Sunteți pe pagina 1din 3

RAWATAN KEMOTERAPI

MEMAHAMI KEMOTERAPI

Salah satu kaedah rawatan kanser yang sering diberikan kepada pengidap kanser adalah ubat
kemoterapi. Bab ini disediakan untuk membantu anda, keluarga anda dan rakan-rakan anda
memahami kemoterapi. Kemoterapi tidak dapat tidak akan mengubah kehidupan anda.
Disamping mengalami perubahan dari segi penampilan fizikal dan emosi, anda mungkin juga
akan merasa sukar untuk bercakap mengenai apa yang anda rasa kepada orang lain. Dengan
memahami bagaimana kemoterapi bertindak ke atas sel-sel yang normal dan tidak normal
dalam diri anda, diharap anda akan lebih tabah dalam menghadapi sebarang kesan sampingan
yang dialami sepanjang dalam rawatan ini. Apa yang penting adalah anda perlu sentiasa
berfikiran positif di dalam menjalani rawatan kemoterapi ini.

APAKAH ITU KEMOTERAPI

Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang khusus untuk merawat
sesuatu penyakit kanser. Di sini, kemoterapi merujuk kepada penggunaan ubat-ubatan khusus
untuk melawan dan memusnahkan sel-sel kanser yang sedang merebak dengan cepat dalam
badan anda. Ubat ini akan memasuki sistem pengaliran darah anda dan pergi ke seluruh
badan untuk membunuh sel-sel kanser yang tidak dapat di buang melalui pembedahan atau di
musnahkan oleh rawatan radioterapi. Bila lebih dari satu jenis ubat digunakan, ia dipanggil
kemoterapi kombinasi.

BAGAIMANA KEMOTERAPI BERTINDAK

Terdapat banyak jenis ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser. Ubat
kemoterapi sebenarnya banyak yang dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan seperti contohnya
ubat Paclitaxel yang digunakan untuk merawat banyak jenis kanser. Ubat kemoterapi ini
dihasilkan dari kulit pokok yew. Terdapat beberapa kategori ubat kemoterapi yang
mempunyai perbezaan dari segi bagaimana ubat-ubat ini mematikan sel-sel kanser. Secara
amnya semua ubat-ubat kemoterapi mematikan sel-sel kanser dengan cara bertindak
mengganggu atau merencat proses pembiakan sel-sel kanser. Ini dilakukan dengan cara
merosakkan DNA ataupun baka sel-sel kanser melalui berbagai-bagai kaedah seperti
mengikat (cross-linking) ataupun memotong DNA tersebut. Akibat kerosakan DNA ini
maka sel-sel kanser ini akan mati. Ubat kemoterapi lebih berkesan terhadap sel-sel kanser
yang cepat membiak. Kadangkala ubat ini tidak dapat membezakan di antara sel-sel kanser
dan sel-sel normal yang juga cepat membiak seperti sel-sel dinding usus, mulut, organ
reproduktif terutamanya ovari, sel-sel rambut dan juga sel-sel sum-sum tulang. Sel-sel ini
mungkin terdedah kepada kesan ubat kemoterapi walau bagaimanapun dengan kaedah
rawatan yang terancang dan teliti oleh Pakar Kanser, kesan-kesan ini dapat diminimakan
malah jika sekiranya berlaku ianya adalah lebih bersifat sementara.

APAKAH FUNGSI RAWATAN KEMOTERAPI

Rawatan kemoterapi mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan kemoterapi adalah
seperti berikut :
A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama kanser. Contoh rawatan kemoterapi
sebagai rawatan utama adalah di dalam kes kanser anggur ataupun koriokarsinoma.
B. KEMOTERAPI ADJUVAN. Untuk mengurangkan kadar kejadian semula kanser kepada
pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan utama contohnya rawatan pembedahan.
Rawatan kemoterapi ini dikenali sebagai rawatan adjuvan ( Adjuvant chemotherapy).
Contoh rawatan ini adalah rawatan kemoterapi ke atas pesakit kanser ovari yang telah
menjalani rawatan pembedahan.
C. KEMOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan permulaan sebelum pesakit
menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan kemoterapi ini adalah untuk
mengecilkan saiz kanser dan dengan itu rawatan pembedahan yang akan dijalankan akan
menjadi lebih mudah. Contoh rawatan neoadjuvan ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes
kanser pangkal rahim dan kanser ovari.
D. KEMOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan kemoterapi adalah sebagai kaedah
rawatan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang sudah tidak dapat
disembuhkan lagi. Ini dinamakan Kemoterapi Paliatif ( Palliative Chemotherapy). Contoh
rawatan ini adalah kepada pesakit kanser pangkal rahim ataupun kanser-kanser lain yang
merebak biji kelenjar Para-aortik dan menyebabkan penyumbatan saluran buah pinggang dan
menyebabkan salur buah pinggang dan buah pinggang menjadi bengkak (hydroureter,
hydronephrosis). Pesakit akan menghadapi masalah sakit pinggang dan jangkitan buah
pinggang. Biji kelenjar yang besar ini juga boleh menekan urat saraf dari tulang belakang dan
menyebabkan kesakitan bahagian belakang. Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan
kesakitan dan mengurangkan kesan penyempitan. Rawatan kemoterapi paliatif ini tidak
bertujuan untuk menyembuhkan penyakit kanser pesakit tetapi untuk mengurangkan
penderitaan akibat kesakitan.

S-ar putea să vă placă și