Sunteți pe pagina 1din 18

1.

Pengenalan

Bahasa menjadi alat komunikasi yang penting dan utama bagi setiap manusia. Ia
merupakan alat pertuturan yang kompleks, tetapi teratur dan sistematik dengan penggunaan kod-
kod tertentu. Konsep asas yang paling penting dalam sesuatu bahasa ialah aspek bunyi. Aspek
kajian bunyi dalam bahasa diwakili oleh dua komponen utama dalam bidang linguistik, iaitu
fonetik dan fonologi.
Fonetik dan fonologi merupakan cabang daripada ilmu linguistik yang mengkaji, meneliti
dan menganalisis berbagai-bagai aspek dan selok-belok bunyi bahasa yang dihasilkan oleh
manusia dalam pertuturan. Fonetik mengkaji dan meneliti aspek bunyi bahasa dari segi cara
sebutan dan sifat-sifat akuastik, manakala ilmu fonologi pula meneliti, mengkaji dan
menganalisis bunyi-bunyi bahasa tertentu berdasarkan fungsi, susunan, hirarki dan strukturnya.

2. Definisi Fonetik Dan Fonologi Bahasa Melayu

Inderawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006), menjelaskan bahawa fonetik merupakan
kajian tentang bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia iaitu bunyi yang digunakan
sebagai alat komunikasi dalam pertuturan. Pengkajian bidang fonetik bunyi bahasa dapat
dikategorikan kepada tiga cabang iaitu artikulatori, auditori, dan akustik. Cabang fonetik pula
mengkaji bagaimana sesuatu bunyi bahasa dihasilkan, bagaimana sesuatu bunyi diklasifikasikan
dan bagaimana setiap bunyi yang dikeluarkan berbeza-beza antara bunyi lain. Di samping itu,
bidang fonetik adalah asas dan penting dalam kajian fonologi manakala bidang fonologi pula
menjadi input kepada kajian linguistik pada aras yang lebih tinggi, iaitu morfologi dan sintaksis.

Berdasarkan Bertil Malmberg, (1968), bidang fonetik didefinisikan sebagai pengkajian


bunyi-bunyi bahasa di mana beliau berpendapat bahawa fonetik memberi penekanan kepada
pelahiran bahasa dan bukan kepada kandungannya. Dapat diertikan bahawa unit-unit yang
digunakan dalam bahasa pertuturan dan komunikasi adalah terdiri daripada kumpulan-kumpulan
bunyi yang dapat dibezakan oleh organ telinga manusia.
Arbak Othman (1983), berpendapat bahawa fonetik merupakan kajian tentang bunyi-bunyi
ujar. Fonetik berupaya menemukan kebenaran-kebenaran umum dan memformulasikan hukum-
hukum umum tentang bunyi-bunyi itu dan pengucapannya, manakala sebagai kemahiran pula,
fonetik menggunapakai data deskriptif dasar daripada fonetik ilmiah bagi memberi kemungkinan
pengenalan dan pengucapan bunyi-bunyi ujar tersebut.

Menurut Dr. Lufti Abas (1985), bidang fonetik boleh diertikan sebagai salah satu ilmu yang
mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, sama ada bunyi manusia,
bukan bunyi bahasa, mahupun bunyi-bunyi marginal dan memberikan simbol fonetik untuk
setiap bunyi yang diujarkan.

Bidang fonetik sangat rumit dan bersifat teknikal. Daripada pelbagai definisi yang
diterangkan di atas, didapati bahawa para pengkaji fonetik menggunakan pelbagai istilah teknikal
sewaktu menerangkan sesuatu bunyi. Misalnya, pembahagian bunyi kepada bunyi-bunyi vokal,
konsonan dan diftong. Bunyi-bunyi tersebut diberi lambang yang diiktiraf pada peringkat
antarabangsa.

Menurut Abdullah Hassan (2006), beliau mendefinisikan fonologi sebagai satu bidang
bahasa dalam linguistik yang menyelidik dan mengkaji bunyi-bunyi bahasa berdasarkan fungsi.
Bunyi-bunyi tersebut dikeluarkan oleh organ-organ pada manusia. Beliau juga menyatakan
bahawa fonologi adalah sebahagian daripada linguisti deskriptif yang menerangkan tentang
bunyi-bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia.

