Sunteți pe pagina 1din 6

1.

0 Pengenalan

Keputusan kajian Programme for International Student Assessment (PISA) 2009 telah
memeranjatkan juga menyedarkan banyak pihak bahawa sistem pendidikan Malaysia
berada dalam keadaan krisis apabila Malaysia mendapat kedudukan sepertiga terbawah
dalam kalangan 74 buah negara peserta. Pelajar Malaysia telah menunjukkan
peningkatan dalam ketiga-tiga domain dalam PISA 2015 berbanding PISA 2009 dan PISA
2012, namun ianya masih di bawah paras skor purata bagi negara-negara OECD
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016). Pencapaian pelajar Malaysia dalam kajian
standard prestasi antarabangsa yang lain iaitu Trends in International Mathematics and
Science Study (TIMSS) 2015 turut menunjukkan peningkatan berbanding penyertaan
sebelumnya namun ianya juga masih kurang memuaskan (Abdul, 2018).

Lebih teruk lagi, prestasi pelajar Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara jiran
seperti Thailand dan Singapura. Negara jiran, Vietnam juga jauh meninggalkan Malaysia
dan berjaya memasuki tangga 10 negara teratas dalam literasi sains setanding dengan
negara-negara maju seperti Jerman dalam PISA 2012 walaupun mempunyai ekonomi
yang jauh lebih mundur berbanding Malaysia (Zairil, 2014). Kerajaan Malaysia perlulah
mengambil inisiatif yang sepatutnya agar Malaysia mampu menjadi salah sebuah negara
teratas dalam kajian standard prestasi antarabangsa dan seterusnya melahirkan pelajar
yang berkualiti tinggi. Oleh itu, fokus dalam penulisan ini adalah untuk menganalisis impak
TIMSS dan PISA terhadap sistem pendidikan di Malaysia.

1
2.0 TIMSS dan PISA

TIMSS ialah kajian perbandingan antarabangsa yang dikendalikan oleh International


Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Kajian TIMSS berfokus
kepada pentaksiran Matematik dan Sains. Pentaksiran ini melibatkan penyertaan melebihi
50 buah negara dan dilaksanakan empat tahun sekali sejak tahun 1995. Malaysia mula
menyertai kajian ini pada kitaran 1999. Penyertaan Malaysia dalam TIMSS 2015 telah
membuktikan Malaysia mampu membaiki prestasi dan mencapai skor yang lebih baik
dengan adanya peningkatan skor Matematik dan Sains dalam setiap domain (KPM, 2016).
Antara negara yang turut menyertai TIMSS ialah Jepun, Kanada, Itali dan Oman.

PISA pula merupakan program pentaksiran dan kajian perbandingan antarabangsa


yang dianjurkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).
Program ini mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dan ke atas dalam Literasi
Saintifik, Literasi Bacaan dan Literasi Matematik. Pentaksiran PISA diadakan tiga tahun
sekali bermula tahun 2000. Malaysia mula mengambil bahagian dalam PISA pada tahun
2009 dan seterusnya pada tahun 2012 dan 2015. Pencapaian PISA 2015 amat
membanggakan dengan peningkatan skor dalam ketiga-tiga domain dan terdapat
peningkatan yang paling tinggi dalam skor Literasi Bacaan (KPM, 2016). Antara negara
yang menyertai PISA ialah Australia, Belgium, Jepun, Amerika Syarikat dan Sweden.

3.0 Implikasi TIMSS dan PISA terhadap Sistem Pendidikan di Malaysia

3.1 Meningkatkan standard kualiti sistem pendidikan di Malaysia

Jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura dalam pencapaian


TIMSS, Malaysia amat jauh ketinggalan (Martin et al., 2012). Begitu juga dengan
pencapaian Malaysia berbanding dengan Jepun dan Finland dalam PISA.
Penilaian seperti ini adalah penanda aras kepada sistem pendidikan di Malaysia
agar dapat memberi peluang kepada negara untuk menyiasat kelemahan dan
kekuatan pelajar dengan merujuk kepada pelbagai bidang pengetahuan dan
kemahiran kognitif (Martin & Mullis, 2006).

