Sunteți pe pagina 1din 9

TUGASAN 1- PENULISAN ESEI

1.0. PENGENALAN

Kerajaan Chih Tu merupakan antara kerajaan terawal di Tanah Melayu selain Kedah
Tua, Temasik, Beruas dan Gangga Negara. Menurut catatan I-Ching, Chih Tu bermaksud
Tanah Merah kerana dipercayai tanah di sekitar kerajaan Chih Tu kebanyakannya berwarna
merah atau bertanah liat. Kerajaan Chih Tu ini juga disebut dengan nama Raktamaritika oleh
India melalui jumpaan Batu Bersurat Buddhagupta. Chih tu merupakan salah satu kerajaan
maritim. Kerajaan Chih Tu ini diasaskan oleh Raja Gautama pada abad keenam Masihi.
Terdapat banyak pendapat sarjana tentang lokasi Chih Tu. Ada yang mengatakan kerajaan
ini terletak di Kelantan, Pahang, Pattani dan Songkhla. Kemungkinan besar lokasi kerajaan
Chih Tu adalah terletak di Sungai Kelantan kerana, menurut (Nazarudin Zainun & Nasha
Rodziadi Khaw, Hubungan Politik dan Sosiobudaya China-Dunia Melayu Hingga Kurun Ke-
15 Masihi, 2016), lokasi Chih Tu yang paling sesuai adalah di bahagian pantai timur
Semenanjung Malaysia, berdasarkan bukti penulisan dan bukti arkeologi. Bukti penulisan
yang wujud adalah melalui sumber-sumber China dari zaman Dinasti Sui dan Dinasti Tang.
Bukti arkeologi pula adalah melalui jumpaan prasasti di hulu sungai Kelantan yang dinamakan
Votive Tablets iaitu kepingan tanah liat yang dicapkan dengan imej dewa dewi. Kerajaan Chih
Tu merupakan antara kerajaan awal di Tanah Melayu yang mempunyai pencapaian yang
besar.

1.1. SISTEM PEMERINTAHAN

Kerajaan Chih Tu mempunyai pencapaian dari segi pemerintahannya. Sistem


pemerintahan Chih Tu boleh dikatakan sistematik. Hal ini kerana, corak pemerintahan
kerajaan Chih Tu adalah sama dengan Srivijaya yang dipengaruhi oleh agama Hindu. Raja
merupakan pemegang kekuasaan tertinggi atau berkuasa mutlak. Kuasa raja yang bersifat
mutlak ini dibuktikan dengan peraturan rakyat yang harus meminta izin kepada raja untuk
memakai loket emas. Selain itu, keluarga yang kaya juga harus mendapatkan kebenaran
kerajaan untuk hak istimewa ini. Hal ini bermaksud semua perintah raja wajib ditaati dan tidak
boleh ditentang. Seperti konsep dalam kerajaan-kerajaan lain juga, hubungan raja dan rakyat
merupakan hubungan timbal balik (Diana Amran, 2015). Dalam sistem pemerintahan kerajaan
Chih Tu, Raja dibantu oleh tiga orang menteri. Keterangan terperinci tentang aspek
pentadbiran Chih Tu muncul dalam sumber China iaitu di dalam Chi Tu Guo Ji, iaitu sebuah
catatan hasil kerajaan Sui yang menyatakan bahawa kerajaan Chih Tu telah mempunyai
sistem pemerintahan yang kompleks (Nazarudin Zaidun & Nasha Rodziadi Khaw, 2015). Hal
ini terbukti lantaran wujudnya jawatan-jawatan tertentu dalam pentadbiran mereka.
Contohnya, jawatan Sa To Chia Lo (Sadhukara), To Na Ta Cha (Dhanada) dan Chia Li Mi
Chia (Karmika) yang terlibat dalam bidang pentadbiran. Manakala, wujud juga jawatan Chu
Lo Mu Ti (Kulapati) yang terlibat dalam bidang kehakiman. Selain itu, dinyatakan juga bahawa
kerajaan Chih Tu mempunyai pentadbir yang memegang jawatan Na Ya Chia (Nayaka) dan
Po Ti (Pati) yang menjadi ketua atau pentadbir di setiap kota dalam kerajaan Chih Tu.
Kewujudan pengkhususan pekerjaan dalam pemerintahan membuktikan bahawa kerajaan
Chih Tu telah mempunyai pencapaian dalam aspek politik. Di samping itu, kewujudan
pentadbir wilayah ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Chih Tu merupakan suatu wilayah
atau kuasa yang besar kerana frasa setiap kota tersebut dengan jelas membuktikan bahawa
Chih Tu telah menguasai banyak kawasan sehingga mempunyai beberapa orang pentadbir
serta menjadi kerajaan yang berpengaruh pada zaman itu.