Menurut pengkaji Paitoon (2006), fonologi memberi perhatian kajian terhadap beberapa
aspek. Antaranya ialah:

a. unsur bunyi
b. deretan bunyi
c. sistem struktur bunyi
d. bentuk-bentuk rumus atau peraturan bunyi
e. penerapan rumus
f. susunan penerapan rumus-rumus bunyi.

3. Alat-Alat Artikulasi Manusia.

Menurut Asmah Hj Omar,(1986) berpendapat bahawa bahasa yang digunakan oleh


manusia terhasil melalui penggunaan alat-alat ujaran yang terdapat dalam tubuh badan manusia
itu sendiri. Antaranya ialah bibir, lidah, lelangit dan pita suara. Ia juga dikenali sebagai alat
artikulasi.

Alat artikulasi merupakan organ-organ pada diri manusia yang membantu menghasilkan
bunyi bahasa. Ia juga dikenali sebagai alat yang menerbitkan atau mengeluarkan bunyi setelah
udara dari paru-paru dipam masuk ke dalam organ-organ yang terlibat. Tujuan perbuatan
sedemikian adalah untuk keperluan pernafasan, iaitu menyedut oksigen bagi membersihkan
darah. Selain itu, aliran udara juga digunakan untuk mengeluarkan bunyi bahasa. Kesemua
organ dalam sistem pernafasan dan organ sebuatan tercakup dalam ujaran bunyi bahasa ini.
Dengan adanya organ-organ ini dalam sistem aliran udara, maka bunyi dapat dihasilkan.

Rajah 1 Alat artikulasi


Rajah 1 di atas menujukkan alat-alat artikulasi yang terlibat dalam penghasilan bunyi. Bahagian-
bahagian ini secara langsung dan tidak langsung terlibat dalam penghasilan bunyi. Bahagian-
bahagian tersebut adalah seperti berikut:

1. Bibir atas 11. Tengah lidah


2. Bibir bawah 12. Belakang lidah
3. Gigi atas 13. Akar lidah
4. Gigi bawah 14. Epiglotis
5. Gusi 15. Pita suara
6. Lelangit keras 16. Rongga tekak
7. Lelangit lembut 17. Rongga Hidung
8. Anak tekak 18. Rongga mulut
9. Hujung lidah 19. Rahang
10. Hadapan lidah 20. Tenggorok

4. Fungsi Alat Artikulasi

Lidah

Lidah merupakan alat artikulasi yang paling mustahak dan juga paling aktif dalam penghasilan
dan pengeluaran bunyi bahasa. Lidah terbahagi kepada empat bahagian, iaitu hujung lidah,
tengah lidah, hadapan lidah, dan belakang lidah. Pembahagian ini membolehkan lidah
melakukan deskripsi terhadap pelbagai jenis penghasilan bunyi. Bahagian hadapan lidah, tengah
lidah dan belakang lidah amat penting dalam penghasilan dan pengeluaran bunyi-bunyi vokal,
iaitu bunyi vokal hadapan, bunyi vokal tengah dan bunyi vokal belakang. Hujung lidah juga
merupakan bahagian paling aktif di mana ia dapat digerakkan ke mana-mana bahagian mulut
untuk membuat penyekatan.
Gigi

Gigi memainkan peranan penting dalam penghasilan bunyi bahasa tetapi peranannya tidaklah
seaktif lidah. Kedudukannya adalah statik dan sentiasa digunakan sebagai penampan aliran udara
dalam penghasilan bunyi. Penampan aliran udara inilah yang menyokong penghasilan bunyi.

Bibir

Bibir ialah alat artikulasi yang terletak pada bahagian luar rongga mulut. Bibir terdiri daripada
otot-otot kenyal yang boleh dihamparkan dan dibundarkan. Bibir berfungsi mengeluarkan
pelbagai jenis bunyi. Bibir berperanan melakukan sekatan terhadap udara yang keluar daripada
rongga mulut.

