Sunteți pe pagina 1din 10

PENGENALAN

Perkembangan merupakan satu proses yang berterusan dari peringkat lahir hingga
peringkat kematangan. Perkembangan manusia merupakan paten perubahan fizikal, kognitif
dan sosio-emosi sepanjang pusingan hayat manusia. Manusia secara fitrahnya berkembang
seperti bulan sabit: bersifat lemah pada usia awalnya, semakin membesar dan kuat pada usia
pertengahan dan menjadi lemah kembali pada usia emas. Justeru, perkembangan manusia
meliputi dari saat terbentuknya janin manusia sehingga menjadi seorang bayi dan seterusnya
berkembang menjadi seorang kanak-kanak, remaja, dewasa dan berakhir dengan detik
kematian.

Menurut Diamond (2013), perkembangan adalah sebagai perubahan dalam corak biologi,
kognitif dan sosioemosi individu yang bermula daripada peringkat persenyawaan sehingga
akhir hayat. Perkembangan manusia boleh dibahagikan kepada perkembangan fizikal,
perkembangan emosi, perkembangan sosial dan perkembangan kognitif. Perkembangan
fizikal ialah kemahiran menggunakan anggota badan. Manakala, perkembangan kognitif ialah
kemahiran membaca, menulis, mengira dan berfikir.

Perkembangan emosi pula ditakrifkan sebagai kemahiran mengurus emosi dan


perkembangan sosial pula kemahiran menjalinkan perhubungan sosial (Mok Soon Sang,
2009). Menurut Santrock (2014), emosi merupakan perasaan yang merangkumi gabungan
rangsangan fisiologi dan tingkah laku yang nyata. Jelasnya, emosi melibatkan perasaan,
gerak hati, tindak balas fisiologi dan pernyataan emosi.

Perkembangan soial pula merujuk kepada kebolehan seseorang individu untuk berinteraksi
dan menjalin hubungan dengan orang lain hasil daripada perkembangan emosi yang positif.
Perkembangan sosioemosi ialah keupayaan kanak-kanak untuk berinteraksi serta
memberikan tindak balas terhadap sesuatu situasi. Perkembangan sosioemosi ini
membolehkan kanak-kanak mengurus dan memahami emosi sendiri, membina kemahiran
sosial dan membina keyakinan untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian.

Personaliti berasal daripada perkataan Latin, iaitu pesona yang bermaksud topeng yang kita
pakai. Menurut Allport (1961), personaliti sebagai organisasi dinamik sistem psikofizikal dalam
diri seseorang yang membentuk tingkah laku dan pemikirannya. Menurut Child (1968), beliau
menegaskan tentang unsur kestabilan personaliti boleh menyebabkan seseorang bertingkah
laku secara konsisten sepanjang masa dalam situasi yang berbeza.

Oleh itu, setiap individu mesti mempunyai perkembangan yang tersendiri dari segi emosi dan
personaliti.

1
SITUASI TUGASAN

Dalam tugasan ini, saya akan membincangkan satu situasi yang berkaitan dengan
seorang pelajar bernama Alia. Situasi Alia adalah seperti berikut:

“Alia merupakan seorang murid yang berumur 9 tahun. Dia berasal daripada
keluarga yang miskin. Hal ini menyebabkan dirinya selalu disisihkan oleh
rakan-rakan yang lain. Dia berasa sangat sedih akan keadaan dirinya itu.
Sejak kebelakangan ini, Alia sering mengasingkan diri, menjadi pendiam dan
mudah marah. Keadaan ini semakin membimbangkan hingga menyebabkan
dia selalu ponteng sekolah.”

PRINSIP-PRINSIP PERKEMBANGAN MANUSIA

Dalam perkembangan kanak-kanak, setiap perubahan fizikal, kognitif dan emosi


berlaku kepada kanak-kanak kerana melibatkan proses pertumbuhan dan perkembangan
individu. Terdapat lapan prinsip asas dalam pertumbuhan dan perkembangan fizikal kanak-
kanak, iaitu arah tertentu, susun atur perkembangan yang sama, perkembangan secara
menyeluruh, perkembangan berterusan, kadar kecepatan anggota badan yang berbeza-beza,
perkembangan anggota-anggota badan saling mempengaruhi, corak perkembangan antara
individu berbeza-beza dan perkembangan adalah secara peringkat-peringkat.