1.2. EKONOMI

Dari aspek ekonomi, kerajaan Chih Tu mempunyai banyak hasil seperti hasil hutan
dan emas. Hal ini dibuktikan dengan penemuan arkeologi di hulu Sungai Kelantan iaitu
terdapat kesan-kesan perlombongan emas dan logam timah (Ishak Saat & Adnan Jusoh,
2013). Kerajaan Chih Tu merupakan kerajaan yang kaya dengan emas. Buktinya, antara ufti-
ufti yang diberikan kepada kerajaan Sui termasuklah kapur barus dan mahkota emas yang
berbentuk bunga raya (Nazarudin Zainun & Nasha Rodziadi Khaw, Hubungan Politik dan
Sosiobudaya China-Dunia Melayu Hingga Kurun Ke-15 Masihi, 2016). Selain itu, berdasarkan
lokasinya yang terletak di pedalaman dan di tengah-tengah rangkaian laluan Trans
Semenanjung, Chih Tu kemungkinan berfungsi sebagai pusat pengumpulan komoditi
pertanian untuk tujuan perdagangan yang terdiri daripada hasil hutan. Antara hasil hutan
tersebut termasuklah padi dan kekacang (Nazarudin Zaidun & Nasha Rodziadi Khaw, 2015).
Hal ini juga terbukti melalui alat tenggala yang digunakan oleh penduduknya untuk tujuan
pertanian padi.

1.3. PERDAGANGAN DAN PELABUHAN

Dari segi hubungan perdagangan, kerajaan Chih Tu telah mempunyai hubungan


perdagangan dengan China iaitu pada zaman Dinasti Sui. Hal ini terbukti apabila kerajaan
Chih Tu telah menghantar ufti sebanyak tiga kali kepada kerajaan China pada masa itu.
Kekerapan pemberian ufti dan kunjungan oleh para pegawai kerajaan China ke kerajaan Chih
Tu jelas memperlihatkan bahawa wujudnya hubungan diplomatik dan perdagangan. Kerajaan
China menjalinkan hubungan perdagangan ini adalah disebabkan mereka memerlukan
sumber ekonomi tambahan untuk memperkaya perbendaharaan negara. Kerajaan Chih Tu
pula merupakan kerajaan yang tepenting bagi China kerana kekayaan hasil buminya.
Hubungan perdagangan ini juga telah dibuktikan dengan penemuan arkeologi contohnya,
jumpaan tembikar, gelang tangan, kapak dan pahat. Maharaja Sui juga telah menghantar
dutanya ke kerajaan Chih Tu dan telah membawa sebanyak 5000 jenis hadiah untuk Raja
Chih Tu. Manakala, kerajaan Chih Tu memberi produk tempatan sebagai hadiah balasan
(Zuliskandar Ramli & Nik Hassan Suhaimi Nik Abd. Rahman, 2012). Hal ini membuktikan telah
berlakunya hubungan diplomatik dan perdagangan antara kerajaan China dan Chih Tu.