Gusi

Gusi adalah salah satu bahagian yang embung dan menurun dari gigi ke bahagian dalam rongga
mulut. Organ ini digunakan sebagai daerah sebutan yang dibantu oleh bahagian hujung lidah
yang berfungsi membuat penyekatan.

Lelangit

Lelangit dapat dikategorikan kepada dua bahagian, iaitu lelangit keras dan lelangit
lembut. Lelangit lembut menganjur dari sempadan lelangit keras hingga ke akhir rongga mulut
manakala lelangit keras pula bermula dari sempadan gusi di bahagian hadapan atas rongga
mulut. Ia dan diturun naikkan untuk menutup atau membuka saluran rongga tekak terus ke
rongga hidung. Apabila ia dinaikkan, rongga mulut akan terbuka dan udara akan keluar melalui
rongga mulut dan apabila diturunkan, rongga mulut akan tertutup dan udara terpaksa keluar
melalui rongga hidung.

Rongga Hidung

Rongga hidung terletak di bahagian atas rongga mulut. Ia dipisahkan oleh lelangit. Rongga
hidung boleh dibuka atau ditutup dan ia bergantung kepada keadaan sama ada anak tekak dan
lelangit lembut dinaikkan atau pun tidak.
Pita Suara

Pita suara terletak dalam ruang tenggorok (halkum). Bahagian ini amat penting dalam
penghasilan bunyi. Proses pengeluaran suara berlaku dengan cara memperluas dan
mempersempit lubang yang terdapat di antara dua keping selaput nipis berkenaan.

Anak Tekak
Anak tekak pula terletak pada bahagian belakang rongga mulut dan berhampiran dengan lelangit
lembut. Bahagian ini bersambungan dengan lelangit lembut. Fungsinya adalah sebagai alat
pertuturan yang menentukan sama ada sesuatu bunyi yang hendak dikeluarkan itu sengau atau
pun tidak. Anak tekak juga boleh diturunnaikkan.

Rahang
Rahang merupakan bahagian penting dalam pembunyian vokal. Keadaan terbuka antara
bahagian atas dan bahagian bawah rahang sempit sewaktu membunyikan vokal (i) dan vocal (u)
tetapi ia terbuka luas ketika membunyikan vokal (a) dan vocal (e).

5. Penghasilan Bunyi-Bunyi Vokal Bahasa Oleh Alat-Alat Artikulasi

Vokal adalah bunyi oral, tetapi ada yang dinasalkan. Vokal merupakan bunyi bersuara.
Penghasilan bunyi vokal berlaku apabila udara keluar melalui rongga oral tanpa sebarang
sekatan. Sifat vokal ini ditentukan oleh kedudukan lidah dan juga keadaan bibir. Vokal dalam
bahasa Melayu terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:-

a. Vokal hadapan
b. Vokal tengah
c. Vokal belakang
Rajah 2 Kedudukan vokal dalam Bahasa Malaysia

Vokal Hadapan Luas (a)

Ia terletak jauh di bawah, mulut hampar dan terbuka luas. Apabila membunyikan vokal ini,
hadapan lidah perlu dinaikkan sedikit ke arah lelangit keras. Anak tekak dan lelangit lembut akan
menutup rongga hidung, pita suara bergetar. Vokal ini merupakan vokal paling banyak
digunakan dalam Bahasa Melayu. Contoh perkataan adalah seperti berikut

a. aduh (awal kata)


b. kapak (tengah kata)
c. mata (akhir kata)

Vokal (e)

Terdapat dua jenis bunyi vokal (e), iaitu vokal hadapan separuh sempit dan vokal hadapan
separuh luas.
Vokal Hadapan Separuh Sempit [e]

Ketika membunyikan vokal hadapan separuh sempit (e), hadapan lidah berada di tengah, lelangit
lembut dan anak tekak dinaikkan serta pita suara dirapatkan. Contoh perkataan adalah seperti
berikut:-

a. eja – (awal kata)


b. perak – (tengah kata)
c. sate - akhir kata

Vokal Hadapan Separuh Luas [Ə]