Berdasarkan situasi Alia di atas, terdapat beberapa prinsip-prinsip perkembangan manusia


yang boleh mempengaruhi tingkah laku Alia. Yang pertamanya ialah kadar perkembangan
manusia yang berbeza-beza. Menurut Faridah Nazir (2014), kanak-kanak yang mempunyai
usia yang sama boleh mempunyai tingkah laku dan perkembangan emosi yang berbeza-beza.
Dalam situasi Alia, dia mungkin mempunyai kadar perkembangan emosi yang lebih kritif
berbanding dengan rakan-rakannya kerana dia sentiasa berada dalam situasi yang agak
tertekan dan juga beliau berasal dari keluarga yang miskin serta mempunyai emosi yang
berlainan.

Seterusnya, keadaan Alia juga dipengaruhi oleh prinsip perkembangan manusia yang
berterusan. Individu pada tahap ini akan membina dan mengumpul pengetahuan yang
diperoleh dan dialami sepanjang kehidupan secara beransur-ansur bermula dari peringkat
bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga lanjut usia. Dalam keadaan keluarga yang

2
miskin mungkin menyebabkan Alia sentiasa berada dalam keadaan yang tertekan dari segi
keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan dan kasih sayang sejak lahir hingga 9
tahun. Alia juga mungkin membina dan mengumpul pengetahuan dan pengalaman yang agak
pahit yang boleh menyebabkannya menunjukkan perangai seperti yang diterangkan dalam
situasi di atas.

Selain apa yang diterangkan di atas, seorang ahli psikologi bernama Erik Erikson
menerangkan terdapat beberapa prinsip yang mendorong perkembangan diri seseorang.
Mengikut teori Erik Erikson, beliau berpendapat bahawa setiap tahap mempunyai konflik dan
konflik ini mesti diatasi supaya individu dapat berfungsi dengan baik dalam tahap berikutnya.
Dalam situasi Alia, dia menghadapi konflik apabila dia disisihkan oleh rakan-rakannya oleh
kerana disebabkan dia berasal daripada keluarga yang miskin. Walaupun Alia ingin untuk
berinteraksi dengan kawan-kawannya, tetapi kawan-kawannya menolak keinginan Alia untuk
berinteraksi dengannya. Hal ini menyebabkan Alia mengasingkan diri daripada semua orang
dan menjadi pendiam kerana perasaan rendah diri. Konflik Alia mungkin boleh diatasi
sekiranya guru membantu Alia dan rakan-rakannya bekerja kumpulan yang sama supaya
rakan-rakannya belajar berinteraksi dengan Alia.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN MANUSIA

Proses perkembangan manusia dipengaruhi oleh dua faktor yang menjadikan setiap
manusia mempunyai perwatakan dan personaliti yang berbeza antara seorang individu
dengan individu yang lain sama ada dari segi fizikal, kognitif, emosi dan sosial (Faridah, 2014).

Dalam situasi Alia di atas, terdapat beberapa faktor perkembangan manusia yang
mempengaruhi tingkah laku Alia. Menurut Santrock (2014), faktor persekitaran yang
mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak terbahagi kepada dua, iaitu
faktor persekitaran biologi (pemakanan dan nutrisi, dadah, perubatan dan penjagaan
kesihatan) dan faktor persekitaran sosial (keluarga, rakan sebaya, sekolah, masyarakat,
budaya dan media). Menurut Siti Nor (2008), pengaruh persekitaran terhasil sama ada melalui
interaksi secara langsung atau tidak langsung individu dengan agen sosialisasi atau ideologi
budaya.

