Sunteți pe pagina 1din 22

Amanah Saham

Panduan Pelabur
Pusat Perkembangan Industri Sekuriti

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (Securities


Industry Development Centre - SIDC), cabang
pendidikan dan latihan Suruhanjaya Sekuriti,
memainkan peranan penting dalam meningkatkan
mutu peserta pasaran menerusi peningkatan
kemahiran, profesionalisme dan kesedaran di
kalangan pelbagai kumpulan pasaran. Ia
memenuhi objektifnya dengan:

• mendidik para pelabur mengenai risiko dan


ganjaran pelaburan, perancangan kewangan
dan hak-hak serta tanggungjawab mereka;

• mempromosikan pemahaman yang lebih


meluas mengenai tugas dan tanggungjawab
para pengarah dan pemegang saham syarikat
awam tersenarai:

2 • mempromosikan profesionalisme dan


kepakaran di kalangan perantara pasaran;

• menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam


pasaran modal menerusi pendidikan;

• memudahkan perkembangan program


pendidikan bagi para pelajar dan ahli akademik
universiti tempatan; dan

• menyediakan bantuan latihan untuk


pengawalselia serantau.

Diterbitkan pada Disember 2000


Amanah Saham — Panduan
Pelabur

Pengenalan

Pasaran Modal Malaysia menawarkan pelbagai


jenis produk pelaburan dalam bentuk saham, stok
pinjaman bon, waran dan unit amanah. Jenis
produk yang dipilih oleh pelabur untuk melaburkan
wang mereka bergantung kepada matlamat
kewangan, jangka masa dan amaun modal yang
sedia ada.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, unit


amanah atau biasa disebut sebagai amanah saham,
semakin popular dan diterima ramai. Ini terbukti
melalui pertumbuhan banyak dana unit amanah
yang diluluskan, termasuk unit amanah
berteraskan Islam dan dana amanah yang ditaja
oleh kerajaan. Selain itu, saham bagi pasaran
modal dana unit amanah di Bursa Saham Kuala
3
Lumpur (BSKL) juga semakin meningkat.

Apakah Amanah Saham?

Dana amanah saham adalah satu skim pelaburan


yang mengumpul wang daripada ramai pelabur
yang mempunyai objektif kewangan yang sama.
Dana ini diuruskan oleh sekumpulan pengurus
profesional yang melaburkan wang terkumpul itu
dalam portfolio sekuriti seperti saham, bon dan
instrumen pasaran wang atau lain-lain sekuriti yang
dibenarkan, semata-mata untuk mencapai objektif
dana. Pendapatan dana itu pula diperoleh daripada
pelaburan sama ada dalam bentuk dividen, faedah
dan keuntungan modal. Pendapatan ini kemudian
diagihkan sebagai dividen kepada semua
pemegang unit, mengikut pegangan unit masing-
masing.
Amanah saham menawarkan kepada para pelabur
satu kaedah pelaburan sekuriti yang lebih mudah,
selesa serta menjimatkan masa, berbanding jika
berurus niaga secara individu. Ia membolehkan
pelabur runcit melabur dalam aset yang biasanya
hanya terbuka kepada pelabur besar/syarikat, serta
dapat menyertai pasaran sekuriti yang lebih luas
berbanding jika melabur secara persendirian.

Portfolio yang pelbagai membolehkan pelabur kecil


atau besar mengembangkan pelaburan, pada masa
yang sama mengurangkan risiko sekiranya
sebahagian pelaburan mengalami kejatuhan nilai.
Ia juga meningkatkan peluang memperolehi saham
yang baik pada harga yang baik. Para pelabur juga
mendapat manfaat kerana pelaburan mereka
diuruskan sepenuh masa oleh pengurusan
profesional. Selain itu, pelaburan itu mudah tunai
kerana para pelabur boleh menjual sebahagian
atau kesemua pelaburan mereka pada bila-bila
4 masa.

