaksanakan dikalangan murid-murid tahun 6. Pentaksiran literasi Sains bukan sahaja menyediakan pilihan jawapan dan soalan berjawapan pendek, tetapi literasi Sains juga melibatkan tugasan berkumpulan. Menurut Linda (2010) maklumat yang diperolehi daripada tugasan berkumpulan akan digunakan oleh murid secara individu untuk menjawab soalan pentaksiran. Tugas amali dan perbincangan kumpulan tidak akan ditaksir. Kurikulum Australia merupakan kurikulum yang agak kompleks. Ini kerana, Australia terbahagi kepada beberapa negeri dan wilayah. Setiap negeri mempunyai kurikulumnya yang tersendiri. Oleh sebab itu, ACARA telah memastikan penyelarasan dilakukan untuk memastikan setiap generasi Australia dilengkapi dengan kemahiran, kebolehan dan pengetahuan untuk menghubungkan kepentingan kerjaya dan sosial serta memastikan generasi muda mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dalam memastikan PBS ini berjaya, satu pertubuhan Guru Berkualiti Peringkat Kebangsaan yang dikenali sebagai Teachers Quality National Participant (TQNP) telah menyediakan keperluan latihan yang mencukupi dalam menjadikan setiap guru di sekolah mempunyai kompetensi dan kepimpinan yang tinggi (Linda, 2010). Kerajaan Austalia juga telah membiayai 2.2 billion dollar dalam menyediakan keperluan ICT untuk sekolah-sekolah menengah dan menyediakan perkhidmatan jalur lebar di semua sekolah-sekolah di Australia. Sejumlah negeri telah menjalankan sistem pentaksiran yang memberikan peluang kepada pelajar untuk memahirkan diri dalam proses penyelesaian masalah dan pembinaan idea. Sebagai contoh, pelaksanaan New South Wales Essential Secondary Science Assessment (ESSA) yang dikendalikan untuk pelajar-pelajar tahun 8 adalah satu ujian diagnostik yang mengandungi

beberapa tugasan yang digabungkan dengan soalan aneka pilihan. ESSA juga mengandungi pentaksiran yang tidak perlu diskor iaitu berkaitan dengan nilai dan sikap terhadap pembelajaran Sains. Pelajar juga akan mengendalikan penyiasatan secara atas talian. Format ujian berasaskan pensil dan kertas digantikan sepenuhnya dengan ujian secara atas talian pada tahun 2011. Guru akan menanda tiga tugasan tersebut di pusat penandaan dari bahagian komponen amali secara atas talian. Segala keputusan pentaksiran akan dilaporkan kepada sekolah melalui sistem yang dikenali sebagai NSW DET School Measurement, Assessment and Reporting Toolkit (SMART). Di Australia Barat, pentaksiran luaran Sains, Masyarakat dan Alam Sekitar dilaksanakan dikalangan pelajar gred 5, 7 dan 9. Majlis Kurikulum akan melaksanakan peperiksaan untuk kelompok pelajar tersebut sewaktu mereka berada dalam tahun 11 dan 12. Peperiksaan ini akan digabungkan bersama PBS yang merangkumi eksperimen makmal, essei, kertas kajian, persembahan, demonstrasi dan projek berasaskan PBS. Pentaksiran peringkat negeri yang berasaskan ujian bertulis juga mempunyai peperiksaan amali luaran. Bagi pelajar tahun 11 dan 12, Majlis Kurikulum akan menggunakan moderasi statistik bagi peperiksaan luaran untuk memastikan skor yang diberi untuk pentaksiran adalah setara di antara sekolah-sekolah. Di Australia Selatan, pentaksiran dikalangan pelajar gred 10 dilaksanakan dengan menggunakan pentaksiran yang dibina oleh oleh guru dan Bahagian Penilaian Piawaian dan Akauntabiliti Kurikulum Australia Selatan atau dikenali sebagai South Australian Curriculum, Standards and Accountability (SACSA). Sekolah boleh mengemas kini data melalui Perisian Sistem Pencapaian SACSA. Bagi pelajar gred 11 dan 12, pelbagai instrumen pentaksiran yang digunakan dalam PBS untuk South Australia Certificate of Education (SACE). Beberapa peringkat pentaksiran dijalankan bagi pelajar gred 11 dan 12. Peringkat 1 akan ditaksir sepenuhnya menggunakan PBS manakala pentaksiran luaran akan dilaksanakan pada peringkat 2 termasuklah ujian bertulis, persembahan, ujian amali, penyiasatan dan ujian lisan. Prinsip SACE menekankan sistem pemarkahan 70% berdasarkan PBS dan 30% daripada peperiksaan luaran. Pengenalan SACE juga membuka peluang penggunaan teknologi termasuklah e-portfolio, epentaksiran, dan e-moderasi dalam sistem pengurusan. Di Queensland, PBS telah dilaksanakan selama 40 tahun iaitu bermula dari tahun 1970 selepas peperiksaan pusat dimansuhkan (QSA, 2010). Pentaksiran ini dibina, ditadbir, dan diberi

