Sunteți pe pagina 1din 9

TUGASAN 2

1.0. PENGENALAN

Umum telah mengetahui bahawa Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan


pada 31 Ogos 1957. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Tunku Abdul
Rahman yang merupakan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama telah
menyampaikan satu ucapan penting. Dalam ucapan tersebut, Tunku mencadangkan
supaya Tanah Melayu digabungkan dengan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak
sebagai sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia. Sebenarnya, cadangan ini
bukanlah suatu perkara yang baru kerana cadangan ini telah disuarakan sejak tahun
1887 apabila Lord Brassey yang merupakan salah seorang pengarah Syarikat Borneo
Utara pernah mencadangkan supaya Tanah Melayu, Negeri-negeri Selat, Brunei,
Sabah dan Sarawak supaya bergabung. Walaubagaimanapun, cadangan itu telah
ditolak oleh para pemegang saham syarikat tersebut pada tahun 1894. Tunku Abdul
Rahman berhasrat menubuhkan gagasan tersebut atas dasar niat yang baik iaitu
untuk membebaskan wilayah-wilayah British di Borneo daripada belenggu
penjajahan. Tunku memikirkan bahawa wilayah-wilayah Borneo tidak mampu untuk
berdikari dan menjemput wilayah-wilayah tersebut untuk bersatu dalam Gagasan
Melayu Raya atau Super Federation. Walaubagaimanapun, banyak pihak yang
menentang penggabungan ini. Antaranya, Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei,
Filipina dan Indonesia. Penentangan yang dilakukan pastinya mempunyai sebab-
sebab yang tersendiri.

TENTANGAN DALAM NEGERI

1.1. PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Cadangan pembentukan Malaysia yang diumumkan oleh Tunku Abdul


Rahman telah menimbulkan pelbagai reaksi di dalam negeri dan di kalangan negara
luar. Di Tanah Melayu umpamanya, Parti Islam Se-Malaya merupakan parti terkuat
yang menentang cadangan tersebut (Kassim Thukiman, 2002). Buktinya, pemimpin
PAS iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy menagnggap gagasan itu terpesong dari dasar
dan struktur politik Melayu yang diperjuangkannya. Bagi beliau, percantuman sebuah
negara besar perlu merangkumi wilayah yang lebih luas iaitu rantau yang dinamakan
Melayu Raya atau Indonesia Raya. Beliau bukan sahaja menolak cadangan Tunku
malah menuntut Indonesia, Filipina dan kepulauan Melayu lain disertakan dalam

5
gagasan tersebut. Di sampin itu, PAS juga menentang Gagasan Malaysia kerana
kemasukan Singapura akan mengancam kedudukan orang Melayu ekoran
peningkatan jumlah penduduk Cina malah mereka mempunyai kekuatan dari segi
ekonomi dan pendidikan. PAS turut menentang Gagasan Malaysia disebabkan
kebimbangan parti itu terhadap kedudukan orang Melayu yang dianggap akan
terancam selepas Malaysia dibentuk. Selain PAS, penentangan terhadap Gagasan
Malaysia di Tanah Melayu turut disertai oleh parti-parti politik yang lain. Antaranya
termasuklah Parti Buruh dan Parti Rakyat. Namun demikian, penentangan parti-parti
ini agak berbeza dengan PAS kerana secara dasarnya mereka menerima prinsip
Malaysia dan hanya menentang aspek-aspek tertentu seperti cara ia diperkenalkan
dan beberapa terma tertentu di dalamnya (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2016).
Contohnya, Parti Buruh menyokong prinsip Malaysia sebaliknya menolak beberapa
ketetapan tertentu yang dibuat khusunya perkara-perkara yang melibatkan
kedudukan Singapura dan kebimbangan tehadap aspek-aspek yang berkaitan
dengan perluasan pengaruh komunis.