Bagaimana Amanah Saham Beroperasi

Dana amanah saham diwujudkan melalui satu


surat ikatan amanah, iaitu satu perjanjian antara
syarikat pengurusan, pemegang amanah dan
pelabur (yang dipanggil pemegang unit). Surat
ikatan amanah itu menjelaskan pentadbiran kuasa
dan tanggungjawab pelbagai pihak terbabit.
Suruhanjaya Sekuriti (SC) diberi kuasa mendaftar
surat ikatan amanah bagi sesuatu skim amanah
saham.

Syarikat pengurusan ialah syarikat yang


menguruskan dana. Ia mengendalikan urusan
pemasaran dan pentadbiran dana tersebut dan
biasanya turut mengendalikan pelaburan walaupun
dalam sesetengah keadaan, pengurus pelaburan
luar (biasanya sebuah syarikat pengurusan aset)
dilantik untuk menguruskan sebahagian atau
keseluruhan pelaburan.

Sebagai perlindungan, syarikat pengurusan tidak


dibenarkan menyimpan aset dana, umpamanya sijil
saham dan akaun bank. Pemegang amanah
bertindak sebagai penjaga aset dan
tanggungjawabnya yang utama ialah menjaga
kepentingan para pemegang unit.

Untuk melabur dalam dana amanah saham,


pelabur membeli unit daripada syarikat pengurusan
pada harga jualan semasa yang dikira setiap hari
dan biasanya disiarkan di akhbar utama. Unit ini
boleh dibeli pada bila-bila masa, asalkan dana itu
belum mencapai had maksimum yang diluluskan.

Pemegang unit boleh menjual kembali unit-unit


mereka kepada syarikat pengurusan pada harga
belian semasa (bagaimanapun, dalam keadaan
yang jarang berlaku, kewajipan dana untuk
5
membeli kembali unit boleh digantung).

Keadaan ini dijelaskan dalam prospektus dana. Ciri


belian balik inilah yang menyebabkan amanah
saham dipanggil “dana terbuka”. Syarikat
pengurusan bukan sahaja menerbitkan unit baru
kepada bakal pelabur, malahan dikehendaki
membeli balik atau menebus unit daripada pelabur
yang hendak melepaskan pelaburannya. Nilai dana
atau harga yang perlu dibayar oleh pemegang unit
atau jumlah yang akan diterima apabila unit itu
dijual adalah berdasarkan kepada nilai bersih aset
dana dicampur caj (jika ada). Penting diambil
perhatian bahawa dalam kes di mana sebahagian
besar dana dilaburkan dalam stok dan saham,
prestasi dana akan dipengaruhi oleh prestasi
pasaran stok. Kerana itu, harga jualan pemegang
unit mungkin tinggi atau rendah bergantung
kepada prestasi pasaran stok ketika unit itu dibeli.
Amanah Saham Dan Dana Bersama

Dana bersama (mutual fund), seperti juga


dana amanah saham, adalah skim pelaburan
kolektif terbuka yang terdapat pada
sesetengah negara. Perbezaan utama antara
kedua-duanya ialah struktur undang-
undangnya. Dana bersama - istilah yang biasa
digunakan di Amerika Syarikat - adalah
syarikat pelaburan yang menerbitkan saham
boleh tebus. Ini berbeza dengan amanah
saham, yang bukan merupakan syarikat tetapi
suatu amanah, dan menerbitkan unit, bukan
saham.

Pertumbuhan Dan Pendapatan Dividen

Pemegang unit mempunyai potensi memperoleh


wang melalui dua cara: pertumbuhan modal dan
6 pendapatan dividen.

Setiap unit dalam dana mewakili sebahagian


daripada portfolio dasar sekuriti dana. Nilai sesuatu
unit pada dasarnya adalah nilai pasaran
keseluruhan dana (nilai aset bersih) dibahagi
dengan bilangan unit dalam edaran. Oleh itu, jika
nilai portfolio itu naik, nilai setiap unit turut naik.
Ini dipanggil pertumbuhan modal atau
peningkatan nilai modal. Jika unit-unit itu dijual
pada harga lebih tinggi berbanding harga
beliannya, keuntungan akan diperoleh. Sebaliknya,
jika nilai portfolio jatuh, nilai setiap unit turut jatuh.
Pelabur akan kehilangan sebahagian daripada
pelaburannya jika unit itu dijual pada harga lebih
rendah daripada harga beliannya.