Dalam situasi Alia, faktor yang mempengaruhi tingkah laku Alia ialah faktor persekitaran
sosial. Disebabkan Alia berasal daripada keluarga yang miskin, dia selalu disisihkan oleh
rakan-rakannya dan menyebabkan dia suka mengasingkan diri daripada semua orang yang
berada sekelilingnya. Kemungkinan besar Alia dibesarkan dalam persekitaran yang tidak baik.
Alia mungkin kurang diberi perhatian sejak kecil lagi. Kelatar belakangan Alia telah memberi

3
impak yang besar kepada Alia sehingga dia menjadi seorang yang pendiam dan tidak suka
bergaul dengan orang lain. Persekitaran keluarga memberikan implikasi yang penting dalam
menentukan perkembangan kognitif dan sosioemosi yang sihat.

Faktor seterusnya yang dipengaruhi oleh Alia ialah faktor persekitaran sekolah. Sekolah
merupakan salah satu agen sosialisasi yang penting dalam perkembangan kanak-kanak.
Sesebuah sekolah yang dapat menyediakan suasana pembelajaran yang selesa akan dapat
membantu perkembangan sosioemosi kanak-kanak dengan lebih positif. Dalam situasi Alia,
suasana sekolah tidak mempedulikan keadaan Alia yang selalu mengasingkan diri daripada
semua orang. Guru juga tidak memberi perhatian kepada Alia walaupun mereka tahu Alia
suka mengasingkan diri dan pendiam. Seorang guru mestilah mengambil berat tentang
pelajar-pelajar mereka sekiranya para pelajar menunjukan personaliti yang kurang baik dalam
kelas.

 Teori Erik Erikson

Teori ini telah diperkenalkan oleh Erik Erikson. Dalam teori ini, beliau telah
menekankan kepentingan hubungan sosial antara kanak-kanak dengan individu-individu yang
berada di persekitaran mereka. Teori ini juga mencadangkan bahawa individu perlu
berhadapan dengan pelbagai konflik perkembangan sosioemosi kehidupan mereka. Antara
konflik-konflik yang diterangkan oleh Erik Erikson ialah :

 Peringkat 1 : percaya lawan tidak percaya


 Peringkat 2 : Autonomi lawan malu atau sangsi
 Peringkat 3 : Inisiatif lawan bersalah
 Peringkat 4 : Kecekapan lawan rasa rendah diri
 Peringkat 5 : Identiti lawan kekeliruan peranan
 Peringkat 6 : Intim lawan pengasingan
 Peringkat 7 : Generativiti lawan stagnasi
 Peringkat 8 : Kesepaduan lawan putus asa

Merujuk kepada teori Erik Erikson di atas, situasi Alia boleh dikatakan bahawa Alia berada
pada tahap perkembangan sosioemosi peringkat keempat iaitu kecekapan lawan rasa rendah
diri di mana beliau masih berada dalam konflik emosi. Alia menghadapi konflik emosi apabila
mengasingkan diri daripada semua orang. Hal ini kerana Alia berasal dari keluarga yang
miskin dan perkara ini membuatkan rakan-rakannya menyisihkan Alia. Alia akan ingin
membentuk nilai kendiri yang kuat melalui berinteraksi ataupun bersosialisasi dengan rakan-
rakannya tetapi rakan-rakannya menolak untuk berinteraksi dengan Alia dan juga turut

4
menyisihkan Alia. Hal ini menyebabkan keinginan Alia untuk berinteraksi dengan rakan-
rakannya gagal dan membawa kepada rasa rendah diri atau tiada keupayaan dalam diri Alia.

Menurut Erik Erikson, kanak-kanak yang tidak mencapai keinginan mereka akan selalu
mudah marah terhadap orang lain. Dalam situasi Alia, beliau tidak dapat mencapai keinginan
untuk berinteraksi dengan rakan-rakannya. Keadaan ini membolehkan dia menjadi seorang
yang mudah marah. Emosi marah tidak harus disembunyikan, tetapi harus dilepaskan dengan
cara yang berpatutan. Dalam keadaan Alia, Alia suka mendiamkan diri dalam kelas untuk
melepaskan marahnya dengan cara yang betul. Keadaan ini juga semakin membimbangkan
hingga menyebabkan Alia selalu ponteng sekolah bagi mengatasi emosi yang dihadapinya.

