Sunteți pe pagina 1din 4

TUGASAN 1-ESEI AKADEMIK

1.0. PENDAHULUAN

Bilik darjah ialah tempat di mana proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlaku.
Dalam sesebuah bilik darjah yang mempunyai kepelbagaian sosiobudaya, guru perlu
membina persekitaran bilik darjah yang penyayang, menyokong serta inklusif bagi
membolehkan murid pelbagai budaya ini berasa selesa untuk belajar dan sudi menerima
perbezaan dalam persamaan antara mereka. Persekitaran bilik darjah yang kondusif dan ceria
dapat menggalakkan aktiviti intelektual, menggalakkan persahabatan, kerjasama dan
sokongan di samping menggalakkan pembelajaran, pertumbuhan dan perkembangan murid.
Pada pendapat saya, persekitaran fizikal bilik darjah merupakan salah satu mekanisme yang
penting dalam usaha untuk membentuk satu bilik darjah yang mesra budaya, kondusif serta
berupaya membantu proses PdP guru dalam bilik darjah.

2.0. PENGURUSAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA DARI ASPEK FIZIKAL


2.1. SUSUNAN MEJA DAN KERUSI

Antara langkah yang boleh dilakukan oleh guru bagi membina bilik darjah mesra
budaya dari aspek fizikal ialah susunan meja dan kerusi. Susunan meja dan kerusi yang baik
dan kemas berupaya membantu mengelakkan kemalangan daripada berlaku di samping
menggalakkan komunikasi sosial dalam bilik darjah. Susunan meja dalam bilik darjah juga
perlulah memudahkan pergerakan guru dan murid. Menurut (Bryan Coombs, 2007), susunan
meja dalam bilik darjah perlulah mempunyai banyak lorong bagi memudahkan guru mengawal
dan memerhatikan murid-muridnya. Apabila bilik darjah mempunyai banyak lorong atau ruang,
guru akan lebih mudah untuk memerhati murid-muridnya. Hal ini turut disokong oleh (Haliza
Hamzah & Joy Nesamalar Samuel, 2016) yang menyatakan, semasa merancang susunan
kerusi meja, dua perkara utama yang perlu diberi pertimbangan ialah kemudahan guru untuk
memerhati setiap murid dan juga bergerak di sekitar kelas tersebut. Dengan adanya ruang
dalam bilik darjah tersebut, dapat memudahkan komunikasi dan penyampaian maklumat
antara guru dan murid sewaktu PdP. Proses PdP juga akan menjadi lebih lancar serta guru
dan murid dapat bergerak dengan selesa.

Selain itu, suasana yang mesra budaya dapat diwujudkan dengan menyusun meja
secara berkumpulan. Dalam satu kumpulan meja pula mestilah diletakkan murid pelbagai
kaum. Apabila murid-murid berlainan kaum dan bangsa dicampurkan kedudukan mereka
dalam bilik darjah, semangat perpaduan dan jati diri mereka dapat dibina kerana mereka akan
berinteraksi, berkongsi pendapat dan berkongsi bahan pembelajaran dalam kumpulan ini.
Susunan meja dan kerusi yang bersifat berkumpulan mampu mencungkil dan melahirkan
murid yang bersifat toleransi dan saling bantu membantu di samping prestasi yang cemerlang
dalam akademik. Sewaktu melaksanakan PdP, guru dapat memupuk sikap mesra budaya
dalam kalangan murid kerana apabila murid berada bersama rakan-rakan, mereka akan
menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan mereka apabila berkomunikasi. Dengan
kaedah begitu, murid-murid dapat bersosial di samping membantu rakan-rakan sekumpulan
dalam aktiviti perbincangan yang dijalankan oleh guru semasa aktiviti PdP. Proses PdP juga
akan berjalan lancar kerana persekitaran pembelajaran yang menggalakkan perbincangan
kumpulan akan dapat menggalakkan aktiviti intelektual, menggalakkan persahabatan,
kerjasama dan sokongan dalam diri murid. Secara tidak langsung, murid akan dapat
menguasai kemahiran komunikasi dan memberi peluang untuk murid-murid bercampur
dengan semua rakan sekelas.