1.2. SINGAPURA

Di Singapura, kerajaan People Action Party (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew
menyambut baik gagasan Malaysia dan menyatakan sokongan terhadap rancangan
itu. Lee Kuan Yew dan partinya, menyokong usaha ini kerana bimbang dengan
pengaruh parti berhaluan kiri yang kuat dan beliau sendiri ingin mempertahankan
kedudukannya. PAP melihat cadangan tersebut sebagai peluang baik untuk terus
kekal berkuasa dan membolehkan Singapura mencapai kemerdekaan dengan lebih
cepat. Parti-parti politik yang lain pula menunjukkan pelbagai reaksi yang berbeza.
Contohnya, Parti Buruh Singapura walaupun bersetuju, tetapi melihat cadangan itu
sebagai sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan. Parti Rakyat Singapura pula
menentang cadangan itu dan menganggapnya sebagai satu rancangan kerajaan
British untuk terus mengekalkan pengaruhnya. Parti-parti politik lain seperti Workers
Party dan Parti Liberal Sosialis turut melahirkan sokongan mereka terhadap
rancangan itu. Parti pembangkang Singapura yang terbesar, Parti Barisan Sosialis
iaitu puak berhaluan kiri yang keluar dari PAP menentang idea ini dan mengatakan
bahawa pembentukan Malaysia merupakan satu penjajahan bentuk baru. Mereka
menuntut agar pandangan rakyat Singapura diperoleh terlebih dahulu sebelum
Singapura menyertai gabungan ini. Pandangan mereka disokong oleh Parti Buruh

6
pimpinan David Marshall dan Parti Rakyat Bersatu atau United People's Party
pimpinan Ong Eng Guan yang menggesa kerajaan Singapura mendapatkan
pandangan rakyat. Dengan ini, satu referendum berhubung dengan persoalan dan
syarat penggabungan telah diadakan pada 1 September 1962. Dalam referendum
tersebut, pengundi-pengundi Singapura memilih penggabungan diadakan mengikut
cadangan kerajaan Singapura seperti yang dipersetujui dengan kerajaan Persekutuan
Tanah Melayu pada bulan November 1961.

Walaubagaimanapun, selepas penggabungan Singapura ke dalam Malaysia


pada 16 September 1963, kehadiran Singapura dalam Malaysia telah menimbulkan
banyak masalah. Tun Razak menganggapnya sebagai duri dalam daging (Ismail bin
Said, 2011). Hal ini kerana, hubungan antara Tunku di kerajaan pusat dengan Lee
Kuan Yew di Singapura menjadi semakin tegang. Menurut (Ramlah Adam, 2004),
ketegangan itu timbul dalam bentuk cita-cita peribadi, persoalan ekonomi, sosial,
ideologi politik dan persoalan kuasa pusat dan kuasa ekonomi negeri. Kesemua
perkara itu dipanaskan lagi oleh soal perkauman oleh Lee Kuan Yew melalui konsep
Malaysian Malaysia. Ketegangan bermula apabila Lee Kuan Yew dan partinya iaitu
PAP membuat tindak balas mencabar kedudukan MCA dalam pilihanraya di
Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1964 (Ramlah Adam, 2004). Beberapa
tindakan Lee Kuan Yew di Singapura seperti perpindahan di Java Road dan
diskriminasi telah menyebabkan satu rusuhan yang berlaku pada 21 Julai 1964.
Insiden-insiden inilah yang menuntut Singapura supaya dikeluarkan dari Malaysia.
Pertemuan demi pertemuan diadakan bagi menyelesaikan masalah yang timbul.
Akhirnya, pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman dengan muram memperkatakan
tentang sebuah kerajaan negeri yang tidak lagi memberikan bahkan tidak sedikitpun
taat setia kepada kerajaan pusat, sambil mengisytiharkan penyingkiran Singapura.