Apa juga pendapatan yang diterima oleh dana


mungkin akan diagihkan sebagai dividen kepada
pemegang unit. Bagaimanapun, bayaran dividen
tidak dijamin; jika dana membuat sedikit
keuntungan atau tiada langsung, ia mungkin tidak
akan membayar dividen. Lagipun, dana yang
menumpukan kepada pencapaian pertumbuhan
modal mungkin mempunyai dasar membayar
hanya sejumlah kecil dividen atau tiada langsung.
Dalam keadaan begini, anda mungkin perlu
menjual sebahagian atau keseluruhan pelaburan
jika anda memerlukan wang tunai. Oleh itu, amat
penting membaca prospektus untuk mengetahui
jenis dana yang ditawarkan dan sama ada ia
bersesuaian dengan objektif pelaburan anda.

Kelebihan Melabur Dalam Unit Amanah

Kepelbagaian

Para pelabur dalam unit amanah berpeluang


menyertai lebih banyak sekuriti berbanding dengan
pelaburan yang dibuat secara persendirian. Dengan
wang yang terhad, pelabur persendirian hanya
7
mampu membeli sejumlah kecil unit saham dengan
pilihan terhad kepada saham beberapa syarikat
sahaja. Tetapi sekiranya wang itu dikumpulkan
dengan wang para pelabur lain, ia boleh
digunakan untuk membeli saham lebih banyak
syarikat. Kerugian yang ditanggung oleh beberapa
kaunter boleh diimbangi oleh keuntungan yang
diperolehi daripada kaunter lain. Oleh yang
demikian, risiko dapat dikurangkan, malahan risiko
yang ditanggung oleh pelabur juga akan terus
berkurangan jika pelabur itu membuat pelaburan
dalam beberapa dana dan tidak terhad kepada
satu dana sahaja.

Mudah tunai

Pembelian dan penjualan unit amanah lebih mudah


berbanding melabur terus dalam saham sesebuah
syarikat di mana harga dan peluang untuk
membuat urus niaga bergantung kepada
penawaran dan permintaan pada masa itu.
Pengurusan profesional yang berterusan

Unit amanah diuruskan oleh kumpulan profesional


yang berpengalaman yang menguruskan dana
secara tersusun dan teratur berbanding pelabur
individu yang mungkin membuat pelaburan secara
rambang. Keputusan pelaburan yang diambil oleh
pengurus dana dibuat berdasarkan penyelidikan
meluas dan mereka akan terus mengawasi
portfolio berdasarkan maklumat yang telah
diselidiki.

Peluang memiliki aset kewangan lebih meluas

Pengurus dana amanah saham boleh menjual beli


produk pelaburan yang biasanya tidak berpeluang
didekati oleh pelabur individu, seperti bon kerajaan
dan bon korporat, yang mungkin dihadkan kepada
pelabur institusi sahaja. Sesetengah daripada
8 produk ini diniagakan dalam jumlah besar, dan ini
membataskan kemampuan pelabur individu
walaupun pelabur individu diberikan peluang
tersebut.

Memahami Risiko Dan Kos Yang


Dikaitkan Dengan Amanah Saham

Prinsip asas pelaburan adalah, balasan risiko


seimbang dikaitkan dengan setiap keputusan
pelaburan yang dibuat. Lebih tinggi risiko, lebih
besar pulangannya. Begitu juga sebaliknya!