skor oleh guru berdasarkan kurikulum kebangsaan. Sukatan pelajaran yang disusun oleh guru akan dipantau oleh panel yang dilantik termasuklah guru dari sekolah lain dan profesor dari pusat pengajian tinggi. Tugasan berpusat dan ujian akan dilaksanakan untuk pelajar sewaktu mereka berada dalam gred 12. Dalam mata pelajaran Sains di Queensland, pelajar perlu melengkapkan penyiasatan eksperimen. Kesemua 98, 000 pelajar gred 11 dan 12 perlu melengkapkan pentaksiran yang disandarkan kepada standard kebangsaan, sukatan pelajaran negeri dan rangka kerja sekolah. Pada setiap penghujung tahun, guru akan mengumpulkan portfolio setiap pelajar yang mengandungi tugasan yang telah diberikan dan digredkan mengikut skala 5 poin. 3.0 Perbincangan dan Perbandingan Sejak tahun 2000, terdapat minat yang semakin meningkat dalam mengukur hasil pembelajaran murid melalui pentaksiran (Esther Sui, 2012). Fokus pemantauan juga telah bertukar dari sistem input (infrastruktur, bahan pembelajaran, kelayakan guru) kepada sistem output (hasil pembelajaran konkrit pelajar yang meliputi pengetahuan, kemahiran, sikap yang diperlukan untuk berjaya ketika dewasa nanti). Hasil daripada sistem pendidikan berasaskan PBS juga telah mengembangkan skop pentaksiran hard skills yang lebih menekankan kepada konsep apa dan bagaimana kepada soft skills yang menekankan kepada kemahiran komunikasi, pemikiran yang kritis, penyelesaian masalah dalam kehidupan, kerjasama dalam konsep yang berbeza, kreatif dan inovatif, serta tahu dan mahir dalam ICT. PBS adalah penting dalam memantau peningkatan dalam sistem pendidikan. Pentaksiran guru di dalam kelas adalah meliputi keseluruhan hasil kurikulum yang tidak dinilai dalam peperiksaan awam. Keputusan akademik dan bukan akademik akan dilaporkan setiap tahun kepada guru, pentadbir dan ibu bapa. PBS juga dilihat dapat mengurangkan tekanan peperiksaan. Ini kerana peperiksaan awam telah dikritik di peringkat antarabangsa kerana meningkatkan tekanan pelajar dan menggalakkan guru-guru mengamalkan pengajaran dan pembelajaran berorientasikan peperiksaan semata-mata. Langkah untuk menggabungkan PBS dan PP adalah salah satu cara untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan peperiksaan awam (Hill, 2010). Walau bagaimanapun,