Di samping itu, Chih Tu juga berperanan sebagai sebuah pelabuhan yang berfungsi
sebagai pelabuhan pembekal komoditi perdagangan. Hal ini kerana, selepas kejatuhan
Funan, kerajaan Sui telah menjadikan Chih Tu sebagai ganti kepada pelabuhan Oc-Eo.
Kekayaan Chih Tu menjadi faktor penarik kepada kerajaan Sui untuk menjadikannya sebagai
pelabuhan serta menjalinkan hubungan dagangan. Lokasi Chih Tu juga menjadi faktor utama
kerana lokasinya yang terletak di Sungai Kelantan yang merupakan laluan air utama dan
boleh dilayari oleh kapal yang bersaiz kecil dan sederhana. Kerajaan Chih Tu juga merupakan
kerajaan maritim oleh sebab lokasinya adalah di muara sungai. Hal ini disokong oleh (Mohd
Roselan Ab. Malek, 1993) yang menyatakan di dalam bukunya yang bertajuk Negeri Kelantan
Darul Naim. Beliau menyatakan bahawa muara Sungai Kelantan pada masa itu menjadi
pelabuhan dan persinggahan yang penting bagi pedagang-pedagang.

1.4. SOSIOBUDAYA

Dari aspek sosiobudaya, masyarakat Chih Tu mempunyai adat resam yang unik dan
tersendiri. Hal ini disokong oleh (Nazarudin Zainun & Nasha Rodziadi Khaw, Hubungan Politik
dan Sosiobudaya China-Dunia Melayu Hingga Kurun Ke-15 Masihi, 2016). Antara adat dalam
kerajaan Chih Tu adalah golongan lelaki dan perempuan menindik telinga, memakai minyak
wangi serta memakai bunga mawar dan kain berwarna polos. Golongan wanita juga
menyanggul rambut dan menampakkan tengkuk mereka. Upacara pernikahan biasanya
dilakukan pada hari yang difikirkan bertuah dan diberkati. Selain itu, keluarga pengantin
wanita diraikan selama lima hari sebelum upacara perkahwinan. Selepas hari ketujuh,
upacara perkahwinan diselesaikan dan pengantin pun bersatu. Setelah berkahwin, pasangan
pengantin akan berpindah ke rumah yang berasingan daripada keluarga tetapi anak lelaki
bongsu diwajibkan tinggal bersama ayahnya. Jika berlaku kematian keluarga, orang yang
berkabung akan mencukur kepala serta memakai pakaian yang polos dan terang. Si mati
akan dibakar di atas tempat pembakaran yang dibuat dari buluh dan diletakkan di atas sungai
supaya abu mayat yang dibakar jatuh ke dalam sungai. Upacara pembakaran mayat disertai
dengan kemenyan dan bunyi-bunyian daripada cengkerang dan gendang. Jika raja yang
mangkat, abu raja akan dipelihara di dalam botol emas dan disimpan di dalam sebuah kuil.
Makanan utama masyarakat Chih Tu ialah nasi. Terdapat catatan China yang mengatakan
terdapat hidangan kek atau kuih yang berwarna kuning, merah, putih dan ungu. Hidangan
daging lembu, daging kambing, ikan, penyu dan babi juga merupakan makanan yang
dihidangkan ketika majlis keraian yang diadakan untuk mengiringi rombongan Maharaja Sui.

1.5. AGAMA

Kerajaan Chih Tu mungkin mengamalkan ajaran agama Hindu dan Buddha. Hal ini
kerana, kerajaan Chih Tu merupakan sebahagian daripada empayar Funan yang
mengamalkan agama Hindu-Buddha. Catatan China ada mengatakan bahawa Raja Chih Tu,
Li Fo Duo Se mempunyai istana yang terletak di hulu Seng Zhi dan dikatakan mempunyai tiga
gerbang yang terletak lebih daripada seratus langkah setiap satu, dilukis dengan gambar
gambar Bodhisattva dan digantung dengan bunga dan loceng (Nazarudin Zainun & Nasha
Rodziadi Khaw, 2016). Hal ini menguatkan lagi bahawa kerajaan Chih Tu mengamalkan
ajaran agama Buddha. Selain itu, menurut (Ahmad Jelani Halimi, 2008) satu laporan China
mengatakan bahawa di Chih Tu ramai penyembah Buddha, akan tetapi penghormatan
diberikan juga kepada para Brahman yang mengamalkan agama Hindu. Selain itu, disebut
juga dalam catatan China bahawa telah wujud beberapa ratus orang Brahman di dalam istana
raja Chih-Tu ketika itu. Bcrkemungkinan besar juga jawatan-jawatan penting di dalam
kerajaan dipegang oleh golongan ini. Kewujudan golongan Brahman di dalam kerajaan Chih
Tu menggambarkan wujudnya pengamalan konsep Devaraja di dalam kerajaan tersebut
(Nazarudin Zainun & Nasha Rodziadi Khaw, Hubungan Ch'ih-Tu Dengan Dinasti Sui 607-
610M: Satu Analisis Ekonomi, 2016). Tambahan, jika dilihat daripada upacara pembakaran
mayat jelas menunjukkan bahawa kepercayaan Hindu melekat kuat dalam masyarakat Chih
Tu. Selain itu, corak pemerintahan kerajaan Chih Tu yang sama dengan Srivijaya juga adalah
dipengaruhi oleh agama Hindu.