Secara amnya, ada tiga jenis risiko pelaburan:

• Risiko pasaran am - berkaitan jenis pelaburan


lebih meluas yang banyak bergantung kepada
keadaan ekonomi dan pasaran antarabangsa.
Risiko seperti ini sukar dikawal.
• Risiko sektor pasaran – berkaitan dengan sektor
pasaran tertentu, misalnya pada masa tertentu,
prestasi saham kewangan lebih baik
berbanding saham perladangan. Risiko seperti
ini boleh diatasi dengan cara mengawasi
keadaan ekonomi secara teliti untuk mengenal
pasti turun naik saham.

• Risiko khusus – berkaitan dengan prestasi


sekuriti atau harta benda tertentu dalam
portfolio pelaburan, misalnya prestasi saham
syarikat tertentu dipengaruhi oleh keadaan
dalam syarikat berkenaan. Kemungkinan satu
pelaburan tidak berjaya berbanding pelaburan
lain boleh dikurangkan dengan membuat
penyiasatan dan penyelidikan rapi sebelum
membuat pelaburan. Ia juga perlu sentiasa
diawasi.

Memandangkan amanah saham melabur dalam


sekuriti boleh pasar, ia terdedah kepada
9
pergerakan pasaran. Kepelbagaian dalam
pelaburan boleh membantu mengurangkan risiko
tetapi tidak dapat menghilangkan terus risiko.

Harga unit amanah turun naik, dividen mungkin


dibayar mungkin tidak, dan anda mungkin
mendapat untung atau rugi apabila menjual unit
amanah anda. Cara terbaik menangani ketiga-tiga
tahap risiko adalah dengan memastikan semua
aset dan pelaburan anda dipelbagaikan sebaik
mungkin. Ini akan dibincangkan kemudian.

Melabur dalam amanah saham mungkin


memberikan pulangan yang tinggi berbanding
menyimpan wang di bank, tetapi risikonya juga
lebih tinggi. Tiada jaminan atas pulangan atau
pelaburan pokok. Anda mungkin memperoleh
kurang daripada jumlah yang dilaburkan. Rekod
prestasi sesebuah dana boleh dijadikan panduan
untuk menjangkakan prestasi pada masa akan
datang, tetapi ia tidak menjamin prestasi akan
datang terus cemerlang. Dana yang pernah
menunjukkan prestasi cemerlang pada masa lalu
mungkin tidak mencapai kejayaan yang sama pada
masa akan datang dan begitu juga sebaliknya.

Mengenal Pasti Jenis Amanah Saham

Amanah saham dianggap sebagai instrumen yang


baik untuk perancangan kewangan sederhana
hingga jangka panjang. Bagaimanapun, amat
penting memilih dana bersesuaian bergantung
kepada profil risiko dan objektif pelaburan anda.
Di sini disenaraikan jenis amanah saham yang ada
di pasaran pada masa ini:

Dana pendapatan: Melabur dalam sekuriti


pendapatan tetap dan saham yang menghasilkan
dividen besar dengan tujuan akan mendapat
10 kebanyakan daripada pulangan. Sesuai untuk
pelabur yang mencari pendapatan dan sedikit
pertumbuhan dengan risiko yang rendah.

Dana pertumbuhan modal: Pelaburan utama dalam


saham dengan harapan akan memaksimumkan
pertumbuhan modal dalam jangka masa panjang
(yakni melalui harga unit yang lebih tinggi). Paling
diminati oleh pelabur yang suka risiko tinggi dan
berminat terhadap pengumpulan modal.

Dana pertumbuhan agresif: Sama dengan dana


pertumbuhan modal tetapi pelaburan dibuat dalam
saham agresif yang menjanjikan pulangan tinggi
dengan risiko yang lebih tinggi. Sesuai untuk
pelabur berisiko tinggi.

Dana terimbang: Cuba mencapai tiga objektif :


pendapatan, naik nilai sederhana dan
pemeliharaan modal. Pelaburan dibuat dalam
pelbagai kategori aset yang merangkumi saham,
sekuriti pendapatan tetap dan wang tunai.
Kepelbagaian yang baik dan sesuai untuk pelabur
yang mencari pelaburan selamat di mana risikonya
lebih rendah dan menghasilkan pulangan yang
sederhana.