pelaksanaan PBS dilihat telah menambah beban kerja guru dan pelajar. Oleh kerana itu, penambahbaikan dilakukan dalam mengkaji bagaimana PBS dapat diamalkan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan meningkatkan profesionalisme perguruan. Pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA telah memberi impak penting kepada sistem pendidikan dunia. Pentaksiran ini telah mempengaruhi perkembangan pentaksiran yang dilaksanakan di kebanyakan negara termasuklah dari aspek pedagogi, latihan perguruan dan pembiayaan pendidikan. Keputusan pentaksiran di peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabangsa perlulah diselidik dengan teliti untuk meningkatkan kualiti pelaksanaan PBS di negara masing-masing. Pelaksanaan PBS di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Australia mempunyai persamaan dan perbezaan yang boleh dibandingkan. Perbandingan pertama adalah dari segi kumpulan sasaran yang menjalani PBS. Di Malaysia, kumpulan sasaran dipilih daripada kalangan murid-murid tahun 1, 2 dan 3 yang dipilih menjalani PBS sejak tahun 2011 dan muridmurid tingkatan 1 dan 2 yang menjalani PBS sejak tahun 2012. Di Singapura, kumpulan sasaran terdiri daripada pelajar junior kolej kohort 1. Di Hong Kong, pelaksanaan PBS dijalankan dikalangan pelajar gred 3, 6 dan 9 manakala di Australia, kumpulan sasaran terdiri daripada pelajar gred 5 hingga 12. Pentaksiran di Malaysia merangkumi semua mata pelajaran dan sukatan pelajaran yang setara seperti yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran di Singapura merangkumi mata pelajaran Sains manakala di Hong Kong meliputi mata pelajaran Kimia. Di Australia, pentaksiran yang dikendalikan merangkumi pembacaan, penomboran, literasi Sains, Sivik dan ICT. PBS telah dilaksanakan lebih awal di Singapura, Hong Kong dan Australia berbanding Malaysia. Faktor masa telah memberi kesan kepada pencapaian pelajar di negara-negara tersebut. Malaysia masih berada di peringkat awal pelaksanaan PBS dan masih memerlukan banyak penambahbaikan dan kajian lanjutan. Melalui pentaksiran TIMSS dan PISA, negara-

negara seperti Singapura, Hong Kong dan Australia berada di tangga teratas meninggalkan Malaysia di bawah bagi mata pelajaran Sains.

Rajah 1: Trend Pencapaian Sains di Malaysia dalam TIMSS (BPK, 2012)

Rajah 2: Kedudukan Malaysia dalam PISA Sains (BPK, 2012) Walau bagaimanapun, PBS juga menghadapi beberapa kekangan dalam pelaksanaannya. Menurut Alias (2001) pelaksanaan pentaksiran di Malaysia tidak akan berjaya jika guru tidak memahami sepenuhnya prosedur pelaksanaan pentaksiran. Selain itu, kekangan masa, beban tugas yang berlebihan, kesukaran menentukan skor dengan tepat, bilangan pelajar yang ramai,