Bagi vokal hadapan separuh luas pula, hadapan lidah perlu dinaikkan separuh luas ke arah
lelangit keras, lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan sehingga menutup rongga hidung, pita
suara bergetar. Contoh perkataan adalah seperti berikut:-

a. enam – (awal kata)


b. menekan – (tengah kata)
Vokal hadapan sempit [i]

Untuk membunyikan vokal hadapan sempit (i), bahagian hadapan lidah perlu dinaikkan tinggi
tetapi ia tidak menyentuh pada lelangit keras, lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan sehingga
menutup rongga hidung, pita suara dirapatkan supaya udara keluar menggetarkan selaput suara.
Contoh perkataan adalah seperti berikut:-

a. ikan - awal kata


b. kilat - tengah kata
c. sepi - akhir kata

Vokal Belakang Separuh Sempit [o]

Vokal belakang separuh sempit (o) dibunyikan dengan belakang lidah dinaikkan separuh sempit
ke arah lelangit lembut. Kemudian lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan sehingga menutup
rongga hidung, pita suara digetarkan. Contoh perkataan adalah seperti berikut:-

a. oren – awal kata


b. jolok – tengah kata
c. tomato – akhir kata
Vokal Belakang Sempit [u]

Semasa membunyikan vokal belakang sempit (u), belakang lidah dinaikkan ke arah lelangit
lembut untuk menyempitkan rongga mulut, lelangit lembut dan anak tekak perlu dinaikkan, pita
suara bergetar. Contoh perkataan adalah seperti berikut:-

a. ubat – awal kata


b. bujur – tengah kata
c. baju – akhir kata

6. Penghasilan bunyi-bunyi konsonan bahasa oleh alat-alat artikulasi

Bunyi konsonan bahasa boleh dibahagikan kepada tujuh jenis, iaitu:-

a. Konsonan letupan
Konsonan letupan terjadi apabila bahagian lelangit lembut dinaikkan dan bibir pula
dirapatkan. Udara tersekat antara dua bibir dan dipaksa keluar kemudian. Sekiranya
mulut dibuka dengan cepat, maka bunyi [p] terhasil. Ini disebabkan pita suara tidak
bergetar di mana keadaan ini dinamakan letupan dua bibir tak bersuara. Jika pita suara
bergetar, maka terbitlah bunyi [b] iaitu letupan dua bibir bersuara. Udara disekat dengan
merapatkan kedua-dua bibir, hujung lidah menyentuh pada bahagian gusi, lelangit lembut
dinaikka. Apabila proses sekatan ini dilepaskan, maka terdengarlah bunyi [t] dengan
letupan gusi tak bersuara. Apabila pita suara digetarkan maka terjadilah bunyi letupan
gusi bersuara iaitu [d]. Bunyi letupan lelangit lembut tidak bersuara [k] untuk
menghasilkannya belakang lidah dirapatkan ke lelangit lembut untuk menyekat udara.
Anak tekak dan lelangit lembut pula dirapatkan ke rongga hidung. Apabila pita suara
dirapatkan, maka arus udara keluar melalui rongga mulut untuk menggetarkan pita suara.
Maka terbitlah bunyi [g]. Bunyi [c] pula terhasil apabila hadapan lidah dinaikkan rapat ke
bahagian lelangit keras menyekat arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan
ke belakang. Arus udara tidak menggetarkan pita suara tetapi udara perlu dilepaskan
dengan perlahan-lahan. Untuk menghasilkan konsonan [j] pula, iaitu letupan lelangit
lembut bersuara, proses yang sama diulang tetapi pita suara pula bergetar.