 Teori Personaliti Sigmund Freud

Sigmund Freud (1856-1939) merupakan ahli psikologi yang terkenal dengan teori
psikodinamiknya. Beliau mengumpamakan minda manusia sebagai ketulan ais yang besar
dalam lautan. Dalam teori psikoanalisis, Sigmund Freud membahagikan personality manusia
kepada tiga tahap iaitu id, ego dan superego. Id merupakan sistem bawah sedar personaliti
yang bertindak berdasarkan naluri hidup dan mati menggunakan prinsip keseronokan. Ego
pula akan bertindak secara am pada sistem sedar personaliti dan beroperasi mengikut prinsip
realiti. Manakala superego ialah sistem moral personaliti yang terdiri daripada gerak hati
dalam ego ideal.

Dalam situasi Alia, personaliti Alia dikategorikan dalam tahap id. Hal ini demikian Alia tidak
dapat mengawal id. Dalam keadaan Alia, dia terlalu mengikut perasaannya kerana dia selalu
mengasingkan diri yang menyebabkannya sehingga dia ponteng sekolah dan tidak
melibatkan diri dalam apa jua akitiviti yang diadakan di sekolah. Ini kerana dia ingin
mengurangkan emosi marahnya apabila dia selalu disisihkan oleh rakan-rakannya. Personaliti
ego mula kurang memunculkan diri dalam diri Alia. Alia hanya mementingkan diri sendirinya
yang membuatkannya memonteng sekolah sesuka hati dan tidak mematuhi peraturan
sekolah.

 Teori Personaliti Carl Jung

Carl Jung (1875-1961) ialah seorang pakar psikiatri dari Sweden yang pernah belajar
dan bekerjasama dengan Sigmund Freud untuk mengembangkan penyelidikan tentang teori
psikodinamik. Jung berpendapat bahawa seseorang yang mempunyai personaliti yang sihat
telah mencapai keseimbangan antara tahap sedar dengan tahap tidak sedar; iaitu antara
aspek luaran dan dalaman. Beliau juga menerangkan bahawa aspek psikologikal manusia
merupakan jenis sikap am yang wujud secara berpasangan dan secara berlawanan, iaitu

5
ekstrovert dan introvert. Ekstrovert memberikan fokus kepada kehidupan sosialnya dan dunia
luaran tetapi introvert pula memberikan lebih fokus kepada pemikiran dan perasaan diri.

Dalam situasi Alia, dia berada dalam kategori introvert. Hal ini demikian kerana seseorang
yang dikatakan introvert akan sentiasa menyimpan perasaan dan emosinya dalam situasi
nyata. Begitu juga Alia, dia sentiasa menyimpan perasaan dan emosinya dalam dirinya dan
tidak meluakan kepada orang lain. Dalam interaksi sosial, Alia tidak banyak cakap dan banyak
masanya diluangkan untuk duduk bersendirian di dunia lain. Umumnya, orang introvert ini
mempunyai sikap yang serius, sifat pendiam dan pemalu, tidak mempunyai cita yang tinggi,
jarang mengambil inisiatif tetapi suka kepada sistem kehidupan yang teratur. Alia seorang
yang pendiam kerana dia kurang mengambil inisiatif untuk berinteraksi dengan orang lain dan
dia menganggap dirinya akan selalu ditolak oleh orang lain. Dalam keadaan ini, Alia perlu
mengambil insiatif untuk berubah dirinya daripada introvert kepada ambivert.

 Teori Personaliti Abraham Maslow

Maslow (1908-1970) merupakan pelapor yang mengetengahkan konsep


penyempurnaan kendiri (self-actualization) dalam kajian psikologi humanistic. Menurut
Maslow (1954), elemen sempurna kendiri bukan sekadar keupayaan manusia, ia merupakan
keperluan manusia. Beliau turut mengaitkan perkembangan personality dengan motivasi
untuk memenuhi keperluan. Keperluan-keperluan adalah mengikut hierarki, iaitu keperluan
asas perlu dipenuhi sebelum keperluan yang lebih tinggi dapat dicapai. Dalam teori ini,
Maslow membahagikan keperluan manusia kepada lima tahap utama dan tahap-tahap ini
mempunyai kepentingan tersendiri.