elemen yang terlalu banyak untuk ditaksir dan pemberian skor yang tidak adil juga akan menjejaskan keberkesanan pelaksanaan sesuatu pentaksiran (Alias, 2001). Menurut Faizah (2011), guru-guru di Malaysia kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam mengendalikan PBS dan mematuhi peraturan serta objektif pentaksiran yang telah ditetapkan. Kenyataan ini disokong oleh kajian Hamzah dan Sinnasamy (2009) yang memetik kata-kata Tan Sri Dr Murad Mohammad Nor, ... Bahagian yang paling penting dalam pelaksanaan tindakan, adalah guru. Walau bagaimana baik rancangan itu, ia akan menjadi tidak berguna jika guru tidak melaksanakannya dengan baik. Di Singapura, pentaksiran SPA telah menghadapi pelbagai permasalahan sewaktu pelaksanaannya terutama dalam proses pengendalian oleh guru-guru sebagai tenaga pengajar dan pentaksir. Sebahagian guru-guru tidak berminat untuk melaksanakan pentaksiran sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran dan memisahkannya daripada pengajaran dan aplikasi kemahiran saintifik (Mun Hoe & Hong Tiam, 2009). Guru-guru juga telah dibebani dengan tugas yang begitu banyak sepanjang tahun. Kesan ini menyebabkan, guruguru hanya menggunakan instrumen yang sama setiap tahun tanpa dipelbagaikan untuk kemudahan tanggungjawab pelaksanaan mereka. Secara tidak langsung, tindakan ini membataskan pengalaman pembelajaran seseorang pelajar yang tidak didedahkan dengan soalan yang pelbagai dan menghalang peluang guru untuk mengaplikasikan pelbagai kemahiran saintifik secara telus dalam pengajaran dan pembelajaran. Untuk mengatasi permasalahan ini, pelbagai kursus dan latihan profesionalisme telah dijalankan untuk guru-guru bagi membantu mereka merancang dan menguruskan beban kerja dengan lebih baik. Langkah ini diharapkan dapat memberi peluang kepada guru-guru untuk melakukan penambahbaikan dalam proses pentaksiran pelajar. Selain daripada itu, langkah mengurangkan kriteria pentaksiran juga telah diambil kira. Kementerian Pelajaran telah mengurangkan 18 kriteria kemahiran yang perlu ditaksir kepada 15 kemahiran sahaja. Kementerian Pelajaran juga telah mengeluarkan sejumlah perbelanjaan bagi menambah dan menyediakan pembantu makmal yang akan membantu guru sewaktu pelaksanaan pentaksiran SPA. Tugas pentaksiran juga diberi kelonggaran untuk diubah suai oleh guru-guru mengikut kesesuaian tempoh pengajaran sedia ada. Guru-guru perlulah melaporkan kepada pusat

pentadbir pentaksiran bagi setiap pengubahsuaian yang dilakukan serta dinyatakan sebab dan akibat. Di Hong Kong, TAS juga berhadapan dengan permasalahannya tersendiri. Antara permasalahan yang utama ialah beban tugas guru yang berlebihan (HKEAA, 2010). Guru-guru telah melaporkan terlalu banyak laporan amali yang perlu ditanda dan guru terpaksa menghabiskan masa untuk menanda laporan dan mengenepikan persediaan tugasan utama iaitu mengajar. Seorang guru Kimia juga perlu mengendalikan 28 eksperimen bagi tempoh 2 tahun sesi pembelajaran dan beban tugas seperti ini tidak pernah diambil tahu oleh pentadbir. Kesan daripada itu, guru-guru Kimia telah terbeban dengan tugas-tugas lain di sekolah yang menambah tekanan kerja mereka (Cheung & Yip, 2004). Oleh kerana beban tugas guru terlalu banyak, guru mengambil inisiatif sendiri untuk memudahkan kerja mereka. Guru-guru Kimia telah menyediakan sebuah buku panduan pentaksiran yang mengandungi hasil pembelajaran yang perlu dikuasai oleh pelajar dalam pentaksiran amali. Setiap pelajar memiliki buku panduan itu. Dari aspek teori hinggalah kepada penyelesaian masalah, pelajar telah dibimbing untuk mencari jawapan menerusi buku panduan yang disediakan. Guru memberi bimbingan serta arahan tentang apa yang perlu dilakukan oleh pelajar. Tugas pentaksiran dilakukan dengan melihat sama ada pelajar dapat memberi jawapan betul atau tidak. Pentaksiran amali yang telah dilakukan sebelum ini akan diabaikan kerana pelajar harus menumpukan kepada amali yang seterusnya. 4.0 Cadangan Penambahbaikan PBS di Malaysia Kementerian perlu mempertimbangkan semakan semula dan pengubahsuaian yang perlu diakukan kepada PBS dari semasa ke semasa menerusi kajian lanjutan dan pemantauan. Guruguru juga perlu diberi latihan dalam perkhidmatan bagi memastikan perjalanan PBS berjalan lancar. Jika latihan dalam perkhidmatan tidak disediakan, berkemungkinan besar guru-guru akan melaksanakan PBS seperti pentaksiran lama dan memberi impak negatif kepada pelaksanaan PBS itu sendiri (Faizah, 2011). Selain daripada itu, kursus pengurusan masa juga amat diperlukan dikalangan guru-guru bagi memastikan guru lebih bijak mengurus atur kerja dengan lebih baik tanpa mengabaikan