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencetuskan


perubahan yang komprehensif dan dinamik dalam sistem pendidikan negara yang
diterjemahkan melalui dokumen perancangan pendidikan jangka panjang Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 (Siti A’isyah, 2016).
Melalui PPPM, KPM mengubahsuai kurikulum yang sebelum ini kebanyakannya
hanya berdasarkan aspek pengetahuan semata-mata sekali gus melahirkan
pelajar yang berorientasikan peperiksaan kepada kurikulum yang menekankan

2
pengaplikasian pengetahuan pelajar dalam kehidupan seharian untuk melahirkan
pelajar yang berkualiti tinggi (Juani, 2016). Malah, KPM juga turut memberi
penekanan terhadap penyediaan institusi perguruan yang baik dan berkualiti
(Irwan, 2017). Transformasi pendidikan negara ini selaras dengan kehendak
pentaksiran dan kajian standard prestasi antarabangsa agar tahap dan kualiti
pendidikan negara selari dengan peredaran masa dan kehendak masa kini.

3.2 Perubahan dalam sistem pentaksiran

Perubahan drastik telah dilakukan oleh KPM dalam sistem pendidikan dengan
mewujudkan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). SPKK
menggantikan sistem lama yang berbentuk penilaian dalam peperiksaan semata-
mata dengan pentaksiran yang lebih holistik (Muhammad et.al., 2015). Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) di bawah SPPK merupakan sebuah pentaksiran yang
menyeluruh dalam menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor. PBS bukan
sahaja mentafsir bidang akademik malah melibatkan juga bidang bukan akademik
di mana ianya dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut garis panduan
yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Kedua-dua kategori
sama ada akademik mahupun bukan akademik memberi kepercayaan dan kuasa
autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran berbentuk formatif dan
sumatif yang dijalankan di sekolah (Asraf, 2013). Dengan kata lain, individu yang
mempunyai kebolehan, kemampuan dan potensi diri yang berbeza dapat ditafsir
dengan adil dan saksama.

Hal ini kerana, dalam kajian TIMSS dan PISA, sekolah dan murid yang terlibat
akan dipilih secara rawak tanpa mengira sekolah bandar mahupun luar bandar,
kelas pelajar cemerlang atau tidak (Abdul et.al., 2014). Maka, KPM berharap,
dengan wujudnya sistem pentaksiran yang holistik dan tidak hanya berbentuk
penilaian dalam peperiksaan, semua pelajar akan ditaksir secara menyeluruh dan
seterusnya mengubah keputusan standard prestasi antarabangsa yang akan
datang.

3.3 Perubahan dalam latihan bakal guru

Penyertaan Malaysia dalam program standard prestasi antarabangsa turut


menyedarkan kerajaan tentang kepentingan peranan guru dalam menyediakan
pendidikan yang berkualiti (Muhammad & Abd. Khalil, 2015). Pengalaman
daripada sistem sekolah berprestasi tinggi global menunjukkan prestasi pelajar
hanya boleh ditingkatkan dengan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan

3
pembelajaran di bilik darjah (Mohd, 2015). Oleh itu, kerajaan telah mengambil
pendekatan yang sistematik untuk meningkatkan kualiti guru baru.

Kerajaan telah melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan


kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij. Kempen ini
bertujuan untuk menarik siswazah cemerlang menyertai profesion keguruan sama
seperti profesion keguruan di Australia atau Singapura yang sentiasa menjadi
pilihan utama siswazah. Malah di Republik Korea dan Finland, kelayakan untuk
memohon program latihan perguruan hanya terhad kepada 10 peratus dan 15
peratus siswazah terbaik daripada setiap kohort sahaja. Kerajaan turut
mengukuhkan latihan perguruan melalui latihan praktikum dengan memanjangkan
tempoh latihan praktikum dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang
mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih
(Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2010). Hal ini selaras dengan sistem
persekolahan terbaik seperti di Finland dan New Zealand yang sentiasa
meningkatkan kualiti dan kuantiti pengalaman praktikum guru pelatih. Di samping
itu, kerajaan juga telah mengetatkan syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah
dan mempertimbangkan calon lulusan Unified Examination Certificate (UEC) dan
Sijil Menengah Agama (SMA) yang telah memiliki SPM sebagai bakal guru bahasa
Mandarin dan J-Qaf (Malaysiakini, 2010).

3.4 Perubahan dalam kaedah pengajaran guru

Kemahiran abad ke-21 merupakan kemahiran pembelajaran yang penting dan


sangat diperlukan oleh pelajar untuk berdaya saing pada abad ini (Ainun
et.al.,2017). Oleh itu, kemahiran ini perlu diterapkan oleh guru dengan
mengintegrasikan kaedah pengajaran yang merangkumi pembelajaran koperatif,
bilik darjah demokratik dan teknik motivasi yang bersesuaian (Rohani et.al., 2017).