Rajah : Konsonan letupan [p], [b], [t], [d], [k], [g] dan [j]

b. Konsonon letusan
Bunyi [c] pula dihasilkan apabila hadapan lidah dinaikkan rapat ke lelangit keras untuk
membuat sekatan pada udara. Lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan ke dinding
rongga tekak untuk menyekat arus udara ke rongga hidung. Ketika ini pita suara
diregangkan, udara dilepaskan perlahan-lahan dan tidak menggetarkan pita suara. Untuk
menghasilkan konsonan [j] pula, pita suara digetarkan.

c. Konsonan geseran
Bunyi konsonan geseran dihasilkan dengan bahagian hadapan lidah dinaikkan ke gusi
untuk membuat sempitan pada arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan ke
rongga tekak bagi menyekat arus udara ke rongga hidung. Pita suara diregangkan tanpa
bergetar, maka terbit bunyi [s], iaitu bunyi geseran tidak bersuara. Apabila udara melalui
pita suara yang berada dalam keadaan renggang, jadi rongga mulut seperti semasa
mengeluarkan bunyi vokal, bunyi [h] pun terjadi, iaitu geseran glotis tidak bersuara.
d. Konsonan getaran
Bagi menghasilkan bunyi konsonan [r], hujung lidah diletakkan berhampiran dengan gusi
sehingga udara melalui antara lidah, gusi serta lidah bergetar, lelangit lembut pada masa
ini dinaikkan. Ini dinamakan getaran gusi bersuara.

e. Konsonan sisian

Bagi menghasilkan bunyi [l], maka hujung lidah dinaikkan ke gusi dan menyekat udara. Lelangit
lembut ditinggikan dan pita suara bergetar. Udara akan keluar di tepi-tepi lidah. Bunyi yang
dihasilkan dinamakan bunyi sisian gusi bersuara.
f. Konsonan sengauan (nasal)

Terdapat empat jenis bunyi nasal dalam Bahasa Melayu. Perbezaannya berlaku pada
daerah udara disekat yang berlaku pada bahagian rongga mulut. Pita suara digetarkan dan
lelangit lembut dinaikkan. Bagi menghasilkan bunyi [m], maka kedua-dua bibir perlu
dirapatkan. Bunyi yang terbit dinamakan sengauan dua bibir bersuara. Bunyi konsonan
[n] pula terhasil apabila pada hujung lidah dinaikkan ke gusi. Bunyi yang dihasilkan
dinamakan sengauan gusi bersuara. Bunyi konsonan [Л] pula dihasilkan apabila bahagian
tengah lidah dinaikkan ke lelangit keras. Bunyi yang dihasilkan dinamakan bunyi
sengauan keras bersuara. [ŋ] Belakang lidah dinaikkan ke lelangit lembut, bunyi yang
dihasilkan dipanggil bunyi sengauan lelangit lembut bersuara.

g. Separuh vokal

Untuk menghasilkan bunyi separuh vokal pula, didapati kedudukan lidah tidak tetap namun ia
bergerak membuat luncuran. Terdapat dua jenis separuh vokal iaitu bunyi konsonan [w], di mana
lidah pada awalnya seperti membunyikan konsonan [u]. Seterusnya bergerak pada vokal lain.
Bunyi ini dinamakan sebagai separuh vokal dua bibir bersuara. Bunyi konsonan [y] pula terbit
apabila kedudukan lidah seperti membunyikan vokal [i]. Seterusnya, bergerak kedudukan vokal
lain. Bunyi ini dinamakan separuh vokal lelangit keras bersuara.
7. Aplikasi Prinsip-Prinsip Fonetik Dan Fonologi Dalam Pengajaran Dan
Pembelajaran Bahasa Melayu.

Prinsip-prinsip fonetik dianggap sebagai salah satu kaedah pengajaran bahasa yang
saintifik. Ia juga dikenali sebagai kaedah lisan. Dengan menggunakan kaedah ini, guru-guru
Bahasa Melayu boleh memulakan pengajaran mereka dalam kelas dengan pelbagai aktiviti
bersama-sama murid. Antaranya ialah dengan menggunakan latihan mendengar, seterusnya
melakukan latihan sebutan mengikut susunan. Misalnya bunyi kepada perkataan, rangkai kata
dan akhirnya ayat.

Sistem fonetik memberi penekanan dan keutamaan kepada aspek sebutan dan bahasa
dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Kosa kata dan ayat yang diajar kepada murid-
murid perlu sesuai mengikut keperluan murid, peringkat umur dan latar belakang murid. Aplikasi
kaedah fonetik dalam PdPc memberi penekanan dan mendahulukan sebutan bunyi perkataan
yang hendak dipelajari. Guru perlu kerap membuat latihan bunyi untuk perkataan yang
mempunyai bunyi sama ada sama atau pun yang lain.