pelaksanaan PBS. Sesi bengkel dan perbincangan terbuka mengenai isu dan cabaran dalam melaksanakan PBS juga perlu dijalankan. Sesi ini dapat mengumpul maklum balas guru-guru dan pelajar dalam menyediakan maklumat yang relevan untuk disemak semula oleh Kementerian dalam usaha untuk membuat sebarang keputusan pengubahsuaian dan perubahan yang perlu kepada pelaksanaan PBS berdasarkan garis panduan yang ditetapkan (Faizah, 2011). 5.0 Kesimpulan Pelaksanaan PBS di Malaysia dan negara-negara luar seperti Singapura, Hong Kong dan Australia mempunyai perbezaan yang ketara namun mempunyai objektif yang sama iaitu untuk mengukur pencapaian dan hasil pembelajaran pelajar. PBS di Singapura, Hong Kong dan Australia telah diperkenalkan lebih lama dan telah banyak kajian yang dijalankan ke atasnya memberikan kesan yang berbeza kepada pencapaian pelajar. Jika PBS dijalankan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, pentaksiran ini mampu memberi kesan yang memberangsangkan khususnya dalam peningkatan penguasaan kemahiran proses Sains (Abdul Rahim dan Saliza, 2008).

Rujukan Abdul Rahim dan Saliza (2008). Tahap Penguasaan Guru Dalam Melaksanakan Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) Sains Menengah Rendah. Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik. 11-12 Oktober. Fakulti Pendidikan, UTM: 1-9. Alias Mingan (2001). Pelaksanaan Pentaksiran Amali Sains Berdasarkan Sekolah Di Beberapa Buah Sekolah Menengah Daerah Hilir Perak. Sarjana Pendidikan, Universiti Malaya. Bahagian Pembangunan Kurikulum (2012). Kajian TIMSS dan PISA: Status Pencapaian Malaysia. Diperoleh pada 20 Februari 2013, daripada

http://www.moe.gov.my/bpk/v2/download/HOTs/Status%20Pencapaian%20Malaysia%2 0Dalam%20TIMSS%20dan%20PISA.pdf Derek Cheung & Din-Yan Yip (2004). School-based Assessment of Chemistry Practical Work: Exploring Some Directions for Improvement. Education Journal. 31(1), 133-151 Esther S. H. (2012). Bangkok Patent No. ISBN 978-92-9223-401-0. Diperoleh pada 25 Februari 2013, daripada http://unesdoc.unesco.org/images/0021/002178/217816E.pdf Hill, P. 2010. Asia-Pacific Secondary Education System Review Series No 1: Examintaion Systems. Bangkok, Thailand: UNESCO Hong Kong Examinations and Assessment Authority (2010). Information of School Based Assessment. Hong Kong: Author. IBM Corporation (2003). Strategic review of Hong Kong Examinations and Assessment Authority. Hong Kong: Hong Kong Examinations and Assessment Authority. Keiler, L.S. & Woulnough, B.E. (2002). Practical work in school science: the dominance of assessment. School Science Review, 83 (304), 83-88. Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Panduan Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Malaysia: Author.

Linda, D. H. (2010). Draft White Paper 5 Policy frameworks for new assessments. Unpubished note, ATCS. Mawar (2012). The Epistemology of Knowledge of The Structure of Atom. Tidak diterbitkan. UTM. Ministry of Education (2006). Nurturing Every Child: Flexibility & Diversity in Singapore Schools. Singapore: Author. Ow Mun Hoe & Goh Hong Tiam (2009). School-based Science Practical Assessment-The Singapore Experience. Diperoleh pada 27 Februari 2013 daripada

http://www.iaea.info/documents/paper_2fb236e4.pdf Queensland Studies Authority (2010). School-based assessment The Queensland system. Queensland: Author. Tan, A. L. & Towndrow, P. A. (2006). Giving students a voice in science practical assessments. Paper presented at 32nd Annual Conference of the International Association of Educational Assessment, 21 26 May 2006, Singapore.

S-ar putea să vă placă și