Dana indeks: Melabur dalam sejumlah besar saham


yang menjejaki indeks pasaran saham terpilih.

Dana bon: Melabur hanya dalam sekuriti


pendapatan tetap seperti bon dan instrumen
pasaran wang jangka pendek. Semua dana bon
tertakluk kepada risiko kadar faedah manakala
kebanyakannya tertakluk kepada risiko kredit atau
risiko mungkir penerbit sekuriti.

Dana pasaran wang: Melabur hanya dalam


instrumen pasaran wang jangka pendek seperti bil
perbendaharaan, sijil deposit boleh niaga dan
penerimaan jurubank, dengan tempoh
kematangan kurang daripada 90 hari.
Memandangkan dana dilaburkan dalam instrumen
11
pasaran wang, pulangan yang diterima pada
amnya lebih menarik jika dibandingkan dengan
deposit simpanan.

Dana Islam: Diuruskan berlandaskan prinsip-prinsip


syariah; pelaburan dibuat dalam saham dan sekuriti
pendapatan tetap dan tidak merangkumi saham
yang tidak ‘halal’ dan instrumen pasaran wang
yang berfaedah.

Dana harta: Dana amanah khusus yang berbeza


dengan dana amanah lain kerana kebanyakan
pelaburannya adalah dalam hartanah berbanding
sekuriti. Amanah harta boleh tersenarai di BSKL.
Dana tersenarai adalah “tertutup” (closed-end)
kerana unit amanah hanya diterbitkan dalam
tempoh tawaran permulaan dan unit yang dijual
tidak akan dibeli semula. Selepas tempoh ini,
pelabur yang mahu membeli atau menjual unit
mereka hanya boleh melakukannya melalui wakil
penjual – sama seperti membeli atau menjual unit
saham mana-mana syarikat tersenarai. Justeru,
harga unit dalam dana yang tersenarai ini
ditentukan oleh permintaan dan penawaran dan
tidak diasaskan secara langsung kepada nilai bersih
aset dana tersebut, seperti dalam dana yang tidak
tersenarai (open-end).

Dana yang pelbagai jenis itu mempunyai matlamat,


strategi dan tahap risiko berbeza. Ada yang
mungkin menetapkan “pertumbuhan tinggi” atau
“pertumbuhan agresif” sebagai matlamat,
manakala yang lain mungkin menekankan kepada
pendapatan tetap atau pemeliharaan modal. Ada
juga dana khusus yang mempunyai penumpuan
tertentu – misalnya, melabur dalam syarikat kecil
atau berlandaskan prinsip-prinsip syariah.

Menentukan Jenis Dana Yang Sesuai


12
Di peringkat usia manakah anda berada kini?
Umumnya, orang muda dan baru bekerja berupaya
mengambil lebih risiko bagi keuntungan jangka
panjang berbanding dengan mereka yang
menghampiri usia bersara dan tidak berapa lama
lagi perlu mengeluarkan wang simpanannya untuk
menyara hidup.

Apakah matlamat pelaburan anda? Matlamat biasa


termasuklah simpanan untuk pelajaran anak-anak,
mengekalkan modal dan memperolehi pendapatan
buat masa kini.

Berapa lama anda bercadang untuk melabur? Lima


tahun? 10 tahun? Pada amnya, makin lama
tempoh pelaburan, semakin besar peluang untuk
mendapat pulangan lebih baik dan anda tidak
perlu terlalu risau mengenai kejatuhan harga
pasaran pada jangka masa pendek.
Apakah jenis pulangan yang anda harapkan?
Pendapatan tetap? Atau pertumbuhan dalam nilai
pelaburan anda? Ada dana yang mengumumkan
dividen tinggi setiap tahun, tetapi biasanya
mengorbankan pertumbuhan yang tinggi.

Berapa banyak risiko sanggup anda terima? Risiko


dan pulangan tidak dapat dipisahkan. Jika anda
tidak pasti bila anda memerlukan wang atau
bimbang mengenai kejatuhan nilai pelaburan
walaupun buat sementara, pilihlah dana yang
berisiko rendah.