Dalam PdPc, para guru digalakkan memperkenalkan bunyi dasar b’,’r’,’j’ dan’d’ terlebih
dahulu kerana tiada perbezaan ketara dalam bahasa ini. Kanak-kanak cina mengalami kesukaran
dalam menyebut perkataan yang mempunyai huruf ‘r’ seperti perkataan ‘rumah, seratus,
rempah’. Mereka menyebut perkataan tersebut sebagai ‘lumah, selatus lempah’.

Menurut Hall, K. (2009), fonetik dan fonologi merupakan cabang dalam bidang linguistik
yang mengkaji cara-cara penghasilan bunyi dengan alat dan daerah artikulasi dalam pertuturan
dan komunikasi. Dalam konteks pendidikan, kedua-dua aspek ini memainkan peranan penting
supaya proses PdPc berjalan lancar dan lebih efektif.

Berdasarkan pengkaji Awang Sariyan (1985), ilmu fonik dan fonologi penting kepada
guru Bahasa Melayu kerana dapat membantu murid bertutur dan berkomunikasi dalam Bahasa
Melayu meggunakan bahasa baku. Murid-murid dapat mempelajari cara menyebut dan
melafazkan sesuatu perkataan dalam bahasa baku. Ini dapat mengurangkan penggunaan bahasa
dielek tempatan dalam pertuturan dan komunikasi seharian mereka. Tambahan pula, ini dapat
membantu murid menulis perkataan ayat atau apa sahaja dalam bahasa yang betul dan baku dan
bukannya dalam yang dipertuturkan dengan dielek tempatan.

Abdullah Hassan (2006), menjelaskan bidang fonetik dan fonologi membantu dalam
penguasaan bidang bahasa kanak-kanak. Guru Bahasa Melayu yang mempunyai pengetahuan
mendalam tentang bidang fonetik dan fonologi dapat membantu mendidik murid-murid pada
peringkat awal supaya mereka menguasai kemahiran membaca dan bertutur menggunakan
kaedah fonetik. Kaedah ini dapat membantu murid-murid terutama dalam peringkat prasekolah
membunyikan sukukata dan menggabungkan bunyi-bunyi bahasa menjadi perkataan dengan
betul dan tepat. Kaedah fonetik juga memberi penekanan terhadap hubungan huruf dengan bunyi
huruf tersebut tanpa mengetahui nama huruf.

Prinsip fonetik dan fonologi dalam PdPc juga bermula dengan pengenalan huruf vokal,
diikuti oleh huruf konsonan, pembentukan suku kata dan pembentukan perkataan yang
bermakna. Seiring dengan itu, guru Bahasa Melayu disarankan supaya menyediakan dan
menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai dan terkini. Ini dapat mempercepat murid
memahami dan menguasai kemahiran membunyikan sesuatu huruf dengan betul dan tepat.
Bahan bantu belajar yang berbentuk audion dan visual dapat dugunakan oleh guru Bahasa
Melayu dalam proses PdPc mereka. Ini dengan lebih cepat dapat membantu murid menguasai
bunyi huruf. Audio membantu murid mendengar dan menyebut sesuatu bunyi huruf dan
perkataan dengan betul manakala visual pula membantu murid melihat dan mempraktikkan
penggunaan alat-alat artikualsi dengan betul supaya bunyi huruf disebut dan dilafaz dengan betul
dan tepat.

Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain, 1982 berpendapat bidang fonetik dan fonologi
dapat mengatasi masalah bahasa berkaitan dengan sebutan terutama kepada murid-murid yang
menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Oleh kerana bahasa ibunda mereka tidak
mempunyai fonem-fonem segmental yang terdapat dalam bahasa kedua, maka murid mengalami
kesukaran untuk membunyikan fonem-fonem tersebut.
Dalam pengajaran fonetik dan fonologi, para guru Bahasa Malaysia disarankan untuk
mendahulukan pengajaran kosa kata dan perbendaharaan kata. Semasa mengajar sesuatu
perkataan, guru perlu mengutarakan atau mendahulukan perkataan yang serupa bunyi, misalnya
‘coklat dengan chocolate’, ‘beg dengan bag’, ‘kiub dan cube’ dan sebagainya. Oleh itu, guru
Bahasa Malaysia digalakkan mendidik struktur ayat yang ada persamaan supaya murid dapat
membezakan bunyi huruf yang dilafazkan.