Guru boleh menjalankan aktiviti berkumpulan yang didapati menepati ciri-ciri


pembelajaran koperatif. Hal ini kerana aktiviti kumpulan akan menyuntik kemahiran
sosial dan interpersonal dalam kalangan pelajar apabila mereka diberi peluang
untuk berkomunikasi dan mampu mengatasi perbezaan (Zakaria & Iksan, 2007).
Pendekatan bilik darjah demokratik pula akan memberikan kebebasan bersuara
dan kesamaan peluang kepada pelajar serta berlakunya perkongsian kuasa antara
guru dan pelajar (Rohani et.al., 2017). Guru perlu memainkan peranan dengan
mengajukan soalan terbuka untuk mengembangkan fikiran pelajar dan
menggalakkan respon yang berterusan daripada mereka di samping memberi
peluang yang sama rata kepada semua pelajar. Proses ini menunjukkan

4
berlakunya perkongsian kuasa antara guru dan pelajar. Dengan ini, guru telah
mendidik pelajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap
pembelajarannya.

Pembelajaran koperatif akan menjadi lebih berjaya apabila guru turut


mengamalkan ciri bilik darjah demokratik yang menekankan kesamaan peluang
kebebasan bersuara serta perkongsian kuasa antara guru dan pelajar. Aktiviti PdP
sebegini akan mampu meningkatkan motivasi dan keterlibatan pelajar di dalam
bilik darjah dan sekaligus membina kemahiran yang diperlukan bagi mendepani
cabaran abad ke-21.

3.5 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Format soalan PISA yang berbentuk teks yang panjang dan memerlukan
pelajar membuat interpretasi, refleksi dan penilaian berdasarkan kehidupan
sebenar telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor prestasi yang tidak
memuaskan yang ditunjukkan oleh pelajar Malaysia (Abdul et.al, 2014). Hal ini
kerana pelajar sering terdedah dengan soalan peperiksaan awam yang ringkas
dan lebih tertumpu kepada rajah dan jadual sahaja. Soalan KBAT yang ada juga
sering berulang-ulang dan mempunyai arahan yang sama setiap tahun (Lembaga
Peperiksaan Malaysia, 2013). Maka pelajar tidak perlu menggunakan kemahiran
berfikir aras tinggi untuk memberi jawapan kepada soalan yang dikemukakan.

Oleh itu, KBAT ditekankan dalam KSSR dan KSSM untuk memperkukuh dan
memperkasa kemahiran berfikir supaya pelajar tidak hanya menghafal tetapi
memahami ilmu yang dipelajari dan boleh berfikir dengan lebih mendalam,
membuat kesimpulan dan refleksi seterusnya mengaplikasikan pengetahuan
tersebut dalam situasi yang sebenar. Pelaksanaan KBAT di sekolah menggunakan
pendekatan yang menyeluruh dan sistematik serta mengandungi tiga elemen
utama iaitu kurikulum, pedagogi, dan pentaksiran. Aspek kurikulum telah
menerapkan unsur KBAT menerusi penulisan secara eksplisit dalam dokumen
standard kurikulum yang menekankan keupayaan pelajar mengaplikasi,
menganalisis, menilai dan mencipta (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2014).
Pedagogi yang berkesan pula perlu diaplikasikan dalam bilik darjah agar pelajar
boleh berfikir secara kritis dan kreatif, inovatif, berupaya menyelesaikan masalah
dalam kehidupan seharian. Pembelajaran berfokus kepada pelajar seperti inkuiri,
penyelesaian masalah berstruktur, projek, konstruktivisme, kontekstual dan kajian
masa depan merupakan teras dalam pembelajaran (Surif et al., 2016). Kerangka

5
pentaksiran yang mantap dapat mengetahui perkembangan dan pencapaian
pelajar dalam menyelesaikan soalan aras tinggi (Awang Ali et al., 2016).

4.0 Penutup

Penyertaan Malaysia dalam program standard prestasi antarabangsa sememangnya


telah mendatangkan banyak kebaikan kepada sistem pendidikan negara ini. Transformasi
pendidikan yang dilancarkan oleh kerajaan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2012-2025 yang telah memasuki gelombang kedua selepas gelombang
pertama berakhir pada tahun 2015 memperlihatkan kejayaan besar dalam bidang
pendidikan. Sekiranya usaha ini diteruskan dengan berkesan, adalah tidak mustahil bagi
Malaysia untuk menduduki tangga teratas dalam standard prestasi antarabangsa.
Diharapkan sasaran kerajaan untuk menghasilkan pelajar yang berdaya saing dan global
dapat dicapai dengan adanya sistem pendidikan yang mantap dan berkesan.

S-ar putea să vă placă și