Memilih Dana Untuk Melabur

Setelah anda mengenal pasti jenis dana yang


memenuhi keperluan anda, langkah akhir ialah
menentukan dana untuk membuat pelaburan.

Dapatkan prospektus terbaru dana yang anda


13
berminat untuk melabur (prospektus dikemas kini
setiap enam bulan.) Jika ia bukan dana baru, minta
laporan tahunan atau laporan pemegang unit
interim terbaru. Baca dokumen ini dengan teliti.

Yuran dan Bayaran

Ada beberapa bayaran dikenakan kepada pelabur.


Amat penting anda meneliti pelbagai yuran yang
dikenakan kepada anda oleh pengurus dana.
Syarikat pengurusan dibenarkan mengenakan tiga
jenis yuran:

• Bayaran perkhidmatan awal - biasanya bayaran


ini dimasukkan dalam harga jualan dana

• Yuran pembelian semula - bayaran ini boleh


dimasukkan dalam harga pembelian dana
• Yuran pengurusan - mewakili yuran syarikat
pengurusan kerana mentadbir dana dan
dituntut terus daripada dana.

Selain daripada yuran-yuran yang dinyatakan di


atas, terdapat beberapa perbelanjaan lain seperti
yuran pemegang amanah dan perbelanjaan
brokeraj yang ditanggung oleh dana. Pengurusan
yang tidak cekap boleh membawa kepada kos
pentadbiran yang tinggi, justeru adalah penting
anda meneliti pelbagai yuran yang dikenakan
ketika memilih dana.

Antara Maklumat Yang Wajar Dicari

Ketika memilih dana untuk melabur, cari maklumat


mengenai pemegang saham, ahli lembaga
pengarah dan tenaga pengurusan utama bagi
syarikat pengurusan dana tersebut. Anda perlu
14 menilai kekuatan kewangan, rekod prestasi serta
kepakaran syarikat dan kakitangannya. Sebabnya,
mereka inilah yang akan menguruskan wang anda.

Matlamat dan strategi pelaburan dana, had


pelaburan, portfolio semasa dan apa-apa ulasan
mengenai prestasi terkini dana - maklumat ini
sepatutnya dapat memberi gambaran kasar
mengenai tahap risiko dana tersebut.

Prestasi dana pada masa lalu. Jangan terlalu


menumpukan perhatian terhadap prestasi yang
ditunjukkan dalam tempoh satu tahun atau
kurang; beri perhatian kepada prestasi yang baik
dan konsisten pada jangka masa panjang.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kejayaan
pada masa lalu tidak menjamin prestasi yang baik
pada masa akan datang.

Apa-apa ciri khusus dan sekatan yang mungkin


bertentangan dengan keperluan dan keutamaan
anda. Contohnya, dana itu mungkin mempunyai
dasar tidak mengagihkan dividen, pelaburan
minimum yang diperlukan mungkin lebih tinggi
daripada jumlah yang ingin anda laburkan, atau
peraturan mengenai belian dan jualan unit
mungkin menyusahkan anda.

Pembiayaan Pinjaman Dan Simpanan


Kekal

Kaji implikasi dengan teliti sebelum mengambil


pinjaman untuk melabur dalam unit amanah.
Meminjam boleh meningkatkan peluang untuk
mendapat keuntungan atau kerugian. Jika nilai
pelaburan jatuh bawah paras tertentu, pihak
bank mungkin meminta anda mengurangkan
baki pinjaman. Juga, pinjaman anda mempunyai
kos faedah yang mungkin naik dan ini
mengurangkan apa-apa keuntungan yang
dibuat oleh dana anda.
15
Sebagai alternatif, anda boleh menimbangkan
satu rancangan simpanan kekal di mana anda
boleh melabur sejumlahkecil setiap bulan, tanpa
terikat dengan jadual tetap pembayaran balik
serta risiko meminjam. Satu lagi kelebihan
melaburkan jumlah wang yang sama pada jarak
waktu berkala ialah anda dapat membeli lebih
banyak unit bila harganya rendah dan kurang
apabila harganya naik, dengan itu
mengurangkan kos purata seunit. Ini dikenali
sebagai kos ringgit purata dan pelabur tidak
perlu lagi memikirkan bilakah masa yang sesuai
untuk membeli unit amanah. Jika anda
melaburkan semuanya serentak (contohnya,
dalam rancangan pembiayaan pinjaman) dan
tidak mengagihkan pelaburan anda dalam satu
tempoh masa, terdapat risiko kemungkinan
pelaburan dibuat ketika pasaran sedang
mencapai kemuncak.
Melabur Dengan Bijak