Rajah 1 menunjukkan hierarki Maslow

6
Teori Maslow juga dikaitkan dengan situasi Alia. Dalam hierarki tahap yang paling penting
ialah fisiologi ataupun keperluan asas. Dalam situasi Alia, berkemungkinan besar Alia
menghadapi kekurangan keperluan asas dari segi pemakanan, pemakaian dan lain-lain lagi.
Hal ini kerana Alia berasal daripada keluarga yang miskin dan mungkin keluarganya tidak
dapat menampung keperluan asas. Kemungkinan salah satu faktor Alia selalu disisihkan oleh
rakan-rakannya adalah Alia memakai baju yang lama ataupun kasut yang koyak ke sekolah.
Alia juga berasa rendah diri apabila rakan-rakannya memakai baju yang baru dan kasut yang
baru. Keadaan ini membuatkan Alia sentiasa berasa tidak suka untuk datang ke sekolah
dengan berketrampilan yang tidak begitu kemas. Ini menyebabkan Alia selalu ponteng ke
sekolah. Selain itu, Alia mungkin tidak dapat makanan yang berzat untuk memenuhi
kelaparannya. Hal ini juga disebabkan Alia berasal dari keluarga yang miskin.

Seterusnya, Maslow mengatakan bahawa kasih sayang adalah penting bagi setiap individu.
Setiap individu akan berharap mereka diberikan dengan kasih sayang sepenuhnya. Interaksi
dan keakraban yang wujud antara bayi dengan ibu memainkan peranan signifikan dalam
pembentukan personaliti anak-anak mereka. Jika kita lihat Alia yang berasal daripada kelurga
miskin mungkin kekurangan kasih sayang dan asuhan kerana kedua-dua ibu bapanya
sentiasa sibuk mencari rezeki untuk menampung keperluan keluarga. Ini menyebabkan ibu
bapa Alia tidak ada masa untuk mengambil berat dan memberi kasih sayang yang
sepenuhnya kepada Alia. Apabila seseorang itu mendapat kasih sayang yang kurang
daripada ibu bapa, individu itu akan mencari kasih sayang daripada orang lain. Begitu juga
dengan keadaan Alia yang tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya daripada kedua-
dua ibu bapannya menyebabkan dia mencari kasih sayang daripada rakan-rakannya. Malah,
rakan-rakan pun menyisihkan Alia. Hal ini yang membuatkan Alia mengasingkan diri, menjadi
pendiam dan ponteng sekolah.

Selain itu, Maslow juga menerangkan tentang keperluan harga diri dalam hierarkinya.
Manusia perlu berasa gembira tentang dirinya dan percaya bahawa orang lain turut
mempunyai tanggapan positif terhadap diri mereka. Dalam situasi Alia, dia tidak mempunyai
keyakinan diri terhadap diri sendiri. Dia sentiasa merendah diri dan juga beranggap dia dirinya
tidak boleh berjaya dalam kehidupan. Hal ini menyebabkan dia sentiasa mengasingkan diri,
mudah marah dan pendiam. Akibatnya Alia sering ponteng ke sekolah.

7
CADANGAN- CADANGAN UNTUK MENGATASI MASALAH ALIA

Bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh Alia, pelbagai pihak diberikan
tanggungjawab untuk mengatasi masalah emosi Alia. Pertamanya, ibu bapa perlu
mencurahkan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka. Sejauh mana
curahan kasih sayang, penggunaan masa berkualiti dan gaya kepemimpinan ibu bapa dalam
mendisiplinkan anak memberi kesan kepada ikatan kekeluargaan, pertautan dan
perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa Alia sepatutnya memberi kasih sayang yang
secukupnya kepada Alia supaya tidak berasa tertekan dan dapat berkongsi masalah yang
dihadapinya kepada ibu bapanya.

Selain itu, aktiviti kumpulan memberi banyak peluang kepada murid-murid berinteraksi antara
satu sama lain. Oleh itu, dalam situasi Alia, guru harus berikhtiar merancang dan
menguruskan banyak aktiviti kumpulan untuk membolehkan Alia menjalankan aktiviti
pengayaan, aktiviti pemulihan, lakonan, sesi buzz, permainan, pertandingan atau kerja projek.
Guru boleh menjadikan Alia sebagai ketua kumpulan supaya Alia tidak berasa dirinya
disisihkan oleh rakan-rakannya.