1.3. SARAWAK

Reaksi segera yang timbul di Sarawak selepas cadangan pembentukan


Malaysia diumumkan adalah ke arah menolak cadangan ini. Negeri ini telah lama
berada di bawah pemerintahan British, iaitu melebihi satu abad (Firdaus, 2016).
Ramai yang inqin kekal di bawah pemerintahan British kerana mereka belum ada
keyakinan untuk membentuk pemerintahan sendiri. Hal ini disebabkan sebelum ini
peluang mereka dalam politik adalah terhad. Sebelum Tunku Abdul Rahman

7
mengumumkan persetujuan penubuhan Malaysia, di Sarawak hanya terdapat dua
buah pertubuhan politik iaitu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pimpinan
Ong Kee Hui yang majoritinya penduduk Cina dan Parti Negara Sarawak
(PANAS) dipimpin oleh Dato Bandar Abang Haji Mustapha yang ahlinya terdiri
daripada orang Melayu . Kemudian orang Iban pula menubuhkan Parti
Kebangsaan Sarawak (SNAP) di bawah pimpinan Stephen Kalong Ningkan.
Setelah pengumuman dibuat parti-parti politik di Sarawak mula berkembang
dengan hebatnya seperti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA) dipimpin oleh
Abdul Rahman Yaakub dan Abdul Talib Mahmud, Pada asalnya cadangan
penubuhan Malaysia ini kurang mendapat sokongan parti di Sarawak, terutama SUPP
yang bimbang dengan bentuk penjajahan baru ke atas Sarawak dan SNAP yang
bimbang orang bukan Melayu dan peribumi hilang identitinya. Ada juga parti yang
mahu supaya Sarawak merdeka terlebih dahulu sebelum menyertai gagasan tersebut
dan takut ekonomi Sarawak dikuasai oleh Kerajaan Pusat. Kesemua parti politik di
Sarawak ini akhirnya menyokong Sarawak menyertai Malaysia walaupun pada
peringkat awalnya mereka menentang kerana mereka menginginkan kemerdekaan
terlebih dahulu. Hanya SUPP yang terus menentang dan berusaha menggagalkan
rancangan itu melalui beberapa rapat umum yang diadakan di seluruh Sarawak. Pada
bulan Oktober 1962, lima buah parti, iaitu PANAS, SNAP, BERJASA, SCA dan
PESAKA telah bergabung membentuk Parti Perikatan Sarawak. Gabungan parti ini
telah berjuang ke arah menyokong Sarawak menyertai Malaysia dan berusaha
menyekat pengaruh SUPP.

1.4. SABAH

Di Sabah masih belum terdapat parti-parti politik, namun, pengumuman Tunku


Abdul Rahman tentang gagasan Malaysia telah melahirkan beberapa buah parti politik
di negeri itu bagi tujuan mengemukakan pandangan serta mendapatkan sokongan
tentang gagasan Malaysia. Parti-parti mula ditubuhkan apabila usul cadangan
penggabungan dilakukan untuk mengemukakan pandangan dan mendapatkan
sokongan tentangan cadangan pembentukan Malaysia seperti Pertubuhan
Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) pada bulan Ogos 1961 yang dipimpin oleh
Donald Stephens, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada bulan
Disember 1961 yang dipimpin oleh Datu Mustapha Datu Harun, Parti Pasok Momogun
pada Jun 1966 yang dipimpin oleh G.S. Sundang dan Parti Demokratik dipimpin oleh