Setiap pelabur mempunyai matlamat, keperluan


dan halangan yang berbeza. Namun demikian,
terdapat beberapa “peraturan” umum perlu
dipatuhi oleh setiap pelabur untuk kebaikan
sendiri.

Baca prospektus dengan teliti. Pastikan anda faham


di mana dan bagaimana wang anda akan
dilaburkan serta risiko terbabit. Anda patut tahu
bagaimana unit amanah dikendalikan, segala
bayaran dan caj yang akan dikenakan dan hak
anda sebagai pemegang unit.

Jika anda dikunjungi oleh jurujual, minta dokumen


atau kad kuasa yang dikeluarkan oleh Persekutuan
Pengurus-Pengurus Amanah Saham Malaysia
(FMUTM) bagi memastikan kesahihannya.

16 Jangan mempercayai kenyataan jurujual secara


lisan dan tidak terdapat dalam prospektus, borang
permohonan atau dokumen rasmi lain yang
dikeluarkan oleh syarikat pengurusan dana.

Jangan terburu-buru membuat keputusan. Tolak


jurujual yang terlalu mendesak. Unit dijual bukan
sahaja dalam tempoh tawaran permulaan tetapi
sepanjang tempoh usia dana berkenaan, asalkan
jumlah unit dalam edaran belum melebihi had yang
diluluskan. Walaupun dana “sudah habis dijual”
kerana telah mencapai had yang diluluskan, mana-
mana penebusan balik oleh pelabur sedia ada akan
membolehkan unit berkenaan dijual semula.
Jangan sekali-kali memberi wang tunai kepada
jurujual atau mengeluarkan cek atas namanya.
Pembayaran hendaklah dibuat kepada syarikat
pengurusan (atau, dalam keadaan tertentu,
pemegang amanah).

Kebanyakan dana mempunyai tempoh enam hari


bekerja di mana semua bayaran dan yuran
perkhidmatan akan dikembalikan sekiranya pelabur
memutuskan untuk menarik diri. Bagaimanapun,
pengembalian wang adalah berdasarkan nilai
bersih tertinggi aset atau harga belian balik
amanah saham pada hari tempoh itu
dikuatkuasakan.

Simpan rekod pelaburan anda dan semak


kenyataan atau sijil yang anda terima bagi
memastikan ianya betul.

Ingat, semakin tinggi kadar pulangan yang


diharapkan, semakin tinggi risikonya. Jangan
memilih dana semata-mata kerana ia telah
menunjukkan prestasi yang baik – ia mungkin
berjaya mencapai tahap itu dengan mengambil
lebih banyak risiko daripada apa yang sanggup
anda terima. Pastikan jenis dana yang sesuai untuk
anda.

17
Yang Anda Perlu Awasi

• Gambaran mengenai keuntungan besar atau


“jaminan” bahawa anda tidak akan kehilangan
wang atau akan memperolehi pulangan
minimum yang tertentu. Ingat, jika ia sukar
untuk dipercayai, jangan percaya.

• Desakan untuk membeli produk yang


bertentangan dengan matlamat pelaburan
anda serta risiko yang anda mahu atau mampu
tanggung.

• Desakan untuk melabur sejumlah wang yang


lebih banyak daripada yang anda fikirkan patut.
Contohnya, dengan meminjam pada margin
yang tinggi.

