Sunteți pe pagina 1din 4

Akhlak, etika dan moral merupakan elemen penting yang tidak dapat dielak dan dipisahkan

daripada dunia pendidikan. Malah tujuan pendidikan itu sendiri memain peranan bukan
sebagai membina pengetahuan pelajar sahaja, bahkan turut membina akhlak dan sahsiah
pelajar sehinggakan termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara melahirkan insan yang
dapat menghayati nilai. Justeru, dunia pendidikan hari ini dilihat bukan sahaja menerapkan
pengetahuan akademik semata-mata, bahkan diketengahkan dalam proses pembelajaran
tentang nilai terutamanya nilai akhlak dalam kehidupan.

Tidak dapat dinafikan bahawa dunia kepesatan teknologi hari ini membawa kepada
kemajuan penggunaan teknologi dalam kehidupan maknusia. Sepatutnya kemajuan
teknologi yang dikecapi ini menjadikan manusia lebih berakhlak dan mempunyai nilai murni.
Akan tetapi, situasi tersebut tidak berlaku. Apa yang dapat kita kecapi hasil daripada
kemajuan teknologi hari ini adalah generasi yang maju dalam teknologi, tetapi mundur dari
sudut akhlak dan moral. Tidak dapat dinafikan, keruntuhan akhlak pelajar masa kita
mempunyai banyak penyebabnya. Antara yang terserlah merupakan masalah hubungan
bebas pelajar lelaki dan perempuan, gejala buli, ponteng kelas, mencuri merupakan statistic
yang tertinggi direkodkan.

Dapatan melalui akhbar Harian Metro pada 29 Disember 2010 menyatakan bahawa hampir
tiga peratus daripada lebih lima juta pelajar dari 10, 000 sekolah rendah dan menengah
terlibat dalam kes salah laku disiplin. Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee
Kah Siong menyatakan bahawa mengikut rekod kementerian 111,484 pelajar atau 72,557
pelajar sekolah menengah dan 38,927 murid sekolah rendah dikesan terbabit pelbagai salah
laku disiplin pada tahun 2010. Antara kes salah laku disiplin termasuk kes jenayah (17,595
kes), ponteng sekolah (19,545 kes), berlaku kurang sopan (18,346 kes), kekemasan diri
(21,384 kes), tidak mementingkan masa (17,808 kes), kelucahan (3,031 kes), vandalisme
(5,212 kes) dan kenakalan (8,563 kes). Akhbar Kosmo 1 Julai 2012 menyatakan tentang
dapatan kajian sebanyak 108, 650 daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah
di seluruh negara terlibat dengan kes salah laku. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin,
penyumbang utama kes salah laku pelajar ialah ponteng sekolah iaitu seramai 18, 550
pelajar (Khairi, 2017: 3). Tidak mustahil, jika pada tahun 2018 ini, kita akan melihat
peningkatan statistik ini berdasarkan suasana dan situasi akhlak pelajar yang boleh dilihat di
sekolah pada masa kini.

Jika merenung kepada punca permasalahan ini, kita akan dapati bahawa pelajar-pelajar
yang mempunyai masalah akhlak ini kebanyakannya mempunyai latar belakang masalah
keluarga. Antara punca yang paling ketara sekarang adalah disebabkan si ibu yang

1
terpaksa membantu si ayah bekerja, oleh kerana kos sara hidup yang semakin meningkat
menyebabkan satu sumber pendapatan sahaja tidak mencukupi. Oleh yang demikian, maka
masa dan keringat si ibu terhabis di tempat kerja membuatkan si anak tidak mendapat
perhatian yang sewajarnya. Tambahan pula, pelajar remaja yang berada dalam satu proses
pembelajaran yang mana mereka ini mempunyai sikap dan dorongan ingin tahu yang tinggi.
Pada peringkat dan masa ini, mereka cuba meneroka alam ini menggunakan kaca mata
mereka sendiri. Ketika inilah pelbagai anasir dan unsur disekeliling mereka memainkan
peranan yang begitu penting. Jika dilihat, kebanyakan pelajar yang mempunyai masalah
akhlak, tidak berseorangan. Malah, mereka mempunyai kumpulan mereka tersendiri. Di
sinilah, pengaruh rakan sebaya memainkan peranannya yang sangat kuat dalam diri pelajar.

Tambahan lagi, di dunia perhubungan tanpa sempadan kini, membuatkan unsur-unsur


negatif daripada barat tidak dapat dikekang lagi. Perkembangan media sosial yang begitu
ketara ditambah lagi dengan percambahan aplikasi sosial bagaikan cendawan yang tumbuh
selepas hujan membuahkan masalah akhlak yang begitu kronik. Jika dahulu, susah untuk
kita melihat anak pelajar menari di hadapan orang lain. Namun kini, dengan aplikasi
musically, dengan begitu mudah kita dapat melihat pelajar Islam kita menari, bercampur
lelaki dan perempuan sehingga ada yang membuat pertandingan tarian seperti panama
dance sehingga menjadi budaya biasa dalam masyarakat.