1.6. KESIMPULAN

Daripada keterangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kerajaan Chih Tu


merupakan antara kerajaan awal yang telah mencapai kemajuan di Tanah Melayu sebelum
Kesultanan Melayu Melaka. Melalui aspek-aspek yang telah dinyatakan telah membuktikan
bahawa kerajaan Chih Tu telah mempunyai pencapaian yang cemerlang daripada pelbagai
aspek dan menjadi antara kerajaan yang besar dan berpengaruh pada zaman itu. Adalah
penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka untuk memahami dan menghayati
tentang kewujudkan tentang kerajaan Melayu di tanah air suatu ketika dahulu. Melalui
pemahaman ini dapat melahirkan kesedaran tentang wujudnya satu ketamadunan Melayu
yang tinggi pada zaman dahulu. Selain itu, kemunculan dan kelahiran kerajaan negeri - negeri
Melayu yang lain membuktikan bahawa setiap negeri ini mempunyai kedaulatan tersendiri.
Oleh itu, generasi muda haruslah berbangga dengan ketamadunan Melayu serta menghayati
dan menghargai sejarah negara dan seterusnya mengukuhkan jati diri terhadap tanah air.
BIBLIOGRAFI

Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Cheras: Perpustakaan
Negara Malayisa.
Diana Amran. (2015, September 11). Konsep Kerajaan Chih Tu Sebagai Kerajaan Maritim di
Kawasan Asia Tenggara. Retrieved from DocSlide:
http://documents.tips/documents/konsep-kerajaan-chih-tu-sebagai-kerajaan-maritim-
di-kawasan-asia-tenggara.html#
Ishak Saat, & Adnan Jusoh. (2013). Isu-Isu Terpilih Sejarah Alam Melayu. Batu Pahat:
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Mohd Roselan Ab. Malek. (1993). Negeri Kelantan Darul Naim. Selangor: Persatuan
Penerbit Buku Malaysia.
Nazarudin Zaidun, & Nasha Rodziadi Khaw. (2015). Perdagangan Dunia Melayu-China
Hingga Kurun Ke-16 Masihi Satu Tinjauan Sejarah dan Arkeologi. Pulau Pinang:
Universiti Sains Malaysia.
Nazarudin Zainun, & Nasha Rodziadi Khaw. (2016). Hubungan Ch'ih-Tu Dengan Dinasti Sui
607-610M: Satu Analisis Ekonomi. Myjurnal, 7.
Nazarudin Zainun, & Nasha Rodziadi Khaw. (2016). Hubungan Politik dan Sosiobudaya
China-Dunia Melayu Hingga Kurun Ke-15 Masihi. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.
Zuliskandar Ramli, & Nik Hassan Suhaimi Nik Abd. Rahman. (2012). Hubungan antara
Semenanjung Tanah Melayu dengan China Sejak Awal Abad Masihi. Kerajaan Chih
Tu, 5.
Rajah 1: Batu Bersurat Buddhagupta yang dijumpai di Kedah yang menceritakan
tentang Raktamaritika.
Rajah 2: Salinan asal tentang kerajaan Chih Tu dalam catatan Dinasti Sui
Rajah 3: Lokasi kerajaan Chih Tu

S-ar putea să vă placă și