• Syor jurujual supaya “membeli sekarang” untuk


layak menikmati pembayaran dividen atau
terbitan unit bonus yang akan dikeluarkan oleh
dana. Jangan terburu-buru membuat
pembelian kerana terpengaruh dengan
dakwaan sedemikian. Oleh kerana harga unit
akan jatuh selepas pembayaran dividen atau
terbitan unit bonus, harta pelabur tidak
berubah selepas pembayaran dividen atau
terbitan unit bonus itu.

Memilih Pelaburan Yang Betul

Sentiasa ingat bahawa tiada satu jenis pelaburan


atau simpanan yang boleh memenuhi kesemua
kehendak anda. Akaun simpanan adalah mudah
tunai dan bersedia memenuhi keperluan
perbelanjaan harian anda, tetapi inflasi boleh
menyebabkan faedah yang diperoleh tidak
mencukupi untuk mengekalkan kuasa belian anda.
Sebaliknya, hartanah mungkin memberi pulangan
lebih besar, tetapi ia mungkin membekukan
18 sebahagian besar simpanan anda selama beberapa
tahun. Dalam masa mempertingkatkan jumlah
simpanan, yang diperlukan ialah portfolio jenis
simpanan yang berbeza.

Apa yang dimasukkan dalam portfolio tersebut


(misalnya, simpanan tetap, saham, insurans nyawa
atau amanah saham) dan berapa banyak
diperuntukkan dalam setiap jenis simpanan
bergantung kepada keadaan kewangan, matlamat
dan sikap anda terhadap pelaburan dan risiko.

Apakah anda tidak dapat tidur jika pelaburan


jangka panjang dalam amanah saham ekuiti
mengalami kemerosotan nilai dalam masa sebulan?
Susut nilai adalah perkara biasa dalam pelaburan
pasaran saham, dan jika anda tidak selesa dengan
turun naik pasaran, mungkin pelaburan lebih
konservatif, misalnya simpanan tetap, lebih sesuai
untuk anda walaupun pulangannya mungkin lebih
rendah.
Walaupun anda bersedia mengambil lebih risiko,
anda tidak harus mengharapkan untuk untung
cepat dalam pelaburan amanah saham. Harga
amanah saham biasanya bergerak lebih lambat
berbanding harga saham individu. Oleh itu,
amanah saham harus dianggap sebagai pelaburan
untuk jangka panjang atau sederhana dan bukan
pelaburan jenis spekulatif.

Pengawalseliaan Unit Amanah

Hanya skim unit amanah yang diluluskan boleh


ditawarkan kepada orang ramai di Malaysia. Skim
tersebut pada dasarnya dikawal selia oleh SC dan
perlu mematuhi segala keperluan yang
diperuntukkan bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti
1993 [sebagaimana pindaan kepada Akta
Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2000].
19
Dana yang diluluskan boleh dikenal pasti secara
mudah melalui kulit hadapan prospektusnya yang
mengandungi pernyataan bahawa satu salinan
prospektus tersebut sudah didaftarkan dan
diserahsimpan dengan SC.

Sungguhpun terdapat undang-undang dan garis


panduan untuk membantu melindungi pelabur,
menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk menilai
kesesuaian, keuntungan dan keupayaan sesuatu
pelaburan itu. Terpulang kepada anda sebagai
pelabur untuk membaca maklumat yang
terkandung dalam prospektus dan membuat
keputusan sama ada untuk melabur atau tidak
berdasarkan keadaan dan sikap anda sendiri
terhadap risiko.

Peringatan: Tidak terdapat sebarang jaminan


dalam pelaburan amanah saham
Pelaburan sempurna belum lagi tercipta.
Ia akan mencapai pertumbuhan maksimum apabila
harga sekuriti melonjak naik; lindung modal
daripada kerugian apabila harga turun;
dan dapatkan hasil pulangan tinggi pada setiap
masa.

Joel Ross

20
21

S-ar putea să vă placă și