Walaupun begitu, sebagai seorang guru Islam, kita mampu melakukan sesuatu agar
masalah akhlak dikalangan pelajar kita tidak menjadi parah. Pelbagai anisiatif dapat kita
gunakan bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah akhlak terutamanya pelajar
beragama Islam. Apabila kita menyebut peranan sebagai guru Islam, maka kita tidak dapat
lari daripada pengaruh penghayatan ilmu agama Islam itu sendiri. Menurut kefahaman
agama Islam, guru mempunyai lima peranan yang berlainan. Peranan-peranan tersebut
dapat dilihat seperti berikut (Zaharah, 2005: 85):
1. Sebagai mu'allim.
Mu’allim bermaksud guru, guru yang berperanan sebagai penyampai ilmu, memberi
pengetahuan kepada pelajar. Imam al-Ghazali menyebut, tugas seorang guru untuk
mengangkat martabat seorang pelajar daripada taraf haiwan kepada taraf manusia
(Zaharah, 2005: 85).
2. Sebagai murabbi.
Murabbi membawa maksud pendidik. Pendidik dalam konteks Islam melibatkan
proses mendidik, memelihara, dan membentuk pelajar sehingga wujud perasaan
kasih sayang dan perasaan saling percaya-mempercayai.

2
3. Selaku mu'addib.
Mu’addib juga membawa maksud pendidik namun dengan kefahaman yang
berbezadengan murabbi. Mu’addib merupakan proses mendisiplinkan kedua-dua
aspek spiritual dan fizikal manusia yang melibatkan perbuatan, perkataan,
kepercayaan dan niat seseorang.
4. Sebagai mursyid.
Mursyid membawa maksud pemberi tunjuk yang mana guru berperanan sebagai
petunjuk kepada jalan hidayah kepada pelajar.
5. Sebagai da'i atau pendakwah.
Da’i membawa maksud penyeru, menyeru para pelajar kepada jalan kebaikan
dengan mengenengahkan konsep “amar ma’ruf dan nahi mungkar”.

Seterusnya, masa yang terbaik antara seorang guru dengan anak muridnya adalah ketika
waktu proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan berlaku. Semasa proses PDPc inilah guru
perlu memanfaatkan peluang sebaiknya dengan menerapkan nilai akhlak dalam proses
pembelajaran kerana waktu inilah minda pelajar sedang terbuka untuk menerima
pembelajaran.

Jika kita merenung sejenak melihat kejayaan umat Islam terdahulu menguasai dan melopori
pelbagai ilmu di bawah panji falsafah pendidikan Islam seperti al-Khindi dan al-Khawarizmi,
kita dapati sememangnya pendidikan akhlak yang berteraskan ajaran didikan agama Islam
memberi kesan yang besar dalam kejayaan pembentukan akhlak pelajar. Justeru, dalam
proses pembelajaran masa kini, guru agama Islam tidak dapat lari dari memainkan peranan
bagi menyampaikan pengetahuan tentang kepentingan akhlak kepada pelajar. Input serta
pengetahuan pelajar tentang akhlak inilah yang akan membawa kepada perubahan tingkah
laku sejajar dengan matlamat pendidikan untuk membawa perubahan tingkah laku pelajar
(Asmawati, 2007: 170).

Selain itu, guru turut berperanan sebagai contoh kepada pelajar yang disebut oleh Nabi
S.A.W sebagai “qhudwah hasanah” yang membawa maksud contoh yang baik. Sebagai
pelajar yang tercari-cari identiti diri mudah untuk meniru segala perbuatan orang yang
hampir dengannya. Di sini guru juga mampu memainkan peranan dengan memberi teladan
dan sikap yang baik untuk pedoman anak muridnya. Sememanya peranan role model tidak
dapat dinafikan lagi kepentingannya (Muhsien, 2014:40). Oleh yang demikian, amatlah
menjadi keperluan kepada guru Islam ketika ini untuk memainkan peranan mereka terutama
peranan yang merangkumi lima peranan guru yang telah dinyatakan sebelum ini.
(1006 Patah Perkataan)

3
BIBLIOGRAFI

Asmawati, Suhid. (2007). Pengajaran Adab & Akhlak Islam dalam Membangunkan Modal
Insan. Jurnal Pengajian Umum bil. 8. Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan.
Fakulti Pengajian Pendidikan. Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Fauziah Ibrahim & Norulhuda Sarnon & Khadijah Alavi. (2012). Memperkasakan
Pengetahuan Agama dalam Kalangan Remaja Bermasalah Tingkah Laku: Ke Arah
Pembentukan Akhlak Remaja Sejahtera. Journal of Social Sciences and Huminities
Volume 7, Number 1, 084-093. Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan. Universiti
Kebangsaan Malaysia. Bangi.
Khairi, Mohammad bin Othman. (2017). Permasalahan dan Cabaran Guru dalam
Membentuk Nilai Pelajar di Sekolah Menengah. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman
Shah Special Issue (2017). Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden.
Universiti Utara Malaysia. Sintok.
Muhsien, Abdul Bin Sualaiman. (2014). Peranan Guru Pendidikan Islam dalam
Pembentukan Akhlak Murid dari Aspek Hubungan Guru-Murid Berasaskan Abu Talib
Al-Makki. Ijazah Kedoktoran. Institut Pengajian Siswazah. Universiti Malaya. Kuala
Lumpur.
Zaharah, Hussin. (2005). Mendidik Generasi Berakhlak Mulia: Fokus Peranan Guru
Pendidikan Islam. Masalah Pendidikan 2005. Fakulti Pendidikan. Universiti Malaya.
Kuala Lumpur.

S-ar putea să vă placă și