Seterusnya, bagi murid yang mempunyai masalah peribadi seperti pendiam, penakut atau
pemalu, guru harus mengadakan sesi kaunseling untuk membantu mereka mengatasi
masalah peribadi, dan seterusnya menggalakkan mereka menyertai aktiviti pembelajaran
bersama dengan murid-murid yang lain. Dalam situasi Alia, guru harus memberikan
kaunseling dan bertanya masalah mereka serta menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Guru harus juga mendorong murid-murid normal supaya mereka dapat menerima murid-murid
bermasalah.

Tambahan pula, mengikut teori behaviourisme, guru-guru perlu memberi peneguhan


positif dalam bentuk seperti pujian, motivasi, hadiah, isyarat tangan, tepuk tangan dan
senyuman semasa menjalankan pembelajaran dan pengajaran. Hal ini dapat mengeratkan
hubungan sosial antara guru dengan pelajar. Dalam situasi Alia, sekiranya Alia menjawab
soalan yang diberikan oleh gurunya dengan betul walaupun terdapat satu dua kesalahan,
guru perle memberi pujian kepada Alia bagi mengembirakan Alia. Hal ini akan menyebabkan
Alia berusaha lagi untuk membuat soalan dengan jawapan yang semua betul. Dengan ini juga
Alia akan berasa dirinya tidak disisihkan oleh guru-guru. Pelaksanaan teori behaviourisme
amat berkesan dalam situasi Alia.

8
KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, setiap manusia akan mengalami perubahan terhadap


perkembangan dari aspek fizikal, kognitif, sosial dan emosi. Ibu bapa, guru dan masyarakat
harus memahami dan peka terhadap perkembangan kanak-kanak dalam mewujudkan
interaksi sosial dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Dalam situasi Alia,
dia mungkin tidak akan menjadi pendiam dan pemarah sekiranya ibu bapanya dan gurunya
memahami masalah Alia dan berusaha untuk menyelesaikannya. Dalam perkembangan
kanak-kanak, setiap kanak-kanak wajar disayangi, dibimbimg untuk menghargai dan
menerima dirinya dari semua aspek, iaitu fizikal, mental, emosi dan sosial. Sekiranya ibu bapa
Alia mencurahkan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anaknya, mereka dapat
memahami perasaan Alia dan Alia juga akan berkongsi segala konflik yang dihadapinya
dengan ibu bapanya.

9
RUJUKAN

Allport, G. W. (1961). Pattern and Growth in Personality. New York: Holt, Rinehart &
Winston.

Atifah Ruzana Abd Wahab. (28.9.2015). Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Kanak-
kanak. (Dicapai pada 30.8.2016) http://www.slideshare.net/eepapoppins/edup3023-
perkembangan-kanakkanak-faktor-yang-mempengaruhi-perkembangan-kanakkanak

Child, I. L. (1968). Personality in Culture. In E. Borgatta, & W. W. Lambert (Eds.), Handbook


of Personality Theory and Research (pp. 80-101). Chicago: Rand McNally.

Diamond, A. (2013). Executive Functioning, Annual Review of Psychology, Vol. 64. Pao Alto,
California: Annual Reviews.

Faridah Nazir, Norhiza Mohd Salleh & Zairinah Mohd Shukur (2014). Perkembangan Kanak-
kanak. Puchong. Selangor: Penerbit Multimedia.

Jess Feist & Gregory J.Feist. (2008). Theories of personality. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
www.informasitips.com/teori-tentang-psikososial. (12.4.2013). (Dicapai pada
30.8.2016)

Mok Soon Sang (2009). Perkembangan Kanak-kanak. Selangor: Penerbitan Multimedia.

Santrock, J. W. (2014). Child Development. New York: McGraw Hill.

Siti Nor Yaacob (2008). Perkembangan Remaja. Dalam Rozumah Baharudin & Rahimah
Ibrahim (pnyt). Keluarga, Kanak-kanak dan Remaja. Selangor: Penerbit Universiti
Putra Malaysia

Maslow, A. H. (1954). Motivation and Personality. New York: Harper.

10

S-ar putea să vă placă și