2.2. HIASAN DALAM BILIK DARJAH

Selain susunan meja dan kerusi, hiasan dalam bilik darjah juga dapat mewujudkan
suasana bilik darjah yang mesra budaya. Murid boleh diberi kebebasan untuk menghias bilik
darjah berpandukan nasihat oleh guru. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh murid adalah
seperti menghias meja guru, melukis mural dan sebagainya. Dengan memberi peluang
kepada murid untuk menghias kelas mereka sendiri, murid-murid akan berasa lebih dipercayai
dan dihargai. Apabila murid berasa dihargai dan dipercayai, hubungan yang positif antara guru
dan murid dapat terjalin (David Dunn, 2011). Komunikasi yang berkesan seterusnya akan
mencorakkan pengalaman pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan dan memudahkan
proses dalam PdP guru. Di samping itu, penggunaan ruang pada dinding bilik darjah juga
mesti digunakan secara optimum. Papan kenyataan yang terdapat di kiri dan kanan papan
putih boleh digunakan untuk menampal pelbagai maklumat yang penting dan bermakna
kepada murid. Dengan bantuan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada murid kelas tersebut,
guru boleh menyediakan jadual waktu kelas, jadual bertugas, peraturan bilik darjah, carta
organisasi serta senarai nama murid di kelas tersebut. Bagi papan kenyataan yang terletak di
belakang kelas pula boleh digunakan untuk menampal hasil kerja murid, maklumat tentang
aktiviti kelas, tarikh hari jadi atau gambar murid-murid.. Guru juga boleh menggalakkan murid-
murid untuk mempamerkan apa-apa bahan berkaitan budaya dan etnik masing-masing seperti
pakaian tradisional, makanan tradisional, potret tokoh-tokoh dan pelbagai lagi bahan yang
boleh menunjukkan tentang adat dan budaya mereka. Justeru, melalui hiasan bilik darjah serta
penggunaan ruang dinding secara optimum, murid-murid bukan sahaja dapat menambahkan
maklumat baru malah dapat menimbulkan perasaan kesepunyaan dalam diri mereka. Apabila
perasaan kesepunyaan ini dipupuk, suasana mesra budaya pula dapat diwujudkan dan secara
tidak langsung dapat memudahkan proses PdP yang dijalankan oleh guru.
2.3. PERPUSTAKAAN MINI

Di samping itu, guru juga boleh mewujudkan satu perpustakaan mini bagi membina
persekitaran bilik darjah mesra budaya. Bilik darjah seharusnya menjadi tempat di mana
berlakunya galakan budaya membaca dalam kalangan murid. Oleh itu, guru boleh
menggunakan satu ruang di bahagian belakang kelas dan menjadikannya sebuah
perpustakaan mini. Di ruang ini, guru boleh menghamparkan permaidani, meletakkan
beberapa bantal, dan meja untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra
kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka di rumah. Oleh itu, minat
murid untuk membaca akan meningkat. Bagi menanam sikap tanggungjawab dan kekitaan,
ruang ini boleh dinamakan dengan nama kelas mereka. Sebagai contohnya, Perpustakaan
Mini Mawar bagi kelas 4 Mawar. Dengan memberi nama kelas mereka, murid-murid akan
berasa bertanggungjawab untuk menjaga perpustakaan mini tersebut. Guru juga digalakkan
untuk menghias ruang perpustakaan ini bersama murid-murid bagi memupuk sikap kerjasama
bagi menjaga perpustakaan ini. Beberapa rak yang memuatkan bahan bacaan disusun di
ruang tersebut dengan kemas dan teratur. Murid-murid digalakkan untuk membawa bahan
bacaan berkenaan budaya mereka seperti buku cerita rakyat etnik masing-masing. Oleh itu,
murid-murid akan dapat belajar dan memahami mengenai budaya kaum dan etnik yang lain.
Peraturan penggunaan perpustakaan mini juga perlu dibina. Contohnya bahan bacaan tidak
boleh dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu disusun kembali di atas rak selepas
digunakan dan sebagainya. Peraturan sebegini adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya
kerosakan dan kehilangan bahan bacaan tersebut di samping murid akan mengetahui peranan
mereka bagi menjaga bahan-bahan tersebut (Myint Swe Khine, A. Lourdusamy, Quek Choon
Lang, & Angela F.L. Wong, 2005). Justeru, dengan adanya perpustakaan mini dapat
membantu guru semasa proses PdP kerana dapat memupuk sikap membaca murid-murid.
Mereka akan terdorong untuk membaca dan belajar disebabkan adanya satu ruang yang khas
untuk mereka membaca buku. Murid-murid juga akan lebih bermotivasi dan bersemangat
untuk belajar kerana bilik darjah mereka yang ceria dan lengkap dengan bahan bacaan (Mohd
Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh, 2009). Peraturan yang disediakan juga dapat membantu
melancarkan lagi proses PdP guru.

3.0. PENUTUP
Sebagai rumusannya, aspek fizikal memainkan peranan yang penting dalam
membentuk dan mewujudkan suasana persekitaran yang mesra budaya. Dalam memastikan
keselesaan PdP, aspek fizikal perlu diberi perhatian dan dirancang secara tersusun oleh guru
supaya selari dengan matlamat dan keperluan pembelajaran.
RUJUKAN

Bryan Coombs. (2007). Mengajar Secara Efektif. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara
Malaysia Berhad.

David Dunn. (2011). How To Be An Outstanding Pimary School Teacher. New York:
Continuum International Publishing Group.

Haliza Hamzah, & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.
Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Mohd Hasani Dali, & Mohamad Johdi Salleh. (2009). Pengurusan Bilik Darjah. Pengajaran dan
Pembalajaran: Teori dan Praktis., 4.

Myint Swe Khine, A. Lourdusamy, Quek Choon Lang, & Angela F.L. Wong. (2005). Classroom
Management. Singapore: Pearson Education Saouth Asia PTD.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, & Zuraidah A. Majid.
(2017). Budaya dan Pembelajaran. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn Bhd.

S-ar putea să vă placă și