8
Peter Chin. Sama seperti Sarawak, parti-parti di Sabah ini juga menentang dengan
alasan yang sama iaitu UNKO bimbang orang bukan Melayu dan kaum peribumi
Sabah kehilangan identiti dan dikuasai oleh orang Melayu, politik dan ekonomi Sabah
akan dikuasai oleh Kerajaan Pusat, mahukan kemerdekaan terlebih dahulu diberikan
serta bimbang tentang isu kemajuan ekonomi dan sosial. Setelah lawatan Tunku
Abdul Rahman untuk menjelaskan kedudukan penggabungan pada Jun 1961,
akhirnya parti-parti politik Sabah bersetuju untuk menyertai gagasan Malaysia. Pada
bulan September 1961, kelima-lima parti politik, iaitu UNKO, USNO, Parti Pasok
Momogun, Parti Bersatu dan Parti Demokratik telah bersatu membentuk Parti
Perikatan Sabah. Akhirnya, kesemua parti di Sabah menyokong penyertaan Sabah
ke dalam Malaysia. Walaubagaimanapun, Parti Perikatan Sabah telah
mengemukakan tuntutan yang mengandungi 20 syarat yang dikenali sebagai Perkara
20. Tuntutan ini juga kemudiannya diterima oleh Sarawak. Perkara 20 menyenaraikan
tuntutan-tuntutan Sarawak dan Sabah untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan
Malaysia yang baru oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (OAK) (Asnarulkhadi Abu
Samah & Jayum A. Jawan, 1997). Laporan Jawatankuasa ini memuatkan tuntutan
tersebut dan tuntutan ini dan kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan
perlembagaan Malaysia yang baru. Tuntutan tersebut dapat melindungi hak dan
kepentingan penduduk Sarawak dan Sabah. Terdapat sedikit perbezaan antara
pembahagian kuasa bagi Sarawak dan Sabah dengan negeri negeri di Semenanjung
Tanah Melayu. Hak ini dikenali sebagai hak wilayah asingan. Antara perkara penting
yang disentuh dalam hak wilayah asingan termasuklah Ketua negeri, Bahasa
kebangsaan, Agama Islam, Kedudukan istimewa penduduk asal negeri dan hal ehwal
imigresen, kerakyatan, peruntukan kewangan dan pelajaran.

1.5. BRUNEI

Pada peringkat awal, Sultan Omar Ali Saifuddin secara peribadi menyatakan
sokongan terhadap cadangan Malaysia (Mardiana Nordin & Hasnah Hussin, 2011).
Baginda menyifatkan cadangan penubuhan itu sebagai sesuatu yang menarik hati
kerana wujudnya tali perhubungan agama, bangsa, adat resam dan kebudayaan
antara negara Brunei dan Tanah Melayu. Brunei juga memerlukan Tanah Melayu
untuk melindungi daripada musuh-musuhnya seperti Filipina dan Indonesia.
Sokongan ini jelas dilihat dalam kenyataan baginda sendiri iaitu:

9
..bahawa Brunei bersetuju pada dasarnya untuk menyertai Malaysia sekiranya
dalam perseketuan itu bersesuaian dengan kehendak kita dan boleh mendatangkan
faedah kepada kita (Ruslan Zainuddin, 2000).

Sultan Brunei juga telah membentuk sebuah suruhanjaya bagi meninjau


pendapat rakyat Brunei. Walaubagaimanapun, keputusan tinjauan itu memperlihatkan
sebilangan besar rakyat Brunei tidak bersetuju dengan penggabungan antara Brunei
dengan Tanah Melayu. Sikap rakyat Brunei ini dikatakan berpunca daripada Parti
Rakyat Brunei (PRB) di bawah pimpinan A.M. Azahari yang merupakan parti yang
sangat berpengaruh di Brunei. Parti ini menentang gagasan Malaysia kerana
matlamat parti ini adalah untuk menubuhkan Persekutuan Borneo, iaitu kerajaan
Kalimantan Utara yang terdiri daripada Sarawak, Sabah dan Brunei yang diketuai oleh
Sultan Brunei. A.M Azahari berpendapat pembentukan Malaysia merupakan cara
kerajaan British untuk mengekalkan pengaruhnya di wilayah yang pernah dijajah oleh
mereka supaya penguasaan ekonominya berkekalan dan menjamin keselamatan
mereka. Mereka juga khuatir Brunei akan kehilangan sebahagian besar kekayaan
apabila menyertai gabungan ini. A.M. Azahari juga telah melancarkan pemberontakan
di bawah pasukan Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang ditubuhkan di
beberapa buah bandar di Sarawak, Sabah dan Brunei. Pemberontakan ini dilancarkan
apabila Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Brunei dan Sultan Brunei menangguhkan
keputusan tentang gagasan Malaysia. A.M. Azahari dan penyokongnya mendapat
bantuan don sokongan daripada Indonesia dan Filipina. Pemberontakan Brunei yang
berlaku pada 8 Disember 1962 dapat dipatahkan oleh tentera British tetapi A.M.
Azahari yang berada di Manila tidak dapat ditangkap. Beliau kemudiannya mendapat
perlindungan politik di Indonesia.