Didapati bahawa kebanyakan murid pada masa sekarang lebih suka membaca
menggunakan sistem bacaan secara fonetik kersana ia memberi fokus kepada bunyi huruf
berkenaan. Kaedah ini dikatakan amat berkesan dan dibuktikan cara otak manusia membaca
kerana otak manusia mempunyai kebolehan untuk mengenal kod atau lambang yang mempunyai
hubungan antara bunyi dan lambang yang dilihat.

Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan gambar ilustrasi dalam PdPc mereka
untuk menarik minat murid. Murid-murid perlu mengetahui setiap huruf mempunyai hubungan
dengan bunyinya. Kemudian, membina suku kata dan digabungkan suku kata menjadi
perkataan. Akhirnya murid dibimbing membina ayat dan diberi latihan membaca ayat-ayat
mudah menggunakan perkataan yang telah dipelajari.
8. Rumusan

Hasil perbincangan mencerminkan bahawa fonetik dan fonologi merupakan dua aspek
utama dalam cabang bidang linguistik yang penting dalam menghuraikan aspek bunyi dalam
sesuatu bahasa. Tambahan pula, ia juga menerangkan bagaimana sesuatu bunyi dihasilkan
dengan bantuan alat dan daerah artikulasi bagi tujuan pertuturan dan komunikasi. Manakala
bahasa merupakan satu sifat yang dianggap sebagai simbol bunyi. Bahagian tubuh manusia
seperti bibir, gusi, anak tekak gigi lidah dan tulang rahang bertindak sebagai alat artikulasi yang
membantu manusia berbahasa menggunakan pelbagai bunyi.

Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua bidang fonetik dan fonologi memainkan
peranan penting dalam pertuturan seharian. Kesimpulannya, disarankan dan digalakkan semua
guru Bahasa Malaysia mendalami dan menguasai kedua-dua bidang ini supaya proses
pembelajaran dan pemudahcaraan dalam kelas berlaku dengan berkesan dan berifektif.

(2,993 patah perkataan)


Rujukan

Abdullah Hassan (2006), Linguistik Am Siri Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Malaysia,
Selangor, Pts Professional Publishing Sdn. Bhd.

Abdullah Hassan (2009), Linguistik Am, Siri Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu,
Academia, Percetakan Semula

Arbak Othman (1983), Permulaan Ilmu Linguistik, Sarjana Enterprise

Asmah Haji Omar. 2008, Bahasa Dan Alam Pemikiran Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Awang Sariyan (1985), Dari Kata Ke Ideologi: Persoalan Stilistik Melayu, Fajar Bakti, The
University Of California

Bertil Malmberg (1968), Manual Of Phonetics, Editon 2, Revised, North-Holland Publ.Comp.,

Hall, K. (2009). Literacy Policy And Policy Literacy: A Tale Of Phonics In Early Reading In
England. In Soler, J. (Eds.), Understanding Difficulties In Literacy Development: Issues And
Concept, 151-160. London: Sage Publication

Inderawati Zahid Dan Mardian Shah Omar (2006), Fonetik Dan Fonologi, Siri Pengajaran Dan
Pembelajaran Bahasa Melayu, Akademia

Lutfi Abas (2008), Kritikan Karya Sastera Sebagai Karya Seni, Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Kementerian Pendidikan Malaysia

Paitoon.M Chaiyanara (2006), Pengenalan Fonetik Dan Fonologi, Dewan Bahasa Dan Pustaka

Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain, 1982, Ilmu Fonetik Dan Linguistic, Agensi Penerbitan
Nusantara, 1982

Siti Hajar Abdul Aziz (20110), Pragmatik Linguistic, University Of California, Berkeley

S-ar putea să vă placă și