2.0. TENTANGAN LUAR NEGARA


2.1. INDONESIA

Indonesia juga telah membantah pembentukan Malaysia. Pada peringkat awal


cadangan pemebentukan Malaysia diumumkan, kerajaan Indonesia mengalu-alukan
cadangan tersebut. Tentangan hanya muncul pada akhir tahun 1962 apabila
tercetusnya pemberontakan Brunei. Indonesia juga berpendapat pembentukan
Malaysia merupakan satu bentuk neokolonialisme dan imperialisme yang baharu
(Ismail bin Said, 2011). Pandangan yang disuarakan oleh Parti Komunis Indonesia

10
(PKI) ini kemudiannya telah mempengaruhi Presiden Soekarno untuk
mengisytiharkan Dasar Konfrontasi. Dasar Konfrontasi dari segi ekonomi dan
kemasyarakatan dengan konsep Ganyang Malaysia telah diumurnkan pada 20
Januari 1963. Walaupun pada peringkat permulaan berlaku serangan terhadap kapal-
kapal nelayan Tanah Melayu dan juga pencerobohan udara tetapi kerajaan
Persekutuan tidak mengambil sebarang tindakan. Namun, apabila tentera Indonesia
mula melancarkan serangan terhadap Malaysia melalui Johor, Sarawak dan Sabah,
Malaysia telah bertindak balas dengan bantuan tentera Komanwel termasuklah dari
Britain, Australia, New Zealand dan Kanada. Hal ini kerana, Malaysia mempunyai
perjanjian pertahanan dengan Britain. Tunku Abdul Rahman mengambil tindakan
menghantar bantahan rasmi kepada Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu
berhubung dengan pencerobohan Indonesia terhadap Tanah Melayu, Sarawak dan
Sabah. Indonesia juga telah bertindak memburukkan nama Malaysia di negara Afro-
Asia dan negara Dunia Ketiga. Perwakilan yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah
mengadakan lawatan ke beberapa buah negara Afrika bagi menjelaskan masalah
hubungan diplomatik antara Indonesia dengan Malaysia. Hubungan tegang ini
berpanjangan sehinggalah pada bulan September 1965 apabila berlaku
pemberontakan bersenjata di Indonesia. Jeneral Soeharto telah menggulingkan
Presiden Soekarno (Dr. Zainal Abidin Ahmad & En. Mazlan Zulkifly, 2003). Presiden
Soeharto kemudiannya menghantar Menteri Luar Indonesia, Adam Malik, bagi
memulihara hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia. Menjelang bulan Ogos 1966,
berakhirlah konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.

2.2. FILIPINA

Filipina juga terlibat dalam bantahan terhadap penubuhan Malaysia namun,


bantahan Filipina itu tidaklah melibatkan pihak komunis antarabangsa. Bantahan
hanya melibatkan kepentingan Filipina di bekas jajahan Kesultanan Sulu iaitu Borneo
Utara atau Sabah (Ramlah Adam, 2004). Kerajaan Filipina di bawah pimpinan
Presiden Macapagal telah membuat pengumuman rasmi menuntut hak terhadap
Sabah pada bulan Jun 1962. Kerajaan Filipina dengan tegas mendakwa Sabah masih
merupakan sebahagian daripada milik Kesultanan Sulu. Tuntutan ini berdasarkan
perjanjian yang ditandatangani pada 22 Januari 1878 antara Sultan Jamalul Azam
dengan Baron Von Overbeck. Baron Von Overbeck kemudian telah menjualkan

11
haknya kepada Alfred Dent yang telah menubuhkan syarikat perdagangan yang
berjaya memperoleh Piagam Diraja daripada British. Pada tahun 1881, syarikat ini
dikenali sebagai Syarikat British Utara Borneo (SBUB). Syarikat inilah yang
memerintah Sabah sehingga kedatangan Jepun. Pada tahun 1946, SBUB
menyerahkan pemerintahan Sabah kepada kerajaan British. Walau bagaimanapun,
pajakan ini telah diisytiharkan tamat oleh waris Sultan Sulu yang terakhir, iaitu Sultan
Esmail Kiram pada 22 Januari 1958. Menjelang bulan Jun 1966, Filipina telah
mengiktiraf penubuhan Malaysia. Pengiktirafan ini diberikan menerusi usaha
membaiki hubungan antara kedua-dua negara melalui MAPHILINDO (Malaysia,
Filipina dan Indonesia).

3.0. KESIMPULAN

Kesimpulannya, pada mulanya pembentukan Malaysia merupakan sesuatu


yang agak mustahil terutama apabila melihat reaksi penentangan yang datang dari
dalam negeri dan negara luar. Namun, menerusi diplomasi, masalah tersebut dapat
diatasi. Pembentukan Malaysia telah berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah
Melayu dengan negeri-negeri jirannya bagi kepentingan bersama. Kejayaan ini
memaparkan ciri-ciri kepemimpinan tokoh tempatan di Persekutuan Tanah Melayu,
Singapura, Sarawak dan Sabah. Kerajaan British juga sanggup bekerjasama dan
bertolak ansur demi mencapai kesejahteraan bersama. Di samping itu, kerjasama
yang diberikan oleh rakyat negeri-negeri anggota adalah untuk memastikan
kedaulatan negeri terjamin. Perjanjian Malaysia 1963 mengambil kira kepentingan
semua negeri anggota untuk mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan antara
negeri. Sesungguhnya Penubuhan Malaysia telah memberikan banyak faedah
kepada Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, sama ada dari segi politik mahupun
sosioekonomi. Oleh itu, semua masyarakat perlulah bersyukur kerana dapat hidup
dalam keadaan aman damai serta perlulah bersama-sama melindungi negara dalam
apa jua keadaan.

12
Bibliografi

Asnarulkhadi Abu Samah, & Jayum A. Jawan. (1997). Kenegaraan Malaysia. Selangor: Perpustakaan
Negara Malaysia.

Dr. Zainal Abidin Ahmad, & En. Mazlan Zulkifly. (2003). LANH 2033 Pengajian Malaysia. Kuala
Lumpur: Open University Malaysia.

Firdaus. (2016). Pengukuhan Negara Dan Bangsa Malaysia. Reaksi Terhadap Pembentukan Malaysia,
4-5.

Ismail bin Said. (2011). Sejarah Malaysia Moden 1945-1969. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.
Bhd.

Kassim Thukiman. (2002). Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Selangor: Universiti Teknologi
Malaysia.

Mardiana Nordin, & Hasnah Hussin. (2011). Pengajian Malaysia. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mohamad Rodzi Abd Razak. (2016, 3 21). Reaksi Penubuhan Malaysia. Retrieved from Gagasan
Malaysia dan Penglibatan British: Satu Tinjauan: http://journalarticle.ukm.my/410/1/1.pdf

Ramlah Adam. (2004). Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Ruslan Zainuddin. (2000). Sejarah Malaysia. Selangor: Perpustakaan Negara Malaysia.

13

S-ar